Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 ISC penghubung pelajar asing UKM

Sunday, January 23, 2011

PELAJAR antarabangsa turut menggunakan ISC untuk berhubung sesama sendiri.

PENGETAHUAN mengenai adat dan budaya merupakan antara perkara penting apabila berpeluang melanjutkan pengajian ke menara gading di bumi asing.

 
Mungkin ada sesetengah orang menganggap ia satu perkara yang remeh, tetapi pengetahuan mengenai adat budaya masyarakat lain dapat membantu anda menyesuaikan diri dalam suasana baru.

Ia dapat memberi gambaran kepada pelajar mengenai gaya hidup masyarakat tempatan dan universiti yang ingin mereka memasuki untuk melanjutkan pelajaran agar tidak berasa kekok serta ganjil. 

Pada hari ini, bagi pelajar-pelajar antarabangsa yang ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara medium terbaik untuk mengetahui negara, budaya dan universiti adalah melalui laman web. 

Dengan melayari alam maya pelbagai maklumat dapat diperoleh di hujung jari dalam mengejar impian menggenggam ijazah sebagai bekalan masa hadapan mereka di perantauan.

Justeru, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, Selangor melancarkan laman web Pusat Pelajar Antarabangsa (ISC) UKM baru-baru ini untuk menjadi rujukan bakal pelajar antarabangsa dan mereka yang sudah menjadi pelajar UKM.

Rujukan pelajar antarabangsa

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) UKM, Prof. Datuk Dr. Ir. Hassan Basri berkata, pembangunan laman web berkenaan bertujuan untuk menyediakan perkhidmatan kepada pelajar antarabangsa memperoleh maklumat mengenai UKM dan negara ini.

“Sudah menjadi lumrah anak muda hari ini, laman web merupakan medium pertama yang dilawati apabila ingin mendapatkan maklumat mengenai sesuatu perkara. Senario atau persepsi awal menjadi penentu kepada pelajar untuk memilih universiti melanjutkan pengajian mereka.


UKM mahu memberi perspesi pertama yang positif kepada pelajar yang berminat melanjutkan pelajaran di universiti itu melalui ISC.

“Menyedari kepentingan ini, laman web ISC dibangunkan berdasarkan maklumat yang diperlukan bakal pelajar antarabangsa selain pelajar UKM lain. Dengan kata lain, kandungan laman web ini dibangunkan berdasarkan piawaian diperlukan pelajar dalam satu ISC maya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan laman web Pusat Pelajar Antarabangsa (ISC) UKM di Pusanika baru-baru ini. Hadir sama dalam majlis berkenaan ialah Pengarah Pejabat Hubungan Antarabangsa, Prof. Madya Dr. Imran Ho Abdullah.

Hassan menambah, pembangunan ISC maya diusahakan melalui satu projek penyelidikan dan penyediaan perkhidmatan kepada pelajar antarabangsa.

Katanya, penggunaan alam maya amat penting dan berkesan dalam menyampaikan citra UKM kepada bakal pelajar antarabangsa.

“Segala usaha yang dilaksanakan ini adalah untuk menjayakan aspirasi UKM dan Kementerian Pengajian Tinggi bagi mencapai satu tahap pengantarabangsaan pengajian tinggi membanggakan.

“Ia juga diharap dapat memacu Malaysia sebagai hab pengajian tinggi serantau dan global yang disegani,” ujarnya lagi.

Sehingga kini UKM menempatkan 2,600 pelajar antarabangsa daripada 50 buah negara seluruh dunia.

Sementara itu, seorang pelajar dari Jordan, Imran Issa Khamaiseh, 28, berkata, dia sangat kagum dengan pembangunan laman web berkenaan kerana dapat memberi peluang kepada pelajar asing mendapat maklumat mengenai UKM.

“Melalui laman web ini, bakal pelajar antarabangsa dapat mengetahui cara terbaik untuk memperoleh perkhidmatan seperti penempatan awal dan perumahan dengan lebih mudah.

“Selain daripada itu, terdapat juga kolum suai kenal dan latarbelakang serta program-program ditawarkan UKM kepada pelajar antarabangsa,” katanya yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Biosains dan Bioteknologi.

Bagi pelajar negara China, Pang Jun, 21, ISC di alam maya memberi faedah kepada pelajar antarabangsa UKM dalam memberi maklumat mengenai universiti dan budaya negara ini.

“Saya yakin semua orang boleh berkongsi budaya. Maka adalah tidak mustahil pelajar China dan masyarakat Malaysia boleh memahami budaya satu sama lain.

“Di samping itu, UKM mempunyai pelajar antarabangsa dari pelbagai negara, sekali gus ISC menjadi platform pelajar saling memahami budaya masing-masing,” kata pelajar Ijazah Sarjana Muda Perniagaan Antarabangsa itu.

Dalam pada itu, Azzam Abu Habib, 33, yang berasal dari Palestin pula, memberitahu, laman web berkenaan banyak membantunya Malaysia kerana mempunyai pautan ke laman web Tourism Malaysia dan Selangor.


UKM menjadi universiti kepada pelajar antarabangsa dari 50 buah negara.

“Sebagai Presiden Persatuan Pelajar-Pelajar Palestin UKM, saya dapat memberi maklum balas mengenai negara ini kepada rakan-rakan yang lain.

“Dengan adanya laman web ini, ia juga dapat membantu saya mengajak rakan-rakan di Palestin untuk menyambung pengajian di sini kerana negara Malaysia mempunyai rakyat yang peramah,” ujarnya. 

Azzam yang berada di Malaysia bersama keluarga tidak berdepan dengan sebarang masalah untuk memperbaharui visa kerana laman web berkenaan turut mempunyai pautan portal Jabatan Imigresen Malaysia.

Dia turut melahirkan keyakinan bahawa laman web berkenaan yang menyediakan kolum untuk persatuan-persatuan pelajar antarabangsa dapat membantu memahami setiap budaya pelajar-pelajar di UKM.

“Ia bukan sahaja baik untuk pelajar-pelajar antarabangsa tetapi pelajar-pelajar tempatan juga dapat mempelajari budaya baru dengan menggunakan ISC ini,” katanya.

Bagi pelajar dari China, Li Meng Shi, 21, laman web berkenaan yang menggunakan bahasa Inggeris dapat memudahkan lagi pelajar antarabangsa mengetahui mengenai UKM dan Malaysia.

Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai laman web ini boleh melayari www.ukm.my/isc.

Kosmo!



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top