Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Malaysia menang aksi pembukaan

Wednesday, December 15, 2010

FAHRUL RAZI (kiri) menjaringkan dua gol untuk menjamin kemenangan Malaysia ke atas Singapura pada aksi pembukaan Kumpulan B semalam.


CHIANG MAI – Skuad bola sepak Malaysia mencatat kemenangan pertama pada aksi peringkat Kumpulan B temasya Sukan Universiti ASEAN (AUG) ke-15 semalam.

Kejayaan tersebut hadir selepas skuad kendalian Omar Ali itu menewaskan Singapura 2-1 pada aksi yang berlangsung di Padang Bola Sepak Prince Royal College.

Jika tidak disebabkan faktor padang yang dilihat sama sekali tidak menepati kriteria-kriteria yang diperlukan dalam sesuatu kejohanan, anak-anak buah Omar sebenarnya mampu menjaringkan lebih banyak gol pada perlawanan tersebut.

"Memang kami kecewa dengan keadaan padang yang sememangnya menyukarkan kami untuk mengatur gerakan serangan serta mengawal pergerakan bola ditambah pula hanya sekali dapat menjalani latihan di sini (Padang Bola Sepak Prince Royal College) iaitu semalam.

"Namun, saya tetap bersyukur kerana kami masih mampu mencatatkan kemenangan pada aksi pertama kami dan itulah sebenarnya yang diharapkan,” kata Omar ketika ditemui pemberita semalam.

Pada aksi semalam, kapten Malaysia, Fahrul Razi Kamaruddin membuka tirai jaringan seawal minit ke-19 hasil hantaran tandukan daripada perancang, Saiful Ridhwan.

Begitupun, kegembiraan anak-anak buah Omar tidak bertahan lama selepas Mohammad Khalid Raihan berjaya menyamakan kedudukan buat Singapura hasil jaringan yang dilakukannya pada minit ke-34 dan keputusan tersebut kekal sehingga tamat babak pertama perlawanan.

Sebaik babak kedua bersambung, Malaysia dilihat lebih menguasai perlawanan menerusi beberapa percubaan berbahaya yang dilakukan ke arah pintu gol pihak lawan.

Namun, disebabkan faktor padang yang tidak mengizinkan, beberapa peluang terhidang untuk menjaringkan gol gagal dimanfaatkan sepenuhnya oleh barisan pemain Malaysia.

Serangan bertali arus yang dilancarkan jentera serangan Malaysia akhirnya membuahkan hasil selepas Fahrul Razi sekali lagi membuktikan kualiti yang dimilikinya apabila menjaringkan gol kedua pada minit ke-59 hasil satu percubaan menarik daripada luar kotak penalti.

"Saya sebenarnya masih belum berpuas hati dengan persembahan yang dipamerkan pemain-pemain kerana saya tahu mereka sebenarnya mampu beraksi dengan lebih baik daripada perlawanan tadi (semalam).

“Tetapi saya tidak boleh menyalahkan mereka kerana faktor padang memang menjejaskan sama sekali rentak permainan mereka. Yang penting adalah kami berjaya mengutip tiga mata penuh pada perlawanan ini,” jelas Omar.

Malaysia dijadual berdepan Laos pada aksi kedua peringkat Kumpulan B esok sebelum turun menentang Laos pada aksi terakhir Sabtu ini.

Sementara itu, dalam aksi peringkat Kumpulan A yang turut berlangsung semalam, juara bertahan, Thailand mencatatkan kemenangan bergaya ke atas Vietnam 5-1.





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top