Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Jualan kereta mewah meningkat

Monday, October 31, 2011



Kilang Mercedes-Benz di Pekan komited penuhi permintaan tempatan


MERCEDES-Benz Malaysia Sdn Bhd menyasar meningkatkan jumlah pengeluaran kenderaannya di kemudahan pemasangan Mercedes-Benz di Pekan, Pahang, selaras permintaan kukuh daripada segmen pasaran kenderaan mewah di negara ini, kata Presiden yang juga Ketua Eksekutifnya, Roland S Folger. 

“Pasaran kenderaan mewah di Malaysia semakin kukuh, yang mana syarikat menikmati purata pertumbuhan jualan 35 peratus sejak 2007. 

“Sasaran kami ialah mengeluarkan satu model baru di Pekan setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat media sempena lawatan media ke kilang pemasangan kenderaan Mercedes-Benz di Kompleks Automotif DRB-Hicom di Kawasan Perindustrian Peramu Jaya, Pekan, Pahang, baru-baru ini.

Folger berkata, terdapat permintaan kukuh daripada segmen pasaran berkenaan dan pihaknya berpendapat pengguna tempatan bersedia untuk berbelanja untuk mendapatkan produk berkualiti.

Pasaran kenderaan mewah negara ini, katanya, dijangka terus kukuh tahun depan berdasarkan data diperoleh syarikat.

Beliau berkata, Mercedes-Benz Malaysia menyerahkan sekitar 7,000 kenderaan tahun lalu, iaitu pengeluaran tertingginya sejak pengenalan jenama Mercedes-Benz diperkenalkan di Malaysia 58 tahun lalu.

“Jualan kenderaan penumpang untuk tempoh sembilan bulan sehingga September 2011 sudah melepasi keseluruhan jualan kenderaan penumpang sepanjang tahun lalu.

“Saya yakin kami akan mencatat rekod jualan tertinggi tahun ini,” katanya.

Folger berkata, Mercedes-Benz C-Class muncul model kereta mewah terlaris di negara ini, menyumbang 47 peratus kepada keseluruhan jualan kenderaan syarikat.

Kereta kompak eksekutif generasi baru yang diperkenalkan Julai lalu itu, katanya, mencatat peningkatan jualan sembilan peratus kepada 1,706 unit.

Sementara itu, Naib Presiden Kilang Pengeluarannya, Sebastian Streuff, berkata lebih daripada 21,000 kenderaan premium dikeluarkan daripada saluran pemasangan di Pekan dan diserahkan kepada pelanggan sejak mula beroperasi pada 2007.

"Sejak operasi bermula, jumlah pengeluaran meningkat ketara, yang memerlukan lebih banyak fungsi automasi dalam saluran bagi memenuhi permintaan,” katanya.

Beliau berkata, kemudahan pemasangan di Pekan itu menempatkan barisan pengeluaran antara yang paling sofistikated di dunia.

Selain C-Class dan E-Class, kilang itu turut memasang model S-Class seperti varian S350L dan S500L BlueEFFICIENCY yang dijual masing-masing pada harga RM840,888 dan RM1.0568 juta seunit, katanya.

“Tidak ada pengeluar kereta premium yang mengeluar dan memasang kereta penumpang mewah sebegitu di negara ini. Ia mencerminkan keyakinan dan komitmen Mercedes-Benz terhadap pasaran tempatan,” katanya.  








Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top