Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Keikhlasan Khalid setia kepada Sultan dipersoal

Saturday, January 08, 2011


KUALA LUMPUR:   Majlis Gabungan Pertubuhan Sukarela Selangor (GPSS) yang terdiri daripada 45 pertubuhan berdaftar dengan lebih 30,000 ahli, mempersoalkan keikhlasan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dan barisan kepemimpinannya menjunjung kasih serta taat setia kepada Sultan Selangor.

Pengerusi Majlis GPSS, Datuk Dr Mat Yassir Ikhsan, berkata wujud elemen tidak selari apabila Abdul Khalid mengaku kehadiran seluruh ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) ke Majlis Angkat Sumpah Taat Setia Setiausaha Kerajaan Selangor (SUK) kepada Sultan Selangor, kelmarin, adalah bukti dan tanda kasih serta taat setia mereka kepada Sultan Selangor dan juga Raja Muda Selangor.

Namun, pada masa sama, beliau berkata, mereka menegaskan isu pelantikan Datuk Mohd Khusrin Munawi sebagai SUK baru belum muktamad dan masih memerlukan penyelesaian, malah bercadang mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor, sedangkan Sultan Sharafuddin Idris Shah jelas menitahkan supaya seluruh pegawai kerajaan di negeri itu memberi kerjasama kepada beliau. 

Katanya, kontroversi sedang melanda Selangor ketika ini adalah kemelut pentadbiran yang cuba dipolitikkan, meskipun Sultan Selangor menitahkan pelantikan Mohd Khusrin tidak perlu diperbesar, dipolitik dan disensasi sehingga menimbulkan kekeliruan rakyat.

Kerajaan Selangor tidak perlu bersandiwara kerana tindakan yang kelihatan bertentangan itu seolah-olah mencabar titah serta perkenan Tuanku, sekali gus boleh menjejaskan imej kedaulatan serta integriti Tuanku, selain seperti menggambarkan ketidakikhlasan mereka menghormati Tuanku.

“Justeru, hasrat mengadakan sidang DUN itu tidak wajar dan harus dibatalkan. Jika kerajaan negeri benar-benar mengadakan sidang itu, jelas ada motif politik tersembunyi yang akan menjejaskan semula hubungan antara Tuanku, kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan.

“Malah, ia juga boleh ditafsirkan sebagai cubaan menghasut rakyat untuk bertindak di luar batas undang-undang, termasuk bangkit terhadap Tuanku. Ini perkara amat besar yang mirip kepada penderhakaan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd Razlan Muhammad Rafii, pula mendakwa pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengeluarkan beberapa kenyataan yang secara terang memutarbelitkan perjumpaan antara Abdul Khalid dan Sultan Selangor.

“Mereka harus berpegang kepada prinsip bercakap benar dan tidak memutar belit kenyataan Tuanku hanya kerana ia tidak menyebelahi kehendak mereka. Perjumpaan tertutup antara Menteri Besar dan Tuanku patut dijadikan medan mencari titik persamaan dan juga penyelesaian antara kerajaan negeri dan istana,” katanya dalam kenyataan media di sini.

Sementara itu sejarawan negara, Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim, pula berkata kemelut yang berlarutan berhubung pelantikan Mohd Khusrin, boleh menjejaskan urus tadbir negeri sehingga mengakibatkan kerugian besar kepada rakyat.

Justeru, beliau berkata, Abdul Khalid dan Mohd Khusrin perlu menyelesaikan isu berkenaan dengan segera, termasuk melalui badan kehakiman jika masih berdepan jalan buntu.

“Rakyat juga perlu menggunakan hak dan kuasa mereka untuk bersuara, termasuk meminta diadakan semula pilihan raya umum peringkat negeri jika semuanya ‘tidak berjalan’,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. 




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top