Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Langkah positif tangani krisis air

Friday, July 29, 2011



SHAH ALAM: Senario pembekalan dan permintaan air di Lembah Klang dengan kapasiti rizab pada tahap sangat rendah ketika ini berada dalam keadaan membimbangkan dan dikhuatiri boleh menyebabkan krisis air berlaku dalam masa terdekat.
Ketua Pegawai Operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), Datuk Lee Miang Koi, berkata ini ditambah kualiti sungai semakin merosot disebabkan pencemaran alam sekitar, sekali gus menyebabkan kekurangan sumber bekalan air dan kesan perubahan iklim terhadap sumber bekalan air. 

Berikutan itu, katanya, satu memorandum hasil perbincangan meja bulat semalam membabitkan pihak berkepentingan dalam industri air akan diserahkan kepada kerajaan untuk memastikan langkah positif diambil bagi menangani masalah kekurangan bekalan air.


“Projek Kerajaan Pusat bagi membekalkan sumber air tambahan sejumlah 320 juta liter sehari (JLH) hanya mampu menampung keperluan pengguna selama dua tahun.

“Keadaan ini bertambah kritikal apabila projek pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 Fasa 1 berkapasiti 1,130 JLH yang menjadi komponen utama bagi Projek Pemindahan Air dari Pahang ke Selangor tidak dapat dipastikan bila siap.

“Jadi, pasti kita menuju ke arah krisis air sebelum loji berkenaan siap,” pada sidang media sebaik perbincangan meja bulat berakhir di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini.

Perbincangan meja bulat itu disertai Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md Khairi Selamat; Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Sumber Air, Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM), Zubaidi Johar dan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Datuk N Marimuthu sebagai pengerusi perbincangan.

Miang Koi berkata, ketika ini kawasan sekitar Petaling Jaya, Hulu Langat, Selatan Kuala Lumpur dan Klang sudah mula mengalami kekurangan bekalan air.

Sehubungan itu, katanya, 10 peratus kapasiti rizab tambahan diperlukan bagi menampung keperluan pengguna pada waktu puncak, selain mempercepatkan tempoh pemulihan selepas berlaku gangguan bekalan air.

Marimuthu pula berkata, kerajaan negeri dan Kerajaan Pusat perlu bekerjasama mengatasi situasi ini bagi mengelak krisis air menjadi lebih teruk seperti dialami selama enam bulan pada 1998.

Beliau mengingatkan pengguna untuk menjaga kebersihan sungai supaya ia bebas daripada pencemaran demi memastikan sumber air berterusan untuk generasi akan datang.
 



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top