Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Surat APCO jadi bukti

Thursday, December 23, 2010

Robert M Shrum

Kenyataan bersumpah penasihat kanan ‘One Israel’ bersihkan konsep 1Malaysia; Nazri dedah dua dokumen nafi dakwaan Anwar

KUALA LUMPUR: Kerajaan semalam mendedahkan dua dokumen bagi membuktikan konsep 1Malaysia tiada kaitan langsung dengan ‘One Israel’ seperti didakwa Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dokumen itu berupa surat penafian Apco Worldwide (APCO) mengenai pembabitannya dalam penggubalan konsep 1Malaysia dan One Israel serta kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen ‘One Israel’ pada 1999, Robert M Shrum.

Surat APCO bertarikh 19 Ogos 2010 kepada Parlimen yang dijadikan bukti utama dalam siasatan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen berhubung dakwaan Anwar, menjelaskan firma itu dilantik pada Jun 2009 bagi menyediakan sokongan komunikasi kepada Kerajaan Malaysia. 

Ketua Eksekutif APCO (Timur Tengah Eropah dan Afrika), Brad Staples, dalam surat itu juga menjelaskan firma berkenaan tiada kaitan langsung dengan One Israel dan tidak terbabit dalam pembentukan konsep 1Malaysia.

Penafian Staples diperkukuhkan lagi dengan kenyataan bersumpah penasihat kanan kempen ‘One Israel’ pada 1999, Robert M Shrum, yang diterima Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz, minggu lalu.

Salinan kedua-dua dokumen itu diedarkan Nazri pada sidang media di lobi Parlimen. Beliau turut membacakan inti pati kenyataan bersumpah Shrum dan surat APCO.

Berikut adalah terjemahan kenyataan bersumpah Shrum:

“Saya, Robert M Shrum, rakyat Amerika Syarikat, tinggal di Cape Cod, Massachusetts, mengisytiharkan dan menyatakan sumpah seperti di bawah:

Selama lebih daripada 30 tahun, saya bekerja dalam politik dan kempen politik di Amerika Syarikat dan seluruh dunia.

Saya menyediakan kenyataan ini kepada Parlimen Malaysia bagi membantu mengenai apa yang difahamkan berhubung perbicaraan untuk menentukan sama ada firma Apco Worldwide mengambil bahagian dalam kempen atau gabungan ‘One Israel’ pada 1999.

Untuk pengetahuan, saya digambarkan oleh The Atlantic Monthly sebagai ‘penasihat yang paling dicari dalam Parti Demokrasi’. Saya berkhidmat sebagai penasihat kanan kempen Presiden Kerry-Edwards pada 2004, penasihat kanan kempen Presiden Gore 2000, penasihat kanan kempen Perdana Menteri Israel, Ehud Barak dan kempen Parlimen Parti Buruh Britain pada 2001. Sebelum itu, saya adalah pakar strategik dan perunding kepada banyak parti politik yang bersaing pada semua peringkat dalam Kerajaan Amerika, termasuk persaingan Presiden 1980 membabitkan Senator Edward M Kennedy.

Pada 1999, seperti yang dilaporkan secara meluas, saya adalah salah seorang daripada beberapa perunding politik asing yang diminta oleh Ehud Barak daripada Parti Buruh di Israel untuk kempen kemenangannya bagi jawatan Perdana Menteri di bawah gabungan ‘One Israel’. Rakan kongsi utama saya dalam memberikan perundingan itu adalah pemungut suara terkenal Amerika Syarikat, Stanley Greenberg dan James Carville, yang mengarah kempen Presiden Clinton pada 1992.

Baru-baru ini, saya mendapat tahu, Parlimen Malaysia diberitahu bahawa Apco Worldwide adalah antara firma perunding yang terbabit dalam kempen One Israel pada 1999. Ini tidak benar. Saya berada di situ dan APCO tidak terbabit dalam One Israel atau mana-mana kerja untuk Ehud Barak atau Parti Buruh semasa kempen itu. APCO tidak ada kaitan dengan One Israel. Apa saja kenyataan bahawa APCO atau kakitangannya bertanggungjawab, memikirkan, terbabit atau apa saja bentuk penyertaan dalam gabungan slogan atau kempen One Israel adalah fakta yang tidak berasas sama sekali.

Kami berjaya dalam kempen One Israel pada 1999 dalam memilih Ehud Barak dan menewaskan calon Likud, Benjamin Netanyahu. Malangnya, Perdana Menteri Barak dan Presiden Clinton tidak berjaya seperti yang kami harapkan dan usaha mereka yang belum pernah berlaku dalam mencapai penyelesaian di Timur Tengah antara rakyat Israel dan Palestin.

Secara ringkasnya, Apco Worldwide dan kakitangannya tidak melakukan kerja berhubung One Israel.”

Pada 16 Disember lalu, Anwar digantung daripada menghadiri persidangan Dewan Rakyat selama enam bulan selepas Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen mendapati dakwaan beliau kononnya APCO menciplak konsep 1Malaysia berdasarkan One Israel yang dicipta firma pada 1999.

Tiga lagi ahli Parlimen pembangkang, iaitu Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor), R Sivarasa (PKR-Subang) dan Azmin Ali (PKR-Gombak), menerima nasib sama selepas didapati menghina dewan atas isu sama.




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top