Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Polis haram Seksualiti Merdeka

Friday, November 04, 2011


KUALA LUMPUR: Polis mengharamkan semua aktiviti dalam penganjuran program Seksualiti Merdeka 2011 bagi menuntut kesaksamaan gender serta mengiktiraf pengamal seks songsang gay dan lesbian, termasuk yang diadakan secara tertutup, berikutan bantahan pelbagai pihak.



Sehubungan itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar, berkata pihaknya akan menghentikan semua aktiviti dalam program yang sepatutnya berlangsung Selasa lalu hingga 13 November ini, atau tindakan tegas diambil termasuk menahan penganjur dan peserta. 

Katanya, polis sudah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 298 Kanun Keseksaan iaitu berniat melukakan perasaan agama seseorang dan Seksyen 27A(1)(C) Akta Polis. 

Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti lebih 10 penganjur membabitkan pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akan memanggil mereka bagi membantu siasatan termasuk bekas Presiden Majlis Peguam, Datuk Ambiga Sreenevasan yang dijadual merasmikan program itu pada 9 November ini.

“Sehubungan itu, mulai hari ini (semalam) kita akan menghentikan apa juga acara dalam program berkenaan, kita beri amaran kepada penganjur dan peserta supaya bersurai dan jika berdegil, tindakan tegas akan diambil termasuk menahan sesiapa saja yang terbabit.

“Kita akan panggil semua selepas ini kerana kertas siasatan sudah dibuka. Kepada sesiapa yang bercita-cita nak hadir, lupakanlah,” katanya kepada pemberita di Unit Udara Polis Diraja Malaysia (PDRM) di sini, semalam.

Program Seksualiti Merdeka diadakan setiap tahun sejak 2008 bertujuan menuntut hak dan kebebasan golongan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) mengamalkan gaya hidup pilihan mereka secara sah dan terbuka. Bertemakan ‘Queer Without Fear’, program berkenaan diadakan di The Annexe Gallery Pasar Seni di sini.

Antara penaja dan penyokong program berkenaan termasuk Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM) dengan beberapa aktiviti dirancang seperti bengkel, perbincangan, pameran dan persembahan.

Khalid berkata, pihaknya menerima dua laporan polis selain mendapat maklum balas pelbagai pihak yang mengecam penganjuran program berkenaan termasuk NGO dan pertubuhan berkaitan agama Islam serta agama lain.

“Polis bertanggungjawab memastikan keselamatan negara dan bila ada ancaman kepada ketenteraman awam, kita perlu mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak kejadian tidak diingini.

“Penganjur sepatutnya berfikir terlebih dulu, adakah acara dianjurkan diterima semua golongan masyarakat, malah saya percaya majoriti masyarakat tak boleh menerima homoseksual dan lesbian, jadi janganlah kita nak mengagungkan perkara seperti ini,” katanya.

Khalid kesal kerana Majlis Peguam tidak memberikan nasihat yang betul terhadap penganjur berkaitan pelanggaran undang-undang negara berhubung penganjuran program seperti itu.






Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top