Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Semangat tuntut ilmu perlu sentiasa tersemai

Monday, October 10, 2011

ISLAM menggalakkan umatnya mencari ilmu pengetahuan bagi memandu ke arah kecemerlangan di dunia dan akhirat. Semua cita-cita akan sia-sia tanpa ilmu pengetahuan.


Saidina Ali menyatakan: “Sesiapa mengimpikan kehidupan dunia, maka dia perlu berilmu. Sesiapa mengimpikan kehidupan akhirat, maka dia perlu berilmu. Jika kita mengimpikan kedua-duanya, maka kedua-duanya perlukan ilmu pengetahuan.” 

Dalam pencarian ilmu pengetahuan, seseorang individu perlu melalui beberapa proses. Baginda SAW bersabda bermaksud: “Jadilah orang berilmu, mempelajari ilmu, mendengar di dalam majlis ilmu atau orang yang cintakan ilmu. Janganlah kamu menjadi orang yang kelima (tidak termasuk golongan di atas) kerana ia akan membinasakan kamu.” (Hadis riwayat Tabrani)




Katakanlah (wahai Muhamad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka berakal saja dapat menerima pelajaran. Surah Az-Zumar, ayat 9.

Ilmu akan dihasilkan dengan kesungguhan di samping penyelidikan serius serta beristiqamah supaya dapat memahami segala yang dipelajari. Masa juga mestilah diperuntukkan untuk majlis ilmu serta mempunyai disiplin tinggi selain suasana kondusif.

Baginda SAW memberi jaminan kemudahan yang disediakan Allah SWT kepada majlis ilmu. Sabda Baginda yang bermaksud: “Sesiapa yang berusaha mencari ilmu pengetahuan, maka Allah akan memudahkan jalannya ke syurga.” Baginda menyifatkan majlis ilmu sebagai taman syurga.

Berdamping dengan orang yang berilmu juga adalah salah satu faktor untuk menambah ilmu pengetahuan kerana merekalah yang akan memberi bimbingan serta peringatan berguna di saat kita terlupa.

Pujangga ada menyebut: “Sebaik-baik sahabat ialah mereka yang mengingati kita di kala kita dalam kealpaan dan seburuk buruk sahabat ialah mereka yang mendiamkan diri ketika kita memerlukan.”

Allah SWT berjanji akan mengangkat martabat serta kedudukan orang yang berilmu pengetahuan. Firman Allah SWT bermaksud: “Allah akan meninggikan martabat orang beriman dan berilmu di antara kamu dengan beberapa darjat.” (Surah Al-Mujadalah, ayat 11).

Firman-Nya lagi bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhamad) adakah sama orang berilmu dengan orang jahil? Hanya mereka berakal saja dapat menerima pelajaran.” (Surah Az-Zumar, ayat 9)

Imam Syafie pernah mengungkapkan kata semangat sebagai panduan kepada mereka yang ingin menuntut ilmu pengetahuan. Katanya: “Wahai saudaraku, kamu tidak akan mendapat ilmu kecuali kamu memiliki enam perkara iaitu kepintaran, keinginan, kesungguhan, kerendahan diri (zuhud), menghormati guru serta memerlukan masa panjang.”

Tidak hairanlah jika kita melihat Imam Syafie mengembara ke Iraq, Iran, Mesir dan Makkah al-Mukarramah serta diiktiraf sebagai mufti pada usia 15 tahun.

Masyarakat kita hari ini terdedah dengan pelbagai ilmu pengetahuan dalam dunia teknologi maklumat tanpa sempadan. Mereka mestilah dapat membezakan antara ilmu yang benar dan salah. Ilmu membawa kepada keimanan mantap adalah ilmu sebenar yang perlu dipelajari yang akan mendekatkan diri dengan Allah SWT, membentuk peribadi mulia dan kehidupan dipenuhi sifat terpuji.

Masyarakat perlu diberi kesedaran pentingnya ilmu pengetahuan serta dapat menyemaikan sikap rajin membaca bermula dari alam kanak-kanak sehinggalah mereka dewasa. Media cetak serta elektronik mestilah memainkan peranan mencetuskan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat.

Ilmu dipelajari mestilah disusuli dengan amalan serta pelaksanaan baik kerana kata tanpa amalan, akan mengundang kebencian Allah SWT.

Allah berfirman bermaksud: “Wahai orang beriman kenapa kamu berkata sesuatu yang kamu tidak lakukan. Sangat dibenci Allah jika kamu tidak amalkan apa yang kamu perkatakan.” (Surah As-Saff, ayat 2-3)

Ilmuwan sebenar ialah yang merasakan kekerdilan mereka apabila semakin jauh dalam kancah ilmu pengetahuan. Mereka akan mendapati kejahilan semakin menghantui dan banyak perlu dipelajari dalam kehidupan ini.

Firman Allah SWT bermaksud: “Seandainya segala pohon yang ada di bumi menjadi pena serta semua lautan menjadi tinta dan ditambah lagi dengan tujuh lautan, nescaya tidak akan habis ilmu pengetahuan itu diterokai. Sesungguhnya Allah maha berkuasa lagi bijaksana.” (Surah Lukman, ayat 27).

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)








Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top