Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Kronologi Isu Pengharaman Blackberry di Malaysia

Friday, August 13, 2010


Blackberry Haram


ALGIERS, 6 Ogos — Algeria sedang mengkaji penggunaan telefon BlackBerry dan akan mengharamkan penggunaannya jika boleh mengancam keselamatan negara.

“Kami sedang melihat isu ini. Jika kami mendapati ia mendatangkan bahaya kepada ekonomi dan keselamatan kami, kami akan menghentikannya,” kata akhbar El Khabar yang memetik Menteri Telekomunikasi Moussa Benhamadi semalam.

Algeria muncul negara terbaru memperlihatkan kebimbangan berhubung ciri-ciri Blackberry yang mendapat perhatian ramai sejak awal minggu ini khususnya di kalangan negara Teluk.

Dalam pada itu Amerika Syarikat mahu mengadakan perbincangan teknikal dengan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan beberapa negara lain berhubung pertimbangan untuk mengharamkan komponen Blackberry Messenger.

Mengumumkan perkara itu semalam, Setiausaha Negara Hillary Clinton memberitahu, pihaknya sedang berusaha untuk mengadakan perundingan dan menganalisis isu itu secara menyeluruh.

“… kami tahu bahawa ada isu yang sewajarnya diberi perhatian, malah terdapat juga kewajaran tentang soaln kebebasan penggunaan dan akses kepada kemudahan ini,” kata beliau di Washington.

Tiga hari lalu, pengeluar BlackBerry, Research in Motion (RIM) menyatakan tekad untuk tidak akan menjejaskan keselamatan pengguna selepas dua kerajaan Teluk mengancam untuk menyekat perkhidmatan pentingnya.

Syarikat yahg beribu pejabat di Kanada menyatakan yang ia “tidak akan mengambil mudah dalam soal integriti dan keselamatan BlackBerry.”

Kerajaan UAE dan Arab Saudi bersedia mengharamkan fungsi ‘Messenger’, e-mel dan web atas sebab keselamatan yang berpunca dari kebimbangan ia mungkin digunakan untuk aktiviti haram.

Dalam kenyataannya, RIM mengakui ia membincangkan isu keselamatan dengan kerajaan tertentu, namun syarat perundangan kerajaan serta keperluan keselamatan dan privasi syarikat dan pengguna turut dipatuhi.

BlackBerry mempunyai lebih 700,000 pelanggan di Arab Saudi dan 500,000 di UAE, sebuah negara yang kini menjadi hab perniagaan terutama sekali di Dubai.

RIM cuba menyakinkan pelanggan perniagaan bahawa rahsia syarikat yang dikawal rapi ketika dihantar melalui e-mel atau messenger tidak berdepan sebarang risiko.

“Keselamatan BlackBerry direka khas untuk membekalkan pelanggan korporat dengan keupayaan menghantar maklumat tanpa wayar selain memberikan keyakinan bahawa tiada sesiapa termasuk RIM sendiri boleh mengakses data mereka,” demikian kata syarikat itu.

Keputusan UAE dibuat ketika pemantau media, Reporters without Borders menuduhnya sebagai “mengganggu dan menahan pengguna BlackBerry Messenger yang cuba mengaturkan protes menentang kenaikan harga petrol.”

Indonesia juga sedang mengkaji soal penggunaan BlackBerry.

----------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — “Kemungkinan pada masa depan, kita kena ada definisi Dunia Ketiga atau negara keterbelakang jika fungsi (aplikasi) BlackBerry diharamkan.” Demikian reaksi seorang pengguna dari Indonesia sebaik sahaja tersebarnya berita negara itu juga akan mengkaji untuk membataskan dan memantau komunikasi menerusi BlackBerry.

Seorang lagi pengguna memberi reaksi bahawa “sudah pasti ia merupakan gurauan hari ini bagi saya.”

Dalam siri reaksi minggu lalu, seorang lagi mengemukakan persoalan apakah Indonesia juga harus bertindak seperti yang dilakukan oleh Arab Saudi, yang bercadang memantau kandungan mesej para pengguna.

Penggunaan telefon pintar BlackBerry dilihat semakin berkembang di seluruh dunia. Lebih 100 juta set telah dijual sepanjang satu dekad lalu.

Namun disebabkan kontroversi peranti itu didakwa berpotensi untuk mengancam keselamatan sesebuah negara, ia mula menjadi dilema di sesetengah negara terutama di Teluk khususnya Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Berdasarkan perkembangan sehingga awal pagi tadi, kerajaan Arab Saudi memberi pengendali telefon bimbit tempoh 48 jam kepada pengeluarnya Research In Motion (RIM) sebelum menutup beberapa aplikasi — antaranya BlackBerry Messenger.

Saudi Press Agency melaporkan, tempoh yang sepatutnya berkuat kuasa Jumaat lalu dilanjutkan sehinga esok ekoran persetujuan awal RIM untuk memindahkan server mereka ke negara itu.

Kini server terletak di Kanada.

Kod khas

Pada 4 Ogos lalu, RIM menegaskan ia tidak boleh memenuhi permintaan kerajaan itu dan beberapa negara lain agar didedahkan kod-kod untuk akses kepada komunikasi para pengguna. Perkhidmatannya direka sedemikian rupa bagi menghalang RIM atau sesiapa sahaja meneliti bahan-bahan komunikasi.

“Dalam sesetengah kes, drama di Arab Saudi diheboh secara keterlaluan memandangkan kerajaan negara itu sudah pun memantau setiap pengeluar telefon bimbit di rantau Teluk yang menawarkan aplikasi SMS, e-mel, yang mana mereka boleh memantau,” kata penganalisis dari MKM Partners Tero Kuittinen.

Persoalan sekarang sama ada RIM akan bertindak mirip pengeluar-pengeluar lain atau hanya akan memenuhi sebahagian permintaan pihak berkuasa negara-negara terbabit, kata beliau dalam laporan dipetik Bloomberg.

Kontroversi bermula apabila larangan penggunaan BlackBerry di Arab Saudi dan UAE akan dikuatkuasakan, mencetuskan kebimbangan di kalangan pengguna. Bukan sahaja di negara-negara itu, malah di negara-negara lain.

UAE adalah negara pertama mengarahkan perkhidmatan BlackBerry Messenger digantung mulai Oktober ini kerana ia menyalahi undang-undang negara itu serta menggugat keselamatan negara sebagai hab perniagaan terkemuka di Teluk.

Keputusan UAE dibuat ketika pemantau media, Reporters without Borders menuduhnya sebagai “mengganggu dan menahan pengguna BlackBerry Messenger yang cuba mengaturkan protes menentang kenaikan harga petrol baru-baru ini.

Badan itu menuntut kerajaan membebaskan pengguna BlackBerry Messenger yang cuba mengumpulkan rakyat untuk menyertai protes itu dan mendakwa seorang daripada penganjur bantahan, Badr Ali al-Dhohori, 18, ditahan di Abu Dhabi sejak bulan lalu.

Tindakan itu diambil kerana kerajaan UAE berpendapat bahawa wujud satu potensi ancaman keselamatan kerana data berkod dihantar melalui peralatan itu dipindahkan ke luar negara, tanpa dapat dipantau untuk membendung aktiviti haram dan keganasan.

Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) Arab Saudi menegaskan penyediaan perkhidmatan BlackBerry buat masa ini tidak memenuhi kriteria kawal selia dan syarat pelesenan yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu. Ia telah memberi amaran kepada syarikat-syarikat tersebut lebih setahun lalu mengenai keperluan untuk menangani isu yang dibangkitkan.

Pengawal Atur Telekomunikasi UAE mengambil langkah menggantung BlackBerry melibatkan beberapa perkhidmatan iaitu pesanan segera, e-mel dan pelayaran web dan merancang untuk menyekat beberapa perkhidmatan pesanan dan web yang disediakan telefon pintar itu.

BlackBerry kini mempunyai lebih 700,000 pelanggan di Arab Saudi dan 500,000 pelanggan di UAE. Lebih sejuta di Indonesia.

Bulan lalu UAE mengisytiharkan telefon pintar Blackberry sebagai mengancam keselamatan negara itu atas alasan peralatannya berfungsi di luar undang-undang dan boleh disalahgunakan.

