Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Minat cara MBE

Tuesday, November 15, 2011

PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak (depan) melambai ke arah jurugambar pada sesi fotografi bersama ketua-ketua negara pada sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Honolulu, Ahad lalu.Turut hadir, Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong (kiri), Presiden Peru, Ollanta Humala (tengah) dan Timbalan Perdana Menteri New Zealand, Bill English (dua dari kanan).

Najib tarik perhatian pemimpin APEC menerusi Model Baru Ekonomi

MODEL Baru Ekonomi (MBE) yang diperkenalkan bagi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia hingga berjaya menarik pelaburan bernilai AS$60 bilion (RM186 bilion) dan mewujudkan 400,000 peluang pekerjaan, menarik perhatian pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC), di sini. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata MBE menampilkan pendekatan berbeza dibandingkan program pembaharuan yang dilaksanakan di negara lain. 

"Negara lain hanya melakukan pembaharuan dalam birokrasi masing-masing, tetapi kita menjadikannya sebagai sebahagian daripada satu gagasan yang besar.

"Dalam MBE, kita mempunyai perancangan jangka panjang untuk tempoh 10 tahun selain program yang lebih terperinci," katanya kepada wartawan Malaysia di sini.

Najib ketika bertukar pendapat pada sesi dialog Sidang Kemuncak Pemimpin APEC itu, mengambil MBE sebagai contoh pembaharuan dalaman struktur bagi mengurangkan hambatan terhadap perkembangan ekonomi negara.

“Saya memberikan contoh apa yang kita lakukan bermula dengan visi jangka panjang, iaitu berdasarkan wawasan menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Kita menggubal MBE sebagai satu cara baru yang boleh membawa kita untuk mencapai visi negara bertunjang kepada Program Transformasi Ekonomi (ETP) dan Inisiatif Pembaharuan Strategik,” katanya.

Beliau berkata, pembaharuan dalaman dilaksanakan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) dan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) membawa kepada ‘gabungan pendapat antara sektor swasta dan sektor awam’, sekali gus berjaya menarik pelaburan dan menambah peluang pekerjaan.

Beliau berkata, pemimpin pada sesi APEC kali ini, berpendapat amat penting bagi ‘kita sebagai satu wilayah mencari pendekatan dan usaha untuk terus mengembangkan ekonomi Asia Pasifik, antaranya menerusi peningkatan perdagangan dan pelaburan melalui dasar liberalisasi dan penubuhan kawasan FTA melalui Kerjasama Rentas Pasifik (TPP) yang sedang dirundingkan’.

Negara APEC juga perlu melakukan pembaharuan, termasuk perubahan dalaman serta mengelak penghalang kepada sektor swasta dan perniagaan yang boleh melambatkan atau menjadi hambatan kepada perkembangan ekonomi masing-masing.

Najib berkata, walaupun tinjauan masa depan yang agak suram memandangkan krisis hutang di Eropah, APEC yang dipengerusikan Presiden AS, Barack Obama berjaya dalam ‘semangat kerjasama di kalangan pemimpin memberikan sedikit harapan yang Asia Pasifik masih menjadi kawasan pertumbuhan’.

“Tetapi kita diingatkan bahawa kita tidak boleh mengasingkan masalah di Eropah kerana jika ia semakin teruk, ia sudah tentu akan memberi kesan kepada seluruh dunia,” kata beliau.

Pemimpin APEC yang bersidang turut diberikan taklimat oleh Pengarah Urusan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde.





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top