Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Sijil halal: Kerajaan perlu ambil langkah komprehensif

Wednesday, May 25, 2011



PETALING JAYA, 25 Mei — Sambil mengakui wujud kelemahan dalam keberkesanan proses patuh sijil halal, Institut Penyelidikan Produk Halal UPM mahu kerajaan mengambil tindakan komprehensif mewajibkan setiap pembekal menyediakan butiran ramuan sesuatu bahan mentah atau yang diproses supaya masalah kewujudan komponen bertentangan dengan Islam, sama ada yang dilakukan secara sengaja ataupun tidak sengaja, dapat dielakkan.

Ketua makmal institut itu, Dzulkifly Mat Hashim berkata, dalam  kes-kes tertentu masalah kewujudan bahan-bahan tidak halal adalah disebabkan oleh faktor luar pengetahuan penyedia perkhidmatan atau produk terakhir itu sendiri.

“Dalam kes serbuk kopi (di Kluang sebagai contoh), pada pandangan peribadi saya, mungkin kes ini wujud kerana tiadanya pengetahuan atau di luar pengetahuan pemilik kafe,” kata beliau ketika ditemui di sini. Semalam beliau membentangkan kertas kerja pada Simposium 2011: Total Agilent Experience.

“(Oleh itu) kerajaan perlu mengkaji untuk mengambil satu tindakan komprehensif dalam hal ini, bermula dengan pendidikan, kempen kesedaran, bantuan kewangan dan sebagainya sebelum menguatkuasakan undang-undang,” kata beliau.

Sambil menekankan bahawa 80 hingga 90 peratus ramuan sesuatu produk makanan dan bukan makanan seperti kosmetik datang dari luar negara, maka sukar untuk penyedia perkhidmatan atau produk akhir memastikan atau mengetahui seratus-peratus kandungannya.

“Jadi, dalam perkara ini perlu ada kerjasama antara penyedia produk akhir dan pembekal bahan-bahan mentah kerana ia melibatkan satu rangkaian proses yang panjang,” katanya.

Kini tiada peruntukan yang mewajibkan perkara itu.

Bagaimanapun rang undang-undang halal yang sedang digubal dilihat akan membantu mengatasi masalah tersebut.

Pada April lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata undang-undang baru yang digubal untuk memperkemaskan lagi industri halal negara akan memberi lebih kuasa kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk menguat kuasa penggunaan dan pengeluaran logo halal di negara ini.

“Akta itu akan meliputi tindakan undang-undang dan penguatkuasaan kerana dulu tidak boleh ambil tindakan kepada mana-mana individu, syarikat swasta atau mana-mana syarikat luar yang mengeluarkan sijil kerana peruntukannya tidak diperkemaskan,” katanya.

Petang semalam, Pemuda Umno menggesa kerajaan membekukan proses kelulusan permohonan persijilan halal oleh Jakim dan kesemua agensi agama negeri ekoran kes-kes ketidakpematuhan sejak kebelakangan ini.

Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, langkah itu perlu sehingga satu proses pengauditan komprehensif oleh sebuah badan bebas terhadap proses kelulusan permohonan persijilan halal oleh agensi-agensi berkaitan selesai.

“Pada masa yang sama Pemuda Umno juga menggesa agar kerajaan mengkaji semula dan memantau kesemua 52 badan pensijilan halal diluar negara yang mana sekarang ini diiktiraf oleh Jakim bagi mengeluarkan sijil halal,” kata beliau.

Di samping itu Pemuda Umno juga menggesa agar pemantauan yang lebih kerap dan menyeluruh dilaksanakan ke atas pemegang-pemegang sijil halal sedia ada bagi memastikan pematuhan yang telah ditetapkan.

Katanya, Pemuda Umno berasa amat terkejut dengan laporan tentang pendedahan Mesyuarat Panel Pengesahan Halal Malaysia mengenai DNA babi dalam bahan ramuan Whole Egg Powder dan Whole Milk Powder yang digunakan syarikat Puratos Malaysia Sdn. Bhd.

Bahkan, kejutan berganda menyusur dengan dakwaan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) bahawa bahan-bahan tersebut dikatakan digunakan oleh sebuah rangkaian kedai francais makanan yang terkenal di Malaysia dengan langganan ramai dari masyarakat Islam.

Mengambil kes di Kluang baru-baru ini, ketika ditanya siapa yang harus dipersalahkan kerana pemiliknya dikatakan ada sijil halal, Dzulkifly menambah, oleh kerana kes itu sudah dibawa ke mahkamah, pihak berkuasa kehakiman yang perlu menentukan perkara tersebut.

Bagaimanapun katanya, soal itu perlu dilihat secara kes demi kes dengan melihat pada “beban kewajaran.”

Sama ada seseorang itu memasukan bahan yang dilarang secara sengaja atau tidak sengaja dan sebagainya,” kata beliau yang turut berpendapat bahawa masalah itu boleh diatasi jika ada langkah menggunakan analisis saintifik sebagaimana dilakukan pihaknya dan proses dokumentasi yang tersusun mengenai ramuan dalam sesuatu bahan yang digunakan.

Sambil mencadangkan agar kerajaan menambah pusat-pusat analisis makanan halal memandangkan banyak pihak berminat untuk melakukannya, Dzulkifly berkata, beliau yakin masalah yang disaksikan sekarang boleh diatasi dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-10 (2011-2015).

“Pada pandangan saya, saya berharap masalah-masalah wujudnya ketidakpematuhan keperluan sijil halal boleh diatasi dalam tempoh sebelum berakhirnya RMK-10... itu harapan saya.

“Jika boleh dilakukan jika kerajaan iltizam politik di pihak kerajaan dengan mengadakan pelbagai langkah, saya yakin ia boleh dicapai dengan cepat,” katanya.

Institut Penyelidikan Produk Halal UPM ini, yang sudah melakukan ujian saintifik sejak setahun lalu, mempunyai kapasiti melakukan 6,000 analisis dalam setahun.





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top