Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Jeritan wanita dalam ladang

Thursday, August 04, 2011


KAWAL...Siti Hamidah dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.

SHAH ALAM: Seorang amah warga Indonesia memberitahu Mahkamah Tinggi, di sini, dia mendengar jeritan wanita sebanyak dua kali ketika berada di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, pada malam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain, didakwa dibunuh pada 30 Ogos tahun lalu.

Siti Hamidah Karnas, 18, yang juga pembantu rumah tertuduh keempat, R Khatavarayan atau Ravi berkata, dia juga melihat api besar setinggi pohon sawit di tempatnya bekerja di sebuah ladang di Tanjung Sepat, Banting, dekat sini, keesokan harinya.
Saksi pendakwaan ke-33 itu berkata demikian ketika menjawab soalan Timbalan Pendakwa Raya, Idham Abd Ghani pada hari ke-12 perbicaraan kes bunuh Sosilawati, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32, dan pegawai bank CIMB, Noorhisham Mohamad, 38, semalam.

Terdahulu, ketika menceritakan semula peristiwa pada hari kejadian, Siti Hamidah berkata isteri Ravi, Jacinta menerima panggilan telefon kira-kira jam 4 petang sebelum meminta semua pekerja ladang masuk rumah dalam tempoh sejam.

Dia berkata, semua pekerja menurut arahan itu termasuk Lolita, seorang wanita Filipina yang baru tiba di ladang itu dan mereka tidak dibenarkan keluar tanpa kebenaran Ravi atau Jacinta.

Katanya, selepas Ravi makan pada jam 5 petang, Jacinta memintanya mengambil dua parang dan sebilah pisau di atas almari bilik tidur untuk diberikan kepada suaminya.

“Saya ambil parang dan pisau itu menggunakan kerusi. Saya nampak ada banyak parang. Ravi suruh letak di belakang pintu yang ada sofa dalam rumah itu,” katanya.

Siti Hamidah berkata, dia nampak Ravi keluar apabila tertuduh pertama, bekas peguam, N Pathmanabhan, 42, datang pada jam 5 petang sebelum Ravi memasukkan senjata itu ke dalam sebuah kenderaan.

Katanya, kedua-dua lelaki itu dilihat berbincang sebelum meninggalkan ladang dalam keadaan cemas menggunakan kenderaan berkenaan pada jam 5.55 petang.

Saksi itu kemudian berkata, Jacinta mendapat satu lagi panggilan telefon dan mengarahkan Lolita yang sebelum itu tinggal di sebuah rumah di hadapan ladang datang ke rumah mereka di bahagian belakang atas alasan Pathmanabhan mahu bermesyuarat di situ.

Katanya, kira-kira jam 7 malam, dia nampak Jacinta dalam keadaan cemas dan melihat tiga lelaki dan seorang wanita berada tidak jauh dari rumah majikannya.

IDHAM: Kemudian, apa berlaku?

SITI: Jacinta mahu mandi, tapi dia takut.

IDHAM: Bagaimana kamu tahu dia takut?

SITI: Jacinta beritahu saya yang dia takut. Dia menyuruh saya menggiling tosai di biliknya. Dia kemudian dapat panggilan dan saya disuruh sediakan dua baju berlengan dan tidak berlengan, seluar trek, syampu, bedak, tuala dan kunyit.

Kami bungkus barangan itu dengan akhbar dan masukkan dalam baldi. Saya diarah untuk sediakan barangan itu di dapur dan ketika itu semua orang tidak boleh berada di situ kecuali saya dan Jacinta.

IDHAM: Kunyit itu untuk apa?

SITI: Untuk mandi.

IDHAM: Di mana kamu letak barangan itu?

SITI: Saya tinggalkan barangan itu di pintu belakang.

IDHAM: Apa berlaku seterusnya?

SITI: Selepas saya letak, saya masuk giling tosai. Saya lihat Jacinta seperti cemas.

IDHAM: Selepas itu, apa kamu dengar?

SITI: Saya dengar perempuan berteriak.

IDHAM: Jam berapa kamu dengar bunyi itu?

SITI: 9 malam.

(Siti kemudian melakonkan bunyi suara yang didengarnya)

IDHAM: Berapa kali?

SITI: Dua kali.

IDHAM: Apa reaksi kamu?

SITI: Saya buat biasa saja.

IDHAM: Reaksi orang lain (dalam rumah kamu)?

SITI: Orang lain, mereka tonton televisyen.

Siti Hamidah berkata, dia menyambung kerjanya sehingga tengah malam sehingga Jacinta menerima satu lagi panggilan telefon dan mengarahkannya mengambil semula barangan di sebuah ‘rumah karaoke’ di ladang itu.

Dia berkata, barangan termasuk pisau, kunyit, air, satu bateri telefon bimbit dan tuala lembap yang sudah digunakan ditemui bersepah-sepah.

Ketika itu, katanya, dia nampak empat pekerja ladang itu berada di situ, tetapi tidak melihat kelibat Pathmanabhan.

“Ketika mahu masuk rumah karaoke itu saya (juga) nampak api besar setinggi pohon sawit di belakang rumah yang dihuni (tertuduh kedua) T Thilaiyalagan,” katanya.

Ditanya Idham sama ada dia pernah melihat api besar seumpama itu, Siti Hamidah berkata, dia pernah melihatnya ketika dua orang bernama Raja yang berasal dari India dan rakan baik Pathmanabhan, Syafiq berkunjung ke ladang itu.

Namun, katanya, api itu tidak sebesar api yang disaksikannya pada malam itu.






Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top