Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Islam prasyarat utama TPM bukan Melayu

Monday, December 13, 2010

Zainul Rijal Abu Bakar, Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia

Saya mengambil kesempatan ini menerangkan dari sudut undang-undang dan Perlembagaan berkaitan kelayakan menjadi PM dan TPM ini. Ruangan saya ini tidak terikat dengan kepentingan mana-mana parti politik ataupun badan siasah lain.

Jawatan TPM tidak disentuh di dalam Perlembagaan Persekutuan. Walaupun jawatan ini tiada dalam Perlembagaan, ini tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan.

Oleh itu, pelantikan TPM tidak melanggar Perlembagaan itu sendiri. Perkara 32 Perlembagaan Persekutuan menyatakan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) adalah “Supreme head of the Federation. Baginda adalah Ketua Negara tetapi bukan Ketua Kerajaan. Kuasa eksekutif terletak dalam tangan PM.


YDPA bertindak atas nasihat Kabinet diketuai PM. Kewujudan jawatan TPM secara konvensyennya dibuat kerajaan. Jawatan TPM penting kerana TPM adalah orang nombor dua dalam kerajaan. Malah, jika PM di luar negara atau sakit, TPM memangku jawatan PM.

Kuasa melantik PM atas budi bicara YDPA sendiri. Tidak ada sesiapa boleh memaksa baginda melantik Menteri Besar (MB). Ia bukan kuasa yang dimiliki mana-mana pihak atau kerajaan.

Jika kita melihat dalam Perlembagaan, memang benar tidak disebut dengan jelas bahawa PM dan timbalannya mesti terdiri daripada kalangan orang Melayu. Oleh kerana tiada syarat spesifik seorang PM dan TPM adalah Melayu, saya berpandangan orang bukan Melayu boleh dilantik menjadi PM atau TPM.


Namun timbul pula persoalan adakah seseorang bukan Islam boleh dilantik menjadi PM atau TPM? Bagi mencari jawapan terhadap persoalan ini kita perlu meneliti sumpah yang diambil oleh YDPA semasa menaiki takhta baginda. YDPA dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong bersumpah dalam jadual keempat Perlembagaan Persekutuan akan memelihara Islam pada setiap masa.


Oleh itu, adalah langsung tidak masuk akal sekiranya orang bukan Islam dilantik menjadi PM atau TPM. Bagaimana seorang bukan Islam dapat melaksanakan sumpah YDPA memelihara Islam pada setiap masa?


Malah pada pandangan saya orang Melayu yang tidak mengamalkan Islam juga adalah tidak layak dilantik menjadi PM atau TPM. Seorang yang tidak mempercayai atau memahami Islam sudah pasti akan gagal melaksanakan tanggungjawab ini.


Sumpah YDPA ini adalah kewajipan berperlembagaan bagi pihak kerajaan melaksanakan Islam pada setiap masa sebagaimana sumpah YDPA itu. Dalam perspektif yang berlainan pula jika orang bukan Melayu pula yang komited dan beragama Islam, beliau layak dilantik menjadi PM atau timbalannya kerana ia tidak langsung akan menjejaskan kewajipan Berperlembagaan YDPA itu.


Melantik bukan Islam sebagai TPM perlu diberi pertimbangan dari pelbagai aspek terutama apabila TPM menjadi pemangku PM. Sudah pasti pemangku PM bukan Islam ini mendapati beliau sukar menjalankan tugasnya dengan baik.


Begitu juga semasa persidangan Majlis Raja-Raja, orang bukan Islam akan menghadapi kesukaran dalam menjalankan tugasnya. