Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Ribut landa Asia Barat, Midwest AS

Tuesday, December 14, 2010

PENDUDUK cuba menyelamat mangsa yang terperangkap selepas sebuah kilang runtuh dipercayai akibat angin kencang di Iskandariah, Mesir.


Punca bangunan runtuh, kapal tenggelam

BEIRUT: Hujan lebat, angin kencang dan suhu di bawah takat beku melanda negara Asia Barat dan menjadi punca sebuah kapal tenggelam di pesisir pantai Israel selain menyebabkan seorang wanita di Lubnan terbunuh apabila kereta dinaikinya dihempap pokok tumbang. 

Fenomena cuaca buruk juga berlaku di beberapa wilayah di Midwest Amerika Syarikat menyebabkan gangguan perjalanan serta meruntuhkan bumbung Stadium Metrodome di Minneapolis selepas dilitupi salji tebal. 
 
 DUA pemuda menolak kereta yang terkandas dalam salji tebal di lebuh raya menghubungkan Beirut ke Damsyik, kelmarin.
 
Jabatan kaji cuaca di beberapa negara Asia Barat melaporkan, ribut kencang menyebabkan cuaca dingin luar biasa manakala di sesetengah kawasan suhu berada di bawah takat beku.

Fenomena ini mengakhiri suhu panas luar musim dan cuaca kering yang menyebabkan berpuluh kebakaran sebelum ini di Lubnan selain membantu mengawal kebakaran besar di Israel.

Hujan turun dengan lebat dan membanjiri jalan raya di Beirut, manakala salji tebal menyebabkan beberapa jalan di kawasan pergunungan terpaksa ditutup. Pihak berkuasa lapangan terbang antarabangsa Beirut juga melaporkan kelewatan jadual penerbangan.

Selain itu, ribut pasir, hujan lebat dan angin kencang dipercayai punca 18 kematian di seluruh Mesir. Di bandar pelabuhan Iskandariah, tujuh orang maut dan 10 lagi cedera.

Selain itu, ombak setinggi 3.2 meter memaksa pelabuhan Iskandariah ditutup, begitu juga pelabuhan bandar Nuweiba di Laut Merah.

Ribut pasir turut melanda Jordan. Di Syria, salji memenuhi jalan raya di Damsyik buat pertama kali pada musim dingin kali ini. Pihak pentadbiran sekolah juga membenar murid-murid pulang awal, manakala salji memberi peluang kepada mereka bermain di jalan raya.

Pihak berkuasa Syria juga menutup Pelabuhan Tartous, pelabuhan utama negara itu.

Ribut menyebabkan sebuah kapal kargo dari Moldova tenggelam di pelabuhan Ashdod di Israel, manakala dua penerbangan syarikat penerbangan British Airways dan Lufthansa terpaksa di ubah haluan dari lapangan terbang Ben Gurion ke Cyprus.

Di Semenanjung Gaza, angin kencang bersama hujan menyebabkan demaga di pelabuhan yang digunakan nelayan retak. Tiada mangsa cedera tetapi pekerja pertahanan awam di Gaza dan polis maritim dikerah membantu nelayan memindahkan peralatan mereka.

Sementara itu, di MILWAUKEE, ribut salji melanda Wisconsin dan Minnesota ketika ia bergerak menuju ke Indiana, Michigan dan Ohio.

Akhbar Minneapolis Star-Tribune melaporkan, dua orang terbunuh dalam satu kebakaran di Minneapolis. 

Kereta bomba dan anggota penyelamat dikatakan lambat tiba di tempat kejadian selepas terkandas dalam salji.

Amaran hujan dan ribut salji dikeluarkan di Chicago dan beberapa bahagian di utara Illinois, Iowa, Minnesota, Wisconsin, Missouri, Michigan, Dakota Utara dan Dakota Selatan.

Perkhidmatan kaji cuaca melaporkan salji setinggi 56 sentimeter dilaporkan berlaku di kawasan Minneapolis dan St Paul.

Salji juga menyebabkan bumbung Stadium Metrodome runtuh dan mengakibatkan kawasan padangnya dipenuhi salji.

Keadaan ini menyebabkan Liga Bola Sepak Kebangsaan terpaksa memindahkan lokasi perlawanan antara Minnesota Vikings dan New York Giant ke Fort Field di Detroit pada malam ini. – AP/Reuters 
 



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top