Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 ‘Tak berakal’

Wednesday, May 04, 2011



Tindakan tampal iklan, conteng papan tanda susahkan pengguna

 PAPAN tanda jalan sengaja ditampal iklan haram menyukarkan pengguna jalan raya mencari arah di sekitar Taman Datuk Harun. - Foto Hafizzul Mohamad
 
PETALING JAYA: "Kalau ada banyak lagi tempat sebegini rupa, sudah pasti ramai pengguna jalan raya tidak akan sampai ke destinasi," keluh Mohammed Yusoff Abdullah, 64, mengenai kesukarannya mencari rumah saudaranya di Taman Datuk Harun di sini.

Beliau yang menghabiskan masa lebih dua jam sebelum tiba di tempat dituju, kecewa terhadap tindakan sesetengah pihak yang menampal pelbagai bentuk pelekat selain menconteng papan tanda isyarat di kawasan itu sehingga menyukarkan pengguna jalan raya terutama mereka yang datang dari luar kawasan. 
 
"Saya tak sangka susah betul nak cari rumah saudara saya. Ini semua disebabkan kesukaran untuk membaca nama jalan serta hala tuju kerana kebanyakan papan tanda di sekitar Taman Datuk Harun ini sama ada telah ditampal pelekat atau diconteng," katanya yang datang dari Lambor Kiri, Parit, Perak. 
 
Beliau yang tidak faham tujuan sebenar perbuatan itu berkata, usahanya untuk bertanyakan penduduk di situ tidak membuahkan hasil kerana hujan lebat menyukarkan beliau untuk keluar masuk dari kenderaannya untuk bertanya arah.

"Malang berganda apabila kereta saudara saya rosak dan tidak dapat menjemput saya dari lokasi di mana saya menunggu. Yang tinggal cuma basikal, jadi takkan nak berkayuh ketika hujan lebat," katanya ketika ditemui Sentral.

Mohammed Yusoff kemudian terus berlegar mencari rumah saudaranya itu sehingga menjumpainya selepas hujan berhenti.

Sementara itu, tinjauan Sentral di sekitar kawasan itu mendapati hampir kesemua papan tanda di situ menjadi medan menampal iklan haram.

Malah, tidak cukup dengan itu, beberapa papan tanda jalan juga didapati diconteng dengan menggunakan cat semburan betul-betul pada bahagian maklumat jalan itu yang perlu diketahui pengguna.

Pengguna jalan raya, Meor Amir Hakim Meor Amir Hamzah, 33, berkata masalah papan tanda jalan yang ditampal pelekat haram itu sudah berlarutan sejak dua tahun lalu dan ia dilihat semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

"Kalau dulu, sasaran golongan yang tidak `berakal' ini untuk menampal pelekat itu adalah di pondok telefon awam dan perhentian bas, kini sikap kurang ajar mereka menjadi-jadi sehingga tergamak menjadikan papan tanda jalan untuk tujuan berkenaan. Ini sudah melampau," katanya.

Pandangan sama turut dikongsi seorang penduduk, Mohamad Jamaluddin Ngah Baharuddin, 58, yang menggesa individu yang hanya memikirkan keuntungan peribadi itu agar menyedari kesan negatif yang dilakukan mereka terhadap masyarakat dan segera menghentikan perbuatan itu.

"Cukuplah dengan menampal pelekat di tembok, pondok telefon dan perhentian bas. Jangan pula dijadikan papan tanda jalan sebagai mangsa. Kesukaran yang dihadapi pengguna jalan raya amat ketara,” katanya.



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top