Justeru di UAE, pengendali telefon bimbit terbesarnya Etisalat menggalakkan 145,000 pengguna telefon pintar itu memasukkan perisian membenarkan ia diperiksa pihak luar. Pihak Berkuasa Peraturan Telekomunikasi (TRA) UAE bimbang Blackberry boleh disalah guna kerana ia satu-satunya telefon yang menyampaikan maklumat pengguna secara automatik kepada pusat data di luar negara.

Panduan RIM

Ini kerana RIM didakwa memberi panduan pengguna membuang perisian yang membolehkan pihak luar memeriksa pergerakan komunikasi menerusi BlackBerry masing-masing.

TRA dilaporkan menekankan, peralatan BlackBerry beroperasi di luar undang-undang tempatan kerana ia menghantar data ke negara luar untuk diuruskan pertubuhan komersial asing.

Telefon BlackBerry mempunyai ramai pengikut di rantau Teluk dan Asia Tenggara. Bukan sahaja kalangan profesional asing di pusat komersial seperti Dubai dan Abu Dhabi, namun juga belia yang melihatnya sebagai kemudahan berkomunikasi selamat untuk mengelak pemantauan pihak berkuasa.

Namun tidak jelas sama ada larangan itu dilanjutkan kepada pelawat asing yang memiliki perkhidmatan perayauan, termasuk secara kasar 100,000 penumpang yang melalui lapangan terbang paling sibuk rantau itu di Dubai setiap hari.

Malah, kod berahsia yang menyebabkan BlackBerry popular di kalangan pegawai kerajaan dan syarikat termasuk Presiden Amerika Syarikat Barack Obama yang masih menggunakannya meskipun selepas dipilih sebagai ketua negara ini. Beliau juga muncul merupakan presiden, di sebalik kawalan keselamatan ketat, pertama menggunakan peranti komunikasi ini.

Dengan berpejabat di Waterloo, Ontario, RIM memfokus pasaran baru di India, Indonesia, Brazil dan UAE selepas pasaran berusia 10 tahun di Amerika Utara semakin perlahan. Pulangan daripada luar rantau Amerika Utara meningkat kepada 37 peratus untuk mencecah AS$15 bilion (RM48 bilion) tahun lalu berbanding 23 peratus pada 2005.

Larangan berkenaan dikatakan berisiko merosakkan reputasi UAE sebagai tempat yang mudah secara relatif untuk menjalankan perniagaan.

Selain Arab Saudi dan UAE, beberapa negara lain termasuk Algeria, India dan Indonesia mula terasa bahang larangan penggunaan BlackBerry apabila dikatakan ketiga-tiga negara itu dilaporkan sedang mengkaji telefon pintar itu dan akan mengharamkannya jika boleh mengancam keselamatan negara.

“Kami sedang melihat isu ini. Jika kami mendapati ia mendatangkan bahaya kepada ekonomi dan keselamatan kami, kami akan menghentikannya,” kata akhbar El Khabar yang memetik Menteri Telekomunikasi Moussa Benhamadi.

Algeria muncul negara terbaru memperlihatkan kebimbangan berhubung ciri-ciri Blackberry.

RIM bertegas BlackBerry tidak akan menjejaskan keselamatan pengguna selepas dua kerajaan Teluk mengancam untuk menyekat perkhidmatan pentingnya. Ia memberi jaminan “tidak akan mengambil mudah dalam soal integriti dan keselamatan BlackBerry.”

“Keselamatan BlackBerry direka khas untuk membekalkan pelanggan korporat dengan keupayaan menghantar maklumat tanpa wayar selain memberikan keyakinan bahawa tiada sesiapa termasuk RIM sendiri boleh mengakses data mereka,” demikian kata syarikat itu.

Bagaimanapun Indonesia menafikan sedang mempertimbangkan larangan ke atas perkhidmatan tertentu telefon pintar BlackBerry.

Pun begitu, menurut Kementerian Penerangannya Gatot Dewa Broto, pihaknya meminta RIM membuka satu pusat data di Indonesia.

“Tidak benar kami merancang untuk melarang perkhidmatan BlackBerry di Indonesia. Kami hanya mencadangkan mereka membuka sebuah pusat data di Indonesia supaya data itu tidak perlu melalui Kanada,” katanya.

Heru Sutadi, seorang pegawai Badan Pemantau Telekomunasi Indonesia memberitahu Jakarta Globe, “kami berkongsi kebimbangan yang sama dengan negara berkenaan.”

Di sebalik populariti BlackBerry, dilema di sebalik bahang yang dirasai di negara-negara Teluk, India, Indonesia dan Algeria, kini mula dikaitkan dengan soal keselamatan global dan aktiviti rangkaian pengganas.

Kini, kemajuan teknologi komunikasi berhadapan dengan cabaran persimpangan antara kebebasan akses dan jaminan keselamatan negara.

----------------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR, 8 Ogos — Pengguna BlackBerry di Malaysia tidak perlu risau kerana negara akan “kekal bebas” walaupun beberapa negara lain termasuk Arab Saudi sudah mula mengambil langkah memantau penggunan peranti tersebut, kata Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Kementerian itu dijangka mengumumkan pendirian rasmi negara mengenai isu BlackBerry yang menjadi tumpuan global, esok.

Ketika memberikan jaminan “kekal bebas”, Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang anak Gandum berkata, kerajaan berharap pengguna di Malaysia akan menggunakan kemudahan ini dengan bertanggungjawab.

“Setiap negara ada keperluan kebudayaan masing-masing.

“Malaysia kekal bebas dan berharap pengguna tidak menyalahgunakan sistem ini,” kata beliau dalam respons ringkas menerusi SMS kepada The Malaysian Insider malam tadi.

Menteri Penerangan, Telekomunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Utama Rais Yatim dijangka menjawab kebimbangan pengguna di negara ini esok.

Laporan Telegraph semalam menyebut Arab Saudi telah memutuskan untuk menggugurkan rancangan melarang komponen BlackBerry Messenger ekoran persetujuan dicapai oleh kerajaan itu dan pengeluarnya Research In Motion (RIM) semalam.

Persetujuan itu melibatkan langkah menempatkan server BlackBerry di Arab Saudi, yang akan membolehkan kerajaan memantau mesej para pengguna, sekali gus menghilangkan kebimbangan pihak berkuasa bahawa perkhidmatan itu boleh digunakan untuk tujuan-tujuan “jenayah”.

Kini servernya terletak di Kanada.

Seorang pegawai kawal sedia Arab Saudi berkata, ujian sedang dijalankan untuk menentukan bagaimana server BlackBerry akan ditempatkan di negara itu.

Penganalisis pula melihat keputusan itu akan membawa implikasi besar ke atas beberapa negara lain termasuk India dan Emiriah Arab Bersatu yang turut mempertimbangkan langkah yang sama.

Pengawal selia industri telekomunikasi Arab Saudi mengarahkan perkhidmatan BlackBerry digantung mulai kelmarin kerana pengeluar peranti tersebut gagal memenuhi syarat-syarat yang dikenakan.

Bagaimanapun itu disambung selepas empat jam terganggu sementara perbincangan diteruskan membabitkan kedua-dua kerajaan dan syarikat pengeluar BlackBerry.

Suruhanjaya Komunikasi dan Teknologi Maklumat (CITC) dalam kenyataannya sebelum ini berkata, penyediaan perkhidmatan BlackBerry tidak memenuhi kriteria kawal selia dan syarat pelesenan yang ditetapkan oleh suruhanjaya itu.

Awal minggu ini, RIM menekankan bahawa perkhidmatan BlackBerry Messenger tidak akan menjejaskan keselamatan.

BlackBerry mempunyai lebih 700,000 pelanggan di Arab Saudi dan 500,000 di UAE, sebuah negara yang kini menjadi hab perniagaan terutama sekali di Dubai.

Indonesia juga sedang mengkaji soal penggunaan BlackBerry.

RIM menguasai pasaran 1.7 peratus penggunaan telefon bimbit di rantau Asia-Pasifik berbanding 48 peratus di Amerika Utara dan 20 peratus di peringkat global.



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top