Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 PAS wajar tinggalkan pembangkang demi kepentingan Melayu

Thursday, May 12, 2011

Datuk Ahmad Maslan

KETUA Penerangan UMNO, Datuk Ahmad Maslan, berkata demi kepentingan bangsa Melayu dan rakyat secara menyeluruh adalah wajar untuk PAS meninggalkan pakatan pembangkang dan menyertai Barisan Nasional (BN).

Ahmad berkata, perpecahan di kalangan Melayu tidak akan menguntungkan bangsanya sendiri sebaliknya perpaduan itu pula tidak akan merugikan mana-mana pihak.

"Sebagai seorang umat Islam dan Melayu, hasrat saya adalah untuk melihat semua kaum di negara ini maju menjelang 2020 serta menganggap satu sama lain sebagai rakan dan bukannya lawan. 

"Sebagai Ketua Penerangan UMNO, hasrat saya adalah untuk melihat PAS masuk BN, saya cuba mengusahakan perkara itu..., Melayu harus berhenti bergaduh semasa sendiri..., cukuplah ia hanya membuang masa.

"Sudah lama kita bergaduh, di masjid kita bergaduh, di luar masjid kita bergaduh, di surau kita bergaduh, di kedai kopi kita bergaduh..., tiada gunanya PAS dan UMNO bergaduh lagi..., marilah kita bersatu," katanya ketika berucap pada Forum 65 Tahun UMNO di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Dr Hasan Mad dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda UMNO, Fathul Bari Mat Jahya.

Ahmad berkata, jika sebelum ini bapa Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein membawa PAS menyertai BN dan kemudian terpaksa keluar, apa salahnya PAS kembali semula kepada BN sebagai kemuncak kesepaduan dan kesepakatan yang boleh memanfaatkan bangsa melaluinya.

"Kebaikan juga bukan hanya membabitkan bangsa Melayu tetapi juga rakyat Malaysia keseluruhannya kerana perpecahan itu tak menguntungkan dan perpaduan juga tidak sedikit pun merugikan," katanya.

Sementara itu, Hasan berkata, PAS tidak semestinya menyertai BN tetapi parti berkenaan perlu lebih kepada menjauhi DAP yang hanya akan membawa banyak kebinasaan dan merosakkan perjuangan parti itu.

Katanya, PAS perlu wujud sebagai pembangkang kerana perbezaan ideologi dan dasar, tetapi masih menjadi parti yang memperjuangkan Melayu Islam yang boleh menjadi penimbangtara terhadap kepemimpinan yang dibawa oleh UMNO.

Bagi Fathul Bari, UMNO perlu lebih menampilkan imej yang lebih Islamik dalam menarik masyarakat untuk terus mendekatinya dan bukan menjauhkan masyarakat dengan mengelak pengisian yang berbentuk agama. 




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top