Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Rumah teres restoran Batu Caves

Monday, December 20, 2010

OPERASI...rumah yang didakwa diubah suai menjadi restoran.

BATU CAVES: “Bagaimana sebuah rumah teres yang diubah suai menjadi restoran diberikan lesen untuk beroperasi,” tanya penduduk sebuah taman perumahan di sini, yang bingung dengan jawapan diberikan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) mengenai status restoran berkenaan.

Penduduk, Affandi Pawan Teh, 46, berkata masalah timbul apabila seorang pemilik rumah di kawasan itu mengubah suai rumahnya untuk dijadikan restoran.

Bimbang pelbagai masalah khususnya kesesakan lalu lintas di kawasan terbabit sejak restoran itu beroperasi, penduduk melaporkannya kepada MPS.

 TAK PEDULI....pelanggan restoran terbabit meletakkan kenderaan di tepi jalan.

“Bagaimanapun, kami kecewa dan bingung apabila dimaklumkan restoran berkenaan yang beroperasi sejak dua bulan lalu mempunyai lesen.

“Restoran itu rumah yang diubah suai, bagaimana pemiliknya boleh mendapat lesen daripada MPS untuk beroperasi. Ini kawasan perumahan bukan kawasan komersial,” katanya.

Menurutnya, jawapan MPS membuatkan penduduk buntu untuk mencari jalan penyelesaian bagi memastikan operasi restoran itu dihentikan.

Katanya, penduduk juga bimbang kewujudan restoran itu memberi ruang kepada pemilik rumah lain mengambil tindakan sama bagi mengaut keuntungan.

“Pastinya pemilik rumah lain berani untuk mengubah suai rumah mereka untuk dijadikan tempat menjalankan perniagaan kerana tiada pemantauan pihak berkuasa.

“Kebimbangan kami menjadi kenyataan apabila dua hari lalu rumah bersebelahan mula diubah suai dipercayai untuk dijadikan kedai runcit. Namun, kami tidak mengetahui sama ada ia diberikan lesen,” katanya.

Menurutnya, sejak restoran yang beroperasi dari jam 7.30 pagi hingga 11 malam itu wujud, laluan yang menempatkan restoran itu menjadi sesak kerana pelanggan meletakkan kenderaan di sepanjang laluan itu.

Katanya, lokasi restoran yang terletak di tepi simpang tiga menyebabkan pengguna khususnya penduduk di situ sukar untuk keluar dan masuk kerana dihalang kenderaan pelanggan.

“Pergerakan kami terbatas dan perlu berhati-hati setiap kali melalui simpang itu kerana pelanggan restoran terbabit meletakkan kenderaan sesuka hati.

“Tidak terhad kepada kereta dan motosikal, bahkan lori sering diletakkan di sepanjang laluan sehingga menyukarkan penduduk untuk keluar ke laluan utama,” katanya.

Sementara itu, penduduk yang mahu dikenali sebagai Khairuddin, 38, berkata pihak berkuasa perlu menjalankan pemantauan dan bertindak tegas kerana ia menggugat keselamatan dan keselesaan penduduk.

Katanya, tambah membimbangkan ibu bapa mengenai keselamatan anak mereka yang menggunakan laluan berkenaan untuk berulang-alik ke sekolah.

“Terdapat dua sekolah berdekatan kawasan ini dan laluan ini turut digunakan pelajar yang juga anak penduduk di sini.

“Jangan sampai sudah kehilangan nyawa dan semakin banyak rumah diubahsuai menjadi kedai baru pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top