Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Pengangkutan rakyat ditingkat

Friday, January 06, 2012


NAJIB bersalaman dengan Hsien Loong sempena sesi permukiman Malaysia-Singapura di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

Malaysia, Singapura rancang bina laluan bawah tanah, wujud khidmat feri

PUTRAJAYA: Sesi pemukiman Datuk Seri Najib Razak dan rakan sejawatannya dari Singapura, Lee Hsien Loong, di sini semalam memperkasakan hubungan kedua-dua negara, khususnya kerjasama menyediakan kemudahan pengangkutan dan perhubungan untuk rakyat kedua-dua negara. 

Ia termasuk kemajuan projek Sistem Transit Pantas (RTS) antara Singapura dan Johor yang dirancang beroperasi pada 2018, cadangan pembinaan laluan bawah tanah yang menghubungkan kedua-dua negara dan kerjasama operasi antara Lapangan Terbang Senai (LTS), Johor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi (LTAC) di Singapura. 
 
Malah, kedua-dua negara meneroka kemungkinan mewujudkan perkhidmatan feri antara kawasan perindustrian di Tuas, Singapura dan Pelabuhan Puteri, di Nusajaya, Johor bagi kemudahan rakyat kedua-dua negara. Tender untuk projek RTS dikeluarkan pada 18 November 2011 untuk melaksanakan Kajian Kejuruteraan Bersama bagi menentukan laluan dan hubungan sistem pengangkutan itu.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan sempena pemukiman itu, kedua-dua pemimpin puas hati dengan usaha Jawatankuasa Bersama peringkat Menteri dalam mengukuhkan hubungan dua hala dalam bidang perhubungan, imigresen, pelancongan dan alam sekitar.

Kedua-dua pemimpin juga bersetuju supaya jawatankuasa itu meneroka kemungkinan mewujudkan teksi air dan feri sebagai alternatif perhubungan antara kedua-dua negara.

Bagi sektor pelancongan, kajian pemasaran bersama eko-pelancongan rentas sempadan membabitkan lokasi pelancongan di Wetland Simpan Sungai Buloh, Singapura dan tiga tapak Ramsar di Iskandar Malaysia, iaitu Sungai Pulai, Pulau Kukup dan Tanjung Piai.

Menyentuh mengenai alam sekitar, kedua-dua pemimpin bersetuju untuk berkongsi kepakaran dalam pembersihan sungai di Iskandar Malaysia, selain kerjasama dalam latihan dan perkongsian maklumat awal. Mereka juga berbincang mengenai kerjasama bidang pendidikan tinggi, teknikal dan vokasional serta pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris.

Pembangunan sektor pendidikan di Iskandar Malaysia dan Pagoh, Johor adalah antara program membuka laluan kepada institusi pengajian Singapura untuk diteroka termasuk membuka kampus di situ.

Pada sidang media bersama Hsien Loong kemudian, Perdana Menteri berkata, kajian daya maju berhubung pembinaan projek RTS sedang dilaksanakan bagi memberikan pilihan terbaik kepada Malaysia dan Singapura.

“Kami juga bersetuju memperluaskan skop kajian untuk turut memasukkan kemungkinan mewujudkan laluan bawah tanah yang menghubungkan kedua-dua negara,” katanya.

Beliau juga berkata Malaysia dan Singapura meneroka kaedah baru bagi meningkatkan hubungan dua hala dengan beliau mencadangkan supaya kerjasama diperkukuhkan antara LTS dan LTAC.

Terdahulu, mereka menyaksikan majlis pertukaran dokumen Perjanjian Pemegang Saham antara Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Temasek Holding Private Ltd (Temasek) berhubung usaha sama dalam M+S Pte Ltd dan Pulau Indah Ventures Sdn Bhd.

Khazanah memegang 60 peratus saham, manakala bakinya Temasek menerusi M+S, bagi membangunkan kawasan di Marina South dan Ophir-Rochor di Singapura, manakala Pulau Indah yang menyaksikan pegangan saham masing-masing 50 peratus akan membangunkan projek di Iskandar Malaysia, Johor.

Najib juga berkata Malaysia meneroka peluang untuk mengeksport tenaga elektrik ke Singapura pada masa depan dan menerusi perbincangannya dengan Hsien Loong, beliau dimaklumkan Singapura akan mewujudkan rangka kerja yang akan dilaksanakan menerusi inisiatif swasta kedua-dua negara.

“Saya percaya pihak swasta kedua-dua negara akan dapat menentukan kadar harga sebenar apabila tiba masanya. Saya tidak nampak kesukaran jika ia membabitkan inisiatif swasta,” katanya.

Sementara itu, Hsien Loong berkata Singapura gembira dengan tahap pelaksanaan projek usaha sama kedua-dua negara di Marina South dan Iskandar Malaysia yang membabitkan Khazanah serta Temasek.

Mengenai cadangan mengeksport tenaga elektrik, beliau berkata pihaknya terbuka untuk mengimport jika menerima tawaran dan terma yang baik, selain mengambil kira keutamaan isu alam sekitar






Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :(