Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Minda Intelek: Belajar sepanjang hayat

Friday, July 22, 2011


PENDIDIKAN ialah proses sepanjang hayat dan tidak mengenal jurang usia.

 Jangan jadikan alasan umur atau kesibukan kerja untuk menimba ilmu

DALAM perspektif menyahut seruan pembangunan dan mengisi agenda modal insan negara yang berdaulat ini, setiap staf atau pegawai bukan akademik yang berkhidmat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) atau institusi pendidikan tinggi yang terkenal sebagai ‘gedung ilmu’ ini perlu mempunyai minda kelas pertama dan sanggup melakukan perubahan dalam hidup. Memang mudah dikata, terbukti sukar dicapai, tetapi tidak mustahil dicapai dengan usaha yang padu!



Realisasikan impian hidup dan gunakan peluang kerja yang berdampingan dengan golongan ‘bijak pandai’ untuk meningkatkan tahap pencapaian akademik, walaupun kita hanya berjawatan kerani atau penghantar surat sekalipun! 

Melayan kesibukan tugas di pejabat yang dipancari iklim akademik setiap masa, menghirup udara tumbesaran minda pasti memberikan titik-titik muhasabah diri untuk kita turut meraih kejayaan memiliki sekurang-kurangnya diploma, atau ijazah sarjana muda, seterusnya sarjana mahupun cemerlang menamatkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD). Adakah seseorang yang berjawatan kerani tidak layak atau tidak mampu berjaya sehingga memiliki ijazah doktor falsafah (PhD)? 

Percayalah, dunia akademik tidak zalim dan tidak menganiayai individu yang benar-benar tulus dan gigih menimba ilmu.

Hanya mereka yang mempunyai semangat tinggi, keyakinan ampuh, tahan diuji dan lasak ‘dibelasah’ cabaran serta bijak mengatur strategi akan berjaya dalam perjuangan menimba ilmu.

Saranan positif ini dilontarkan kepada semua pegawai bukan akademik supaya berani mencabar diri sendiri untuk melakukan nilai tambah dalam hidup, supaya tidak menyesal ‘menggigit jari’ hanya menghitung hari pencen sebagai matlamat akhir bergelar penjawat awam di universiti.

Ketahuilah, ‘Setiap masa, kita melihat dan berkomunikasi dengan pensyarah hebat, yang tetap mempunyai pancaindera sama seperti kita. Adakah diri kita tidak layak untuk berjaya seperti mereka?
Adakah kita hanya berdoa dan menaruh harapan agar ada keturunan dalam keluarga kita nanti boleh berjaya seperti mereka? Sedangkan, kita yang ditakdirkan untuk bekerja di universiti telah dibukakan dengan pintu-pintu kejayaan, yang ‘anak kuncinya’ sudah berada di tangan kita sendiri.

Sudah pasti, hati sudah puas bermonolog dan otak sudah letih memikirkan pelbagai masalah kerja yang dihadapi selama ini. Situasi diarahkan membuat kerja-kerja pentadbiran dan perlu membantu urusan mesyuarat ketua, pasti meninggalkan kesan kepada diri. Ketahuilah, kita kerja di mana-mana pejabat sekalipun, mesti ada masalah dan kita perlu berani menghadapinya. Jangan sampai menjadikan ‘politik pejabat’ sebagai halangan kita untuk berjaya dan merelakan diri sendiri menjadi mangsa dalam situasi negatif yang boleh ‘membunuh’ potensi diri.

Teringat saya pada peribahasa ‘Seperti katak di bawah tempurung’ yang dapat saya olahkan menjadi ‘seperti katak di dalam gelas’ mengikut situasi hidup sekarang.

Natijahnya, sama iaitu tetap dalam keadaan kerugian bagi kedua-dua situasi itu. Malang sekali dan sangat memalukan jika berada ‘di dalam gelas’ kerana dunia di luar yang penuh kejayaan dan tersohor kegemilangannya sudah diketahui, tetapi ada individu yang ‘kecut’ untuk bertarung menikmatinya. Arus perubahan sudah lama tersebar, tetapi masih ramai yang tidak mahu berubah.

Bayangkan, seseorang pembantu tadbir yang mempunyai kelulusan ijazah sarjana muda dan diarahkan oleh seorang ketuanya yang juga berkelulusan ijazah sarjana muda. Memang dari aspek kerja, dua individu ini berbeza dan mempunyai jurang pendapatan yang berlainan. Hakikatnya, kecerdasan pemikiran dan pengalaman bergelar mahasiswa di universiti bagi mereka adalah sama.

Bagaimanakah keadaan kerja yang positif dapat diwujudkan, andai kata berlaku percanggahan keputusan yang dibuat oleh ketua itu, sehinggakan mewujudkan persepsi kurang profesional. Bahkan, menunggu peluang dinaikkan pangkat setaraf dengan kelulusan yang ada seperti kabur dan seperti mengharapkan ’keajaiban’ berlaku untuk mendapat jawatan yang tinggi, kerana persaingan yang hebat dengan calon lain yang berwibawa untuk berebut dengan jumlah jawatan sedikit.

Sesabar mana pun manusia, pasti ada batasnya! Luahkan segala keinginan hati untuk dinaikkan pangkat, mendapat anugerah perkhidmatan cemerlang dan sebagainya dengan membawa diri untuk berjuang meneruskan pendidikan yang selama ini boleh dituntut sepanjang hayat.

Tuntutan belajar sepanjang hayat yang sering bergema dilaungkan pendidik dan pemimpin negara perlu direbut oleh semua lapisan pegawai bukan akademik di negara ini.

Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan tegasnya menyarankan agenda sumber manusia menjadi tonggak kejayaan negara. Justeru, setiap insan di negara ini perlu menyahut seruan ini dan melakukan perubahan diri ke arah kebaikan serta menjadi ‘aset utama’ memakmurkan Malaysia.

Bukannya saling menuding jari dan membiarkan tanggungjawab ini diusahakan oleh sesetengah pihak. Sebaliknya, seruan bernas Perdana Menteri ini sewajarnya sudah berakar di dalam diri kita dan mampu merangsang seluruh kudrat rakyat untuk memajukan diri dengan pelbagai cara dan pelbagai arena kegemilangan.

Sesetengah institusi pendidikan seperti yang diamalkan oleh Universiti Putra Malaysia, skim galakan menyambung pendidikan dalam kalangan staf bukan akademik menjadi ‘batu loncatan’ untuk merebut peluang keemasan memburu pengetahuan. Kemudahan bercuti dengan gaji atau tanpa gaji menjadi antara pilihan kepada staf yang berminat untuk belajar.

Tahniah diucapkan kepada semua golongan staf yang sedang menuntut ilmu biarpun terpaksa menghadapi pelbagai cabaran. Usaha kalian, sanggup mengorbankan waktu rehat, bertarung dengan masa untuk menyiapkan tugasan dengan komitmen lain, kurang waktu tidur, pening kepala memikirkan pelbagai masalah yang timbul dan sebagainya, sangatlah dihargai dan difahami.

Perlu diingatkan, jangan sesekali ‘berdagang’ masalah belajar, hal kerja pejabat, hal keluarga kepada umum. Bukan semua orang suka mendengar ‘masalah’ itu. Kalau tidak, kata-kata seperti, “Siapa suruh awak sambung belajar, lagi bertambah masalah” akan ditujukan kepada kita.

Secara positif, dunia belajar sambil bekerja sangat unik dan mempunyai perspektif yang luas. Memang benar, ’semakin banyak kita menuntut ilmu, semakin banyak lagi ilmu yang perlu dipelajari’. Biar dunia kerja sudah bercampur dengan keperluan belajar kerana secara langsung dapat menyuburkan amalan hidup dan pemikiran yang rasional dan membentuk individu yang tahan diuji serta tidak mudah melatah dengan sebarang situasi yang berlaku.

Pengalaman berharga saya sebagai Pegawai Penerbitan dengan Penerbit di institusi pendidikan sambil belajar Ijazah Doktor Falsafah Bahasa Melayu tanpa mengambil cuti belajar sangatlah menguji kesabaran dan kebijaksanaan mengurus kehidupan.

Keperluan kerja hakiki di pejabat seperti mengedit dan menyemak pruf pelbagai bidang serta terbabit dengan kerja-kerja pentadbiran masih lagi mampu bertahan dan bersyukur kerana berjaya menyiapkan pengajian PhD dalam tempoh lima semester.

Ternyata, kekuatan semangat diri perlu sentiasa ampuh dan kita sendiri perlu berada di sekeliling golongan positif yang dapat memberikan cas motivasi hidup yang tinggi. Malahan, pengalaman menjawat jawatan pembantu pentadbiran selama selama tahun jelas menjadi platform mematangkan diri untuk berdikari dan membina kesedaran diri untuk berusaha.

Ternyata, bukan semua individu yang hampir atau mengenali diri kita sudi mendengar masalah diri yang kesibukan dengan hal keluarga, dunia kerjaya dan pada masa sedang belajar lagi. Jadikan segala dugaan yang timbul ini sebagai ’rencah kehidupan’ yang mematangkan diri untuk bertindak secara profesional dan berfikir dengan rasional. Situasi ini akan melahirkan sifat tidak putus asa untuk berjuang.

Biar apa-apa pun perjuangan dalam hidup, pastikan diusahakan dengan sepenuh hati dan diberikan komitmen yang tinggi. Mengingat pesan penyelia tesis saya, Prof Madya Dr Noor Aina Dani yang mengatakan bahawa ’hidup lagi berilmu kena ikut resmi padi’ benar-benar memberikan kesan mendalam dan menyuntik kesedaran diri untuk terus belajar.

Paling tidak, kita semuanya berhak dan layak belajar mengenai perkara yang kita minati dan menyumbangkan kepakaran kepada bangsa dan negara. Alangkah bertuahnya diri, sekiranya kita antara golongan yang mampu menyumbang kejayaan kepada kemakmuran negara dan berbakti kepada tanah tempat tumpah darah kita.

Penulis adalah Pegawai Penerbitan, Universiti Putra Malaysia




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top