Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Gelanggang generasi baru

Saturday, January 08, 2011


Anugerah Juara Lagu (AJL) kembali lagi. Apabila AJL yang kini masuk edisi ke-25 kembali, isu yang hangat diperkatakan adalah tentang siapa yang bakal menjadi juara. Maka berderet juga ramalan dan teka teki tentang 14 buah lagu yang dipertaruhkan.

Menariknya edisi kali ini. Tiada penyanyi senior seperti Datuk Siti Nurhaliza, M.Nasir atau Ziana Zain misalnya beraksi di pentas final.

Seperti mana berjalan roda, begitu juga final AJL apabila semua 14 penyanyi yang bertarung merupakan penyanyi generasi baru.

Malah menariknya juga, separuh daripada peserta bukan sekadar menyanyi, sebaliknya mereka merupakan komposer dan penulis lirik terhadap karya yang dipertandingkan.

Ramai yang meramalkan Hanyut dan Selamat Malam milik Faizal Tahir akan menjadi juara. Namun tidak kurang juga yang berasa Drama King milik Meet Uncle Hussain tidak terlepas akan membuat kejutan kerana keunikan yang ada pada karya tersebut.

API, gabungan anak-anak muda berbakat besar yang mempertaruhkan lagu berjudul Pelita turut diberi perhatian sebagai lagu yang akan membolosi gawang juri untuk menumpaskan 13 lagu lain.

Juga, prediksi terhadap lagu-lagu lain yang menjadi kegemaran dan selera masing-masing turut dilihat mempunyai potensi untuk menang pada malam anugerah yang bertemakan pemetaan muzik yang akan bersiaran secara langsung dari Stadium Putra, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, 9 Januari ini. 

Sengaja mengajak bijak pandai industri seni berkongsi persepsi dan prediksi mereka, penulis lirik tersohor, Habsah Hassan, penyanyi Misha Omar dan komposer Azmeer menumpahkan pandangan mereka.


YUNA beraksi kali kedua di pentas AJL.

Bagi penulis lirik popular, Habsah Hassan, dia hanya mampu memberi pandangan rambang tentang lagu-lagu bertanding. Tidak adil untuknya meramal karya bakal dijulang gelaran terbaik pada anugerah mencecah usia setengah abad itu.

“Kalau hendak kata, 14 lagu yang bertanding ada kekuatan masing-masing. Setiap daripada mereka ada peluang sama rata untuk menang. Yang pasti, pada malam itu, penyanyi akan diadili menerusi kreativiti, keaslian, penghayatan dan vokal semasa persembahan.

“Saya memandang semua lagu tersenarai pada peringkat akhir ini sebagai subjektif. Lagu-lagu yang dinyanyikan pada malam itu sudah popular dan ada kelainan. Cuma, tinggal lagi, kami selaku juri ingin menilai mana satu paling berkualiti,” jelas Habsah berpendirian enggan berat sebelah.

Bagi penggubah lagu berpengalaman, Azmeer, semua yang bertanding pada AJL 25 dianggap sama hebat sehingga ketara setiap lagu tidak memiliki jurang perbezaan jauh antara satu sama lain. Mudah diungkap, 80 peratus lagu dipertandingkan dilihat ada ‘kuasa’ masing-masing.

“Saya dapati, 10 daripada 14 lagu menduduki senarai akhir ini ada peluang untuk bergelar pemenang. Justeru, sesiapa saja boleh jadi juara AJL 25. Berbanding zaman AJL lalu, lagu Isabella, Sekadar Di Pinggiran atau Tanya Sama Itu Hud-Hud dapat dirumus sebagai lagu-lagu hebat.

“Lagu bertanding lain hanya menyokong atau berada dalam kelas A- atau B. Tetapi, AJL 25 menyenarai karya-karya berkualiti sehingga sukar menentukan mana yang boleh diangkat sebagai juara,” luah Azmeer.
Berada dalam liga sendiri, penyanyi popular, Misha Omar, 29, tidak ketinggalan berkongsi prediksi. Dia berpendapat Drama King nyanyian Black bersama Meet Uncle Hussain atau Pelita (A.P.I) bakal bergelar juara AJL.

“Saya nampak dua karya ini didatangkan dengan idea segar. Terus terang, saya buat ramalan ini selepas mengetahui kekuatan Drama King dan Pelita secara keseluruhannya. Malah, susunan lirik dalam dua lagu ini juga bagus,” jelas Misha.

Tidak ketinggalan, penyanyi yang hampir sedekad bergelumang dalam lapangan seni itu sempat menasihati finalis AJL 25 agar bersedia sepenuhnya bagi mengadakan sebuah persembahan bakal diingati hingga bila-bila oleh peminat. 

