Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Penyelesaian jenayah siber

Thursday, October 27, 2011


PADA bulan Jun lalu, sebanyak 51 buah laman web milik agensi kerajaan telah digodam menyebabkan keadaan menjadi agak huru-hara kerana gangguan tersebut melibatkan maklumat kerajaan.

Bagaimanapun, kerisauan orang ramai sedikit lega apabila Ketua Pengawai Eksekutif Cybersecurity, Lt. Kol. (B) Datuk Husin Jazri menjelaskan semua maklumat berada dalam keadaan selamat dan laman-laman web itu mula beransur-ansur untuk beroperasi semula.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, sehingga bulan Ogos 2011, sebanyak 10,406 insiden jenayah siber telah dikendalikan oleh Cybersecurity.

Ujarnya, jumlah tersebut adalah kenaikan yang amat drastik iaitu sebanyak 137 peratus berbanding tempoh masa yang sama pada tahun 2010.

“Beribu-ribu ancaman dunia siber kini telah muncul. Banyak juga perniagaan yang berterusan diserang dengan ancaman yang sedia ada dan terbaharu.

“Jika dibiar tanpa pemerhatian, keselamatan siber akan lemah dan mendatangkan risiko bahaya kepada keselamatan negara, awam dan kemakmuran ekonomi,” ujar Maximus ketika ditemui di Petaling Jaya, Selangor.

Jelasnya lagi, kesan tersebut berlaku kerana kadar penembusan dan bilangan individu yang mahir dengan Internet di Malaysia semakin meningkat. 

Selain kes-kes laman web yang digodam, terdapat juga para remaja yang ‘nakal’ menjadikan keupayaan mereka mengendalikan Internet sebagai medan untuk mencuba keupayaan mereka.

Maximus mengakui bahawa tindakan undang-undang sudah pasti dapat membantu menyelesaikan masalah tersebut tetapi dalam jangka masa panjang pendidikan oleh ibu bapa adalah penting untuk membina karakter individu.

Antara kes-kes aduan yang diterima oleh Cybersecurity selain laman web digodam adalah aktiviti phishing dalam laman sosial dan tindakan menawan akaun laman web individu lain serta kod Malicious.

Industri cerah

Berucap di hadapan delegasi dari 26 buah negara pada majlis pembukaan Persidangan Antarabangsa Common Criteria kali ke-12 (12th ICCC), Maximus menambah, industri perkhidmatan keselamatan siber sangat cerah dan mampu berkembang.

“Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Cybersecurity, pasaran industri perkhidmatan keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di Malaysia bakal berkembang sehingga lebih RM400 juta pada tahun 2014 nanti,” terang Maximus.

Ia telah menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 7 peratus termasuk bidang telekomunikasi dan perbankan elektronik.

Common Criteria (CC) adalah sebuah set penilaian bebas yang membuat ulasan dan analisis terhadap sesuatu produk keselamatan Internet supaya mengikut set panduan yang perlu dipatuhi.

Ia berfungsi sebagai medium untuk meningkatkan, mengira tahap keberkesanan dan memberi jaminan bahawa sesuatu produk itu mencapai standard CC dan kekuatan sistem keselamatan diperakui.

“Sebagai contoh, CC boleh mendedahkan kelemahan sesuatu produk sebelum ia dipasarkan sekali gus dapat mengelakkan sebarang kos pembaikan terhadap sesuatu sistem,” ulas Husin yang turut hadir pada majlis perasmian.

Produk-produk berasaskan ICT merangkumi komputer peribadi, thumbdrive, peralatan multimedia, konsol permainan elektronik, perisian aplikasi dan perkasasan komputer. 

Kongsi informasi

Persidangan yang diadakan buat kali pertama di rantau Asia Tenggara itu menjadi platform kepada orang dalam industri ICT untuk bertukar pendapat dan berkongsi informasi berguna.

Perbincangan seperti itu amat diperlukan kerana ia akan membawa kepada keserasian antara perkembangan dan penilaian keselamatan Internet dengan proses mendapatkan Sijil Pengesahan Common Criteria (CCRA).

Pada tahun ini, persidangan yang berlangsung selama tiga hari dari 27 sehingga 29 September itu, membincangkan cara menyemai tahap kesedaran dan berkongsi pengetahuan mengenai cara berkesan menangani ancaman siber.

“Diharap, semua peserta dapat mengemas kini informasi mengenai tafsiran baharu CC dan panduan serta dokumen-dokumen lain yang berkaitan,” kata Husin lagi.

Pada akhir majlis, Malaysia turut dianugerahkan sijil keahlian CCRA secara rasmi bersama-sama Turki untuk menyertai kumpulan yang terdiri daripada 15 buah negara seluruh dunia.

Malaysia mula mengaplikasi CC dan menjad ahli CCRA sejak tahun 2007 dalam setiap pengurusan ICT. Dengan penerimaan sijil tersebut Malaysia kini boleh mengeluarkan sijil pengesahan terhadap produk Internet mengikut ISO15408.

CCRA telah diserahkan kepada Maximus oleh Pengerusi Jawatankuasa Common Criteria, Dag Stromen sambil disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kecil Common Criteria, Irmela Ruhrmann.






Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top