Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Hura-hara

Thursday, August 11, 2011



Rusuhan terburuk Britain masuk hari kelima


  • Empat maut dalam keganasan

  • Penduduk Islam jadi sasaran

  • Kekacauan merebak ke Manchester, Liverpool, Nottingham

  • EPL mungkin terjejas

    LONDON:
    Rusuhan terburuk dalam sejarah Britain yang memasuki hari ke-5 semalam, meragut empat nyawa sejak kelmarin, dengan kekacauan terus merebak ke beberapa bandar utara termasuk Manchester, Liverpool dan Nottingham, manakala lebih 1,100 orang ditahan di seluruh negara setakat ini.
    Seorang lelaki ditembak mati di Croydon, kelmarin, korban pertama rusuhan diikuti tiga lagi semalam apabila mangsa dilanggar kereta ketika mempertahankan beberapa kedai di Birmingham. Kekacauan juga dilaporkan merebak di West Bromwich, Wolverhampton, Leeds dan Gloucester.

    Keganasan dan keadaan tidak menentu juga dikhuatiri mengancam jadual perlawanan pembukaan musim baru bola sepak Liga Perdana Inggeris (EPL) hujung minggu ini di luar kota London selain menimbulkan kebimbangan mengenai keselamatan kejohanan Olimpik 2012 di ibu kota Britain itu. Syarikat insurans menganggarkan kerugian mencecah £100 juta (RM480 juta) sejak rusuhan meletus, Sabtu lalu. Rusuhan bermula di Tottenham di tengah ibu kota London selepas polis menembak mati seorang lelaki kulit hitam, Mark Duggan.

    Rusuhan dan huru-hara berterusan turut memaksa Perdana Menteri Britain, David Cameron dan Ketua Polis Metropolitan buat pertama kali membenarkan anggota polis menggunakan peluru plastik serta meriam air bagi menghalang perusuh dan kegiatan mencuri di bandar utama ‘selama mana perlu.’

    Peluru plastik biasa digunakan untuk mematahkan kemaraan perusuh tanpa menusuk ke dalam anggota tubuh. Ia biasa digunakan bagi menyuraikan rusuhan di Ireland Utara tetapi tidak pernah digunakan polis di tanah besar Britain.

    Di Manchester, beratus-ratus belia, ada di kalangan mereka semuda 10 tahun, mengganas di tengah bandar dengan membaling botol dan batu ke arah polis selain menyelongkar kedai.

    Kebanyakan mereka yang memakai topeng muka dan topeng ski memecah tingkap kedai, merompak selain mengejar jurugambar yang berada di kawasan itu dalam apa yang disifatkan sebagai keganasan terburuk dalam tempoh 30 tahun.

    Sebuah kedai pakaian wanita di lokasi perniagaan utama bandar itu dibakar bersama sebuah perpustakaan lama dekat Salford.

    Perusuh turut memecahkan pintu kaca dan masuk ke dalam Arndale, pusat beli belah utama Manchester. Beratus-ratus remaja kemudian merempuh masuk kedai itu dan mencuri pakaian dan kasut.

    Di Nottingham, perusuh membaling bom api ke sebuah balai polis dan membakar sebuah sekolah serta kenderaan di luar satu lagi balai polis.

    Sekurang-kurangnya 90 orang ditahan selepas cuba mencuri barangan dalam kedai, kolej, pusat masyarakat dan kenderaan.

    Di Liverpool, 200 belia membaling pelbagai benda ke arah polis dan anggota bomba memaksa pihak berkuasa menahan 44 orang.

    Di London, kedai, pejabat dan sekolah ditutup awal berikutan kebimbangan rusuhan baru akan meletus. Beberapa kawasan perniagaan yang selalunya sibuk dilaporkan tenang kerana pemilik kafe, restoran dan pub menutup perniagaan sejak malam kelmarin.

    Di kebanyakan kedai, langsir logam diturunkan dan banyak pemilik tempat perniagaan menutup tingkap kedai dengan kayu sebelum malam. - Agensi









  • Related Posts by Categories



    0 comments

    :)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

    Post a Comment

    Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...