Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Islam agama rasmi tak akan dipinda: Najib

Thursday, May 12, 2011



PUTRAJAYA: Datuk Seri Najib Razak menegaskan semua pihak perlu menerima hakikat bahawa Islam adalah agama rasmi negara seperti termaktub dalam Perlembagaan dan tidak boleh diubah dalam apa juga keadaan.

Perdana Menteri berkata, peruntukan dalam Perlembagaan berhubung kedudukan agama Islam dan agama lain di negara ini juga amat jelas dan tidak boleh dipinda. 

Justeru, beliau berkata, semua pihak tidak seharusnya bimbang, gundah gulana atau gelisah kerana hasil pertemuan beliau dengan pemimpin Islam semalam sependapat bahawa yang penting ialah menjaga keharmonian, keamanan dan kesejahteraan negara dengan semua pihak mesti membendung perasaan emosi untuk tidak membuat perkara yang boleh mengganggu-gugat keamanan, keharmonian serta kesejahteraan negara. 

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas perbincangan dengan 22 pemimpin dan cendekiawan Islam, di pejabatnya, di sini, semalam.

Antara pemimpin dan cendekiawan Islam yang hadir adalah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; Pengerusi Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam, Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor dan Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof Emeritus Tan Sri Dr Abdul Shukor Husin.

Najib juga mengingatkan bahawa pihak berkuasa boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang cuba mempergunakan isu agama sehingga menjejaskan keharmonian negara.

“Kita tidak mahu ada tindakan dilakukan mana-mana pihak yang melanggar peraturan dan undang-undang negara sebab yang paling penting ialah keamanan dan keharmonian negara kita,” katanya.

Beliau berkata, pemimpin dan cendikiawan Islam juga setuju isu itu diserahkan kepada kerajaan untuk ditangani dengan penuh kebijaksanaan dan hikmah tanpa membiarkan ia menjadi sesuatu yang boleh merosakkan keharmonian antara agama di Malaysia yang selama ini dijadikan contoh yang boleh dibanggakan.

Menjawab soalan, Najib berkata, beliau mengadakan pertemuan dengan pemimpin dan cendikiawan Islam dari semasa ke semasa.

“Bagaimanapun, dalam keadaan yang berlaku sekarang, amat penting saya berjumpa dengan kumpulan ini sekali lagi (untuk) bincang isu ini dan perkara lain,” katanya.

Najib juga berkata, dalam pertemuan itu beberapa isu semasa dibincangkan, termasuk isu ‘menukar’ agama lain sebagai agama rasmi negara yang dilaporkan sebelum ini. Beliau juga meminta semua pihak menolak fahaman ekstrem. 




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top