Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Martabat Bahasa Melayu, Inggeris

Friday, December 10, 2010

MUHYIDDIN menandatangani plak selepas merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan Seri Sekinchan sambil diperhatikan jawatankuasa induk sekolah itu, semalam.

Muhyiddin mahu persediaan dilakukan sebelum MBMMB pada 2012

SABAK BERNAM: Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata kerajaan sedang melaksanakan program memartabatkan Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris di semua peringkat sekolah di seluruh negara. 

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu sebagai persediaan sebelum kerajaan melaksanakan sepenuhnya dasar 'Memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris' (MBMMB) pada 2012. 

“Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Razak) sudah menyatakan komitmen kerajaan untuk membawa perubahan besar dalam bidang pendidikan. Atas sebab inilah, kerajaan turut memasukkan bidang pendidikan dalam program transformasi negara.

“Kerajaan tidak mahu rakyat kita mundur dalam pendidikan dan buta huruf. Jadi, sebab itu kerajaan turut memantapkan program prasekolah,” katanya ketika merasmikan bangunan baru Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Sekinchan di sini, semalam.


Hadir sama Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, yang juga Ahli Parlimen Sungai Besar, Noriah Kasnon. Seramai 3,000 hadir memeriahkan majlis itu.


Muhyiddin turut meluangkan masa melawat Sekolah Jenis Kebangsaan (SJKC) Yoke Kuan kira-kira 500 meter dari SK Seri Sekinchan sebelum mengumumkan bantuan RM1.5 juta bagi membina bangunan baru sekolah berkenaan.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, selepas ini kementeriannya akan memberi tumpuan terhadap usaha memperkasakan sekolah vokasional.

Sementara itu, bercakap pada sidang media selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Agung Perwakilan Persatuan Penghulu dan Penggawa Semenanjung Malaysia di Shah Alam, Muhyiddin setuju elaun penghulu dan penggawa dinaikkan sejajar khidmat diberikan mereka kepada rakyat di kawasan masing-masing.


Sehubungan itu, katanya, cadangan berkenaan akan diusulkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi membolehkan rundingan mengenainya dibuat.


Beliau mengulas cadangan Yang Dipertua Persatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia, Zahidi Hussin dalam ucapannya pada majlis itu supaya kerajaan menaikkan elaun penghulu dan penggawa yang ketika ini menerima RM250 hingga RM350 sebulan berdasarkan gred kepada RM400 hingga RM600.


Zahidi berkata, kali terakhir elaun itu dinaikkan ialah pada 1979 iaitu RM50 dan dianggap tidak memadai dengan tugas serta kenaikan harga barangan sekarang.


Muhyiddin bagaimanapun menolak cadangan kerajaan negeri Selangor untuk menyelaraskan peruntukan Ahli Parlimen dari pembangkang dan kerajaan.


“Kita ada peruntukan untuk kawasan dikuasai BN, dan kawasan tidak dikuasai BN juga disediakan peruntukan. Tapi bukan diuruskan oleh MP (Ahli Parlimen).


“Parti bekerjasama dengan jabatan untuk memperuntukkan wang untuk projek kecil seperti penempatan, jalan. Amalan ini sudah sekian lama dijalankan,” katanya.


Beliau turut menolak cadangan untuk memansuhkan Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP) dan memberi sepenuhnya tanggungjawab untuk mentadbir kampung kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).


Kedua-dua cadangan itu dibawa Pengerusi Jawatankuasa Tetap Permodenan Pertanian, Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan Selangor, Dr Yaakob Sapari ketika berucap pada majlis itu mewakili Menteri Besar Selangor.


Terdahulu dalam ucapannya, Muhyiddin meminta penghulu dan penggawa meningkatkan prestasi dan menambah ilmu pengetahuan bagi membolehkan mereka memiliki daya kepimpinan luar biasa sebagai persiapan menuju status negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top