“Bukan mudah kelibat kita dapat dilihat di atas pentas AJL. Ambil peluang ini menonjolkan persembahan terbaik apatah lagi Shahir, Adira dan Ana Raffali yang pertama kali bertanding,” saran Misha buat anak seni pelapis.

Debaran Black, Adira

 Meet Uncle Hussain dan Drama King punya kekuatan tersendiri.

Dua nama ini, Black dan Adira masing-masing tidak mampu menyembunyikan debaran berada di padang AJL 25 selang beberapa hari lagi. Biar Black pernah berdiri di atas pertandingan sama tahun lalu, hakikatnya, anak muda itu masih dihantui kegentaran bersaing dengan penyanyi lain.

Mengungguli kategori Vokal Terbaik pada AJL 24 menerusi lagu Aku Rindu Sayang Kamu, Black atau Hanifah Md. Hanafiah akan mendendangkan dua lagu - Sofea Jane dan Drama King bersama Meet Uncle Hussain pada malam akhir AJL nanti.

“Kedua-dua lagu ini memberi tekanan kepada saya. Sofea Jane dan Drama King masing-masing punya kesukaran untuk dinyanyikan. Stamina saya sebelum sampai AJL 25 kena kuat. Kerana itu, saya terus bermain bola sepak dan bersenam bagi menambahkan tenaga dalam badan.


RAMAI yang meramalkan Faizal Tahir dengan Selamat Malam dan Hanyut akan menang besar pada AJL 25.

“Bercakap soal harapan, saya percaya setiap penyanyi yang bertanding mahukan lagu masing-masing menang. Sama hal dengan saya. Kalau boleh, dapat sangkut satu lagu, ia sudah menggembirakan hati saya,” jelas Black yang telah bersiap sebanyak 50 peratus untuk ‘berperang’ di AJL 25.

Anak muda berusia 23 tahun itu turut membuat ekspektasi bahawa Faizal yang mempertaruh dua lagu dan Adira berpeluang cerah membawa pulang trofi AJL 25. Itu bulat kata hatinya sementelah mengetahui lagu Hanyut, Selamat Malam dan Ku Ada Kamu memiliki kekuatan sendiri.

“Semua tahu kehebatan vokal Faizal ditambah lagu Hanyut dan Selamat Malam dilihat seperti memenuhi kriteria lengkap bagi diumum sebagai juara AJL 25. Tidak hanya itu, Ku Ada Kamu dendangan Adira juga boleh mencipta kejutan pada malam itu,” terang Black sambil membahas hujahnya. 

Sementara itu, Siti Adira Suhaimi atau nama pentasnya Adira yang baru pertama kali melangkah kaki di gelanggang gah AJL mengaku hatinya bercampur baur pada waktu ini - gembira dan gementar untuk bersaing dengan deretan nama besar dalam industri seni tanah air. 

“Lantaran itu, saya kena berusaha lebih kuat untuk memastikan dapat buat yang terbaik pada malam AJL 25. Semua lagu dipertandingkan tidak dinafikan, ada kekuatan dan keistimewaan sendiri. Untuk lagu Ku Ada Kamu, saya dapati, ia diperkuatkan dengan jalinan melodi dan liriknya.


BUCKFACE tercalon melalui Extravaganza.

“Sebagai pendatang baru, saya akui merasai sedikit tekanan berbanding penyanyi lain apatah lagi tidak pernah membabitkan diri dalam AJL. Kalau tidak mempersiap diri dengan sebaik mungkin, saya barangkali boleh mengecewakan sokongan daripada peminat.

“Sekarang, saya tengah giat berlatih vokal bagi memastikan diri dapat menterjemah lagu Ku Ada Kamu dengan jayanya. Selain itu, saya bakal memperlihat gimik tertentu kelak. Kalau hendak tahu, kena tunggu dan lihat sendiri,” luah Adira awal-awal lagi optimis soal menang atau kalah.

Mengulas tentang signifikan AJL menerusi kaca matanya sebagai penghias baru di laman seni, gadis berusia 19 tahun itu memberitahu, ia dapat memberi pendedahan meluas kepada artis baru sepertinya untuk lebih menonjol dan dikenali masyarakat berbanding sebelum ini.

“Saya lihat AJL sebagai platform terbaik untuk membantu menaikkan populariti artis dan penggiat seni lain seperti komposer dan penulis lirik. Pada waktu sama, saya dapat berhimpun dengan penyanyi lain di bawah satu bumbung sambil bertukar ilmu dan belajar benda baru,” ujar Adira.





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top