Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Barang makanan dijamin cukup

Tuesday, August 02, 2011


Kerajaan tambah kuota ikut permintaan semasa menjelang Aidilfitri

PUTRAJAYA: Kerajaan memberi jaminan bekalan barangan makanan terutama ayam, kelapa serta minyak masak sempena perayaan Aidilfitri, adalah mencukupi dan kerajaan akan menambah kuota mengikut permintaan semasa. 

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Jawatankuasa Kabinet Mengenai Kawalan Harga Barangan sudah bertindak awal mengarahkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi memastikan bekalan barangan terbabit sentiasa mencukupi. 

"Saya difahamkan oleh Datuk Seri Noh Omar (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) bahawa bekalan ayam mencukupi dan harganya tidak begitu tinggi, begitu juga dengan bekalan telur dan bekalan kelapa pun sudah ditambah.

"Import kelapa ditambah tiga juta biji lagi untuk kegunaan sepanjang Ramadan dan saya difahamkan pengeluaran ayam ditambah 15 peratus manakala Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi sudah menambah kuota pengeluaran minyak masak bagi bulan Ogos dan September ini.

"Justeru, pengguna tidak perlu bimbang dan jangan pula ada pembelian panik kerana bekalan semua bahan keperluan asas sudah dipastikan mencukupi," katanya ketika melawat tapak bazar Ramadan di Presint 2, Putrajaya, di sini semalam.

Jelas beliau, peningkatan penggunaan bahan mentah memang dijangkakan semasa Ramadan kerana lebih ramai yang berniaga pada bulan puasa manakala perusahaan kecil dan sederhana (PKS) juga akan menambah pengeluaran biskut atau kuih muih, sekali gus meningkatkan penggunaan bahan mentah seperti tepung dan gula.

Beliau, yang turut meninjau harga barang makanan di bazar terbabit, gembira kerana tidak banyak perubahan berbanding harga tahun lalu di mana daripada 55 barangan yang diperiksa hanya 15 yang naik sedikit harganya iaitu sekitar lima sen saja, dua turun harga dan bakinya kekal seperti harga lama tahun lalu.

Ismail Sabri berharap peniaga di bazar Ramadan lain di seluruh negara juga menetapkan harga lebih munasabah sempena bulan yang mulia ini, terutama pada waktu puasa ketika pengguna cenderung berbelanja lebih dan mengingatkan bahawa pegawai PDNKK akan terus memantau bagi membanteras kenaikan harga yang keterlaluan.

"Saya minta peniaga lebih berhemah ketika bulan puasa ini. Kita tahu mereka pun cari makan tetapi jangan mengambil kesempatan mengaut keuntungan keterlaluan dan dari segi penguatkuasaan pula, kita seboleh-bolehnya tidak mahu menghukum mereka,” katanya.




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top