Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Rumah rakyat berkualiti

Friday, June 24, 2011


NAJIB ketika ditemu bual oleh deejay di konti One FM di Sri Pentas, semalam. - Foto Effendy Rashid

Projek di tapak TUDM peluang orang muda miliki kediaman

KUALA LUMPUR: Sebahagian tapak pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Sungai Besi akan dibangunkan dengan projek perumahan rakyat 1Malaysia (PRIMA) yang memberi peluang kepada golongan muda memiliki rumah mampu milik berkualiti berharga RM220,000 ke bawah selepas pangkalan itu dipindahkan ke Sendayan, Negeri Sembilan.

Projek pembangunan berkonsepkan perniagaan sosial untuk kepentingan negara itu antara inisiatif kerajaan menjayakan Skim Rumah Pertamaku yang bakal memberi manfaat kepada generasi muda berusia 35 tahun ke bawah dengan pendapatan tidak melebihi RM3,000 sebulan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berkata, kerajaan sudah berbincang dengan beberapa syarikat pemaju seperti Sime Darby, SP Setia dan Perbadanan Putrajaya untuk membolehkan projek perumahan rakyat berkualiti dibangunkan di kawasan berkenaan.


“Projek itu tidak akan menjadi projek komersial, sebaliknya projek berasaskan model sosial bisnes dengan kerajaan menyediakan tanah... pemaju membangunkan perumahan berkualiti dan mereka perlu mengemukakan perancangan projek kepada kerajaan termasuk kos.

“Kerajaan akan melakukan analisis perniagaan untuk memastikan pemaju tidak membuat sebarang keuntungan tetapi pada masa sama tidak rugi. Saya harap kita boleh melaksanakannya sebagai program nasional,” katanya dalam temu ramah bersama tiga penyampai radio One FM, Jack Yap, Jane Ng dan Nicholas Ong, semalam.

Temu ramah sejam bermula dari jam 7.30 pagi turut disiarkan secara langsung melalui saluran ntv7. Orang ramai bukan saja berpeluang mendengar jawapan Najib mengenai pelbagai perkara berhubung kehidupan peribadi serta dasar kerajaan, malah berpeluang mendengar celoteh anak Perdana Menteri, Norashman yang fasih berbahasa Mandarin.

Terdahulu, ketibaan Najib disambut Pengerusi Media Prima Berhad, Datuk Johan Jaaffar; Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Datuk Amrin Awaluddin dan pegawai-pegawai kanan Media Prima.

1Malaysia Development Bhd (1MDB), sebuah syarikat milik penuh kerajaan yang ditubuhkan bagi melaksanakan projek yang boleh menjana peluang berimpak tinggi kepada ekonomi negara dipertanggungjawabkan mengubah wajah kawasan pangkalan TUDM di Sungai Besi seluas 196.6 hektar kepada sebuah perbandaran baru bersepadu dikenali sebagai Bandar Malaysia.

Perdana Menteri berkata, Unit Khas di Jabatan Perdana Menteri akan mengendali pengagihan rumah mampu milik untuk memastikan ia dilaksanakan secara adil dan telus.

Menjawab soalan Nicholas mengenai kesukaran mendapatkan tanah di sekitar ibu negara untuk membangunkan projek perumahan, Perdana Menteri berkata, kerajaan perlu lebih imaginatif untuk mencari lokasi sesuai untuk melaksanakan program perumahan berkualiti dan mampu milik.

“Projek ini akan memberi manfaat kepada generasi muda dan sebagai kerajaan yang prihatin kita perlu memenuhi keperluan rakyat,” katanya.
 





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top