Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 SPR uji dakwat kekal

Friday, December 30, 2011


CONTOH dakwat kekal yang akan dicalit di jari pengundi.

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas Penambahbaikkan Pilihan Raya (PSC) semalam menguji penggunaan dakwat kekal dan menyaksikan demonstrasi susun atur tempat mengundi yang baru diperkenalkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, berkata jawatankuasa berpuas hati dengan beberapa pindaan dilakukan SPR, selain gembira tujuh daripada 10 usul penambahbaikan proses pilihan raya dicadangkan mereka sudah diterima SPR.

“Tumpuan mesyuarat (semalam) adalah menyaksikan demonstrasi penggunaan dakwat kekal dan cadangan susun atur baru di tempat mengundi,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat keenam jawatankuasa itu di bangunan Parlimen, semalam. 
 
Hadir sama Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof; Timbalannya, Datuk Wan Ahmad Wan Omar serta ahli PSC iaitu Datuk Seri Radzi Sheikh Ahmad (Ahli Parlimen Kangar), P Kamalanathan (Ahli Parlimen Hulu Selangor), Loke Siew Fook (Ahli Parlimen Rasah) dan Dr Hatta Ramli (Ahli Parlimen Kuala Krai).

Ongkili berkata, SPR memaklumkan kepada PSC bahawa peraturan penggunaan dakwat kekal, buku tata cara serta keputusan Jabatan Kimia dan Majlis Fatwa berhubungnya akan diumum dan dikuatkuasakan pada 1 Februari depan.

“SPR ketika ini dalam proses menyiap buku tata cara penggunaan dakwat kekal supaya ia seragam di seluruh negara, selain menunggu keputusan Jabatan Kimia serta kelulusan Majlis Fatwa berhubung jenis dan kandungan dakwat.

“Segala keputusan itu akan dibentangkan di Parlimen pada 1 Februari depan sebelum dikuatkuasakan. Bagaimanapun, SPR hanya akan menentukan warna (dakwat) yang bakal digunakan sehari sebelum pilihan raya umum diadakan,” katanya.

Pada sesi demonstrasi semalam, Ongkili, Dr Hatta dan Loke turut mencuba dakwat kekal itu dengan mencalitnya pada hujung jari telunjuk.

Dr Hatta berkata, demonstrasi SPR menunjukkan kesungguhan suruhanjaya itu untuk melakukan penambahbaikkan terhadap proses pilihan raya di negara ini.

Mengulas mengenai susun atur baru itu, Ongkili berkata, perubahan susun atur tempat mengundi mendapat reaksi positif anggota SPR dan PSC.

“Sebelum ini ejen mengadu mereka hanya boleh melihat pengundi dari sebelah kiri atau belakangnya. Jadi SPR setuju melakukan perubahan supaya ejen boleh melihat setiap proses, iaitu bermula pengundi masuk ke tempat mengundi sehingga dia memasukkan kertas undi ke dalam peti supaya ia telus,” katanya.

Mengulas mengenai isu daftar pemilih, beliau berkata, SPR bersetuju melanjutkan tempoh pameran daftar pemilih daripada tujuh kepada 14 hari selain masih menimbang mengenai jumlah serta tata cara pelaksanaan bagi pengundi luar negara.

“Keputusan pengundian awal dijangka diwartakan pada 1 Mac depan selepas segala aspek berkaitan termasuk peraturannya disiapkan SPR dan dibentangkan ke Parlimen. PSC turut dibekalkan cakera padat (CD) mengandungi senarai 42,051 pemilih yang diragui statusnya untuk penilaian,” katanya.

Sementara itu, PSC akan mengadakan dua lagi sesi pendengaran awam iaitu di Kota Darul Naim, Kota Bharu, pada 7 dan 8 Januari dan Bangunan Sultan Ibrahim, Johor Bahru, Johor (12 dan 13 Januari).





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top