Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 ‘Saya tidak berpihak mana-mana parti’

Friday, January 07, 2011


SULTAN SHARAFUDDIN berkenan bertitah pada majlis angkat sumpah pelantikan Mohd Khusrin di Istana Bukit Kayangan, semalam.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor nafi dakwaan kerajaan negeri

SHAH ALAM: Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, menegaskan beliau mengekalkan sikap berkecuali dalam hal berkaitan politik dengan tidak memihak kepada mana-mana parti.
Sambil melahirkan rasa kecewa dengan dakwaan mengatakan beliau orang UMNO dan Barisan Nasional (BN), Mohamad Munir berkata sebagai wakil istana negeri dan Sultan Sharafuddin Idris Shah, dirinya hanya memikirkan keputusan terbaik untuk kebaikan rakyat dan negeri, bukannya mementingkan sesetengah pihak saja. 

"Saya tidak menyokong mana-mana pihak kerana saya hanya menjalankan tugas yang sudah digariskan dan berkhidmat dengan Sultan. Tuanku pun ada bertitah agar menjalankan hubungan baik dengan mana-mana kerajaan negeri yang memerintah. Jadi, cakap-cakap mengatakan saya tidak menyebelahi kerajaan negeri sekarang adalah tidak benar," katanya pada sidang media di pejabatnya di Istana Bukit Kayangan di sini, semalam. 

Hadir sama, peguam terkenal yang juga ahli Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Salehuddin Saidin.

Mohd Munir juga berharap kerajaan negeri memberi peluang kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang baru melaksanakan tugas yang diamanahkan itu.

"Biar Khusrin berkhidmat dulu dan biar kita nilai kemudian. Janganlah terus hukum beliau kerana tindakan seperti ini tidak adil," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, kerajaan negeri seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila tidak peka dengan tarikh persaraan bekas Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ramli Mahmud pada akhir tahun lalu sehingga menyebabkan mereka gagal menyerahkan senarai calon lebih awal untuk jawatan itu.

“Sepatutnya Menteri Besar tahu perkara ini dan serah calon lebih awal selain boleh berbincang dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) atau Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), bukan apabila sudah dipersembahkan kepada Tuanku, baru hendak bincang," katanya.

Sementara itu, Salehuddin berkata, Suruhanjaya Perkhidmatan Negeri (SPN) negeri tidak mempunyai kuasa melantik pegawai perkhidmatan awam divisyen tinggi kerana kuasa eksekutif tertakluk kepada SPA.

Ditanya kedudukan Mohd Khusrin jika Menteri Besar terus berdegil tidak menjemputnya menghadiri majlis angkat sumpah menyimpan rahsia, Salehuddin berkata, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Mohd Khusrin mempunyai hak untuk hadir ke mesyuarat EXCO.

"Tiada peruntukan undang-undang lain untuk digunakan jika Menteri Besar tetap enggan adakan sumpah menyimpan rahsia. Namun, beliau ada hadir menurut undang-undang," katanya. 



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top