Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Indonesia tetap bina loji nuklear

Thursday, March 17, 2011


JAKARTA: Indonesia akan meneruskan rancangan untuk membina sebuah loji nuklear berhampiran garis sesar gunung berapi meskipun berlaku bencana pada loji nuklear akibat gempa bumi dan tsunami di Jepun.

“Jika kami memilih untuk membinanya di Pulau Bangka, sudah pasti ia berdasarkan kepada beberapa pertimbangan yang selari dengan kriteria keselamatan,” kata Ketua Agensi Tenaga Atom Kebangsaan (Batan), Hudi Hastowo.

Pulau Bangka terletak di Sumatera timur, kawasan berlakunya gempa bumi dasar laut berukuran 9.1 magnitud yang menyebabkan tsunami pada 2004, meragut 220,000 nyawa di negara sekitar Lautan Hindi, termasuk 168,000 di Indonesia.

“Kawasan itu mempunyai rekod seismik dan aktiviti gunung berapi yang stabil,” kata Hudi.

Beliau juga berkata, agensi itu akan mengambil langkah menggunakan teknologi lebih canggih daripada Jepun.

“Terlalu awal untuk membincangkan bagaimana krisis di Jepun boleh menjejaskan projek kami.

“Tetapi sudah pasti apabila kami membina loji itu pada 2022, kami akan menggunakan sistem teknologi lebih baik,” katanya.

Bencana yang menimpa loji nuklear Jepun di Fukushima mendorong pakar menyuarakan kebimbangan mengenai loji nuklear di kawasan seismik.

Dua puluh peratus daripada 440 reaktor komersial yang beroperasi di seluruh dunia terletak di kawasan aktiviti seismik, menurut Persatuan Nuklear Dunia (WNA).

Sebahagian daripada 62 reaktor tambahan yang dalam pembinaan juga terletak di kawasan yang sering dilanda gempa, di samping sebahagian besar daripada hampir 500 unit yang dirancang untuk dibina, terutama di negara sedang membangun. - AFP





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top