Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Selar RM15, ikan merah RM28

Monday, August 08, 2011


Gambar hiasan

Penjual beri alasan tindakan pemborong punca kenaikan harga di pasaran

KUANTAN: Membebankan dan melampau! Demikian rungutan orang ramai terutama yang berpendapatan rendah kerana terpaksa membayar harga tinggi untuk mendapatkan bekalan ikan.

 

Bagaimanapun, mereka tidak tahu golongan peniaga juga terpaksa membayar harga tinggi kepada pemborong yang memberi alasan bekalan ikan tidak mencukupi.


Tinjauan edisi Timur di beberapa pasar mendapati golongan peniaga terpaksa berhadapan kerenah pelanggan yang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga yang pada mereka tidak wajar berlaku ketika umat Islam sedang menjalani ibadat puasa. 

Peniaga di Pasar Ikan Segar Beserah, di sini, Nor Hasman Mat Dahan, 29, mengakui terpaksa menjual ikan pada harga yang tinggi kerana bekalan bahan yang juga sumber protein itu tidak mencukupi.

"Kami bukan sengaja menaikkan harga ikan sesuka hati kerana kami juga perlu membayar harga yang tinggi kepada pemborong untuk mendapatkannya.

"Jika sebelum ini harga sekilogram ikan selar ialah RM12 tetapi sekarang kami beli dengan pemborong pada harga yang sama... oleh demikian kami terpaksa menjual RM15 sekilogram untuk mendapatkan sedikit untung," katanya yang mendapat bekalan daripada jeti Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Kemunting, ketika ditemui di sini, semalam.

Tinjauan di pasar berkenaan juga mendapati, ikan kembung dijual pada harga RM15 sekilogram manakala ikan merah RM28 sekilogram dan udang antara RM18 dan RM20 sekilogram.

Peniaga ikan di Pasar Besar Kuantan, Zukri Osman, 41, mengakui setiap tahun bekalan ikan pada bulan puasa tidak mencukupi kerana mendapat permintaan tinggi.

"Keadaan semakin serius apabila pemborong gagal membekalkan ikan mengikut permintaan peniaga, malah menjualnya pada harga yang tinggi pula.

"Secara tidak langsung, peniaga turut kena tempias dan terpaksa menjual ikan dengan harga tinggi menyebabkan pengguna merungut kerana tidak faham dengan situasi yang kami hadapi," katanya.

Sementara itu, suri rumah dari Kampung Batu Hitam, Natrah Ismail, 42, kesal dengan sikap pemborong dan peniaga yang menggunakan alasan bekalan tidak mencukupi untuk menjual ikan pada harga tinggi.

"Harga ikan yang melambung tinggi menyebabkan ramai suri rumah mengeluh terutama dalam membuat persiapan juadah berbuka puasa.

"Kenaikan harga antara RM3 hingga RM6 sekilogram pasti membebankan keluarga dan menjejaskan perbelanjaan harian terutama golongan berpendapatan rendah," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, tekong bot pukat jerut, Mustapa Ismail, 53, mengakui hasil laut itu berkurangan mengikut musim.

"Berikutan itu, kami terpaksa menjual kepada orang tengah dengan harga yang agak tinggi sebelum mereka pula menjualnya kepada peniaga dengan harga yang lebih mahal.

"Ini menyebabkan peniaga tidak mempunyai pilihan lain dan terpaksa menjual dengan harga yang tinggi kepada pembeli," katanya





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top