Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Ujian DNA sahkan ketulenan telur diketahui hari ini

Monday, April 11, 2011



KUANTAN: Analisis awal Jabatan Kimia terhadap sampel telur yang didakwa tiruan di Pulau Pinang mendapati ia mempunyai kandungan protein yang sama seperti telur tulen.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata bagaimanapun pihaknya belum berpuas hati dengan keputusan berkenaan dan mengarahkan jabatan berkenaan melakukan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) bagi mengesahkan ketulenannya.


“Saya minta ujian DNA dilakukan kerana saya masih tidak berpuas hati walaupun ia menunjukkan telur itu telur biasa berdasarkan kandungan proteinnya. 

“Keputusan mengenainya akan diketahui esok (hari ini) dan orang ramai akan dimaklumkan mengenai perkara ini bagi mengelak kekeliruan,” katanya selepas merasmikan Hari Kesihatan Sedunia Peringkat Kebangsaan di Kompleks Penyiaran Sultan Ahmad (KOMPSAS) di sini, semalam.

Turut hadir Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hasan Abdul Rahman dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Alam Sekitar dan Kesihatan negeri, Datuk Hoh Khai Mun.

Liow berkata, ujian DNA itu merangkumi analisis cangkerang, kuning telur dan putih telur serta kandungan proteinnya yang didakwa tiruan sebelum ini.

“Orang ramai tidak perlu risau mengenai perkara ini kerana kita pernah menerima aduan yang sama pada 2007 tetapi ternyata tidak benar,” katanya.
Akhbar baru-baru ini melaporkan dakwaan Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), SM Mohamed Idris yang menasihatkan pengguna di Malaysia berhati-hati kerana ada telur tiruan dijual di pasaran.

Mohamed Idris dipetik sebagai berkata, telur tiruan mengandungi bahan kimia dengan cengkerangnya diperbuat daripada kalsium karbonat, manakala kuning dan putih telur diperbuat daripada natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna makanan.

Sementara itu, mengulas mengenai Adenovirus, Liow berkata 136 pelatih Pusat Latihan Asas Tentera Darat (Pusasda) Teluk Kemang, Negeri Sembilan, kini diletakkan di bawah pengasingan di kem itu, manakala lima lagi masih dirawat masing-masing tiga di Hospital Port Dickson dan dua di Hospital Seremban.

“Semua anggota dalam keadaan stabil dan tiada wabak baru dikesan berlaku di pusat latihan itu,” katanya. 





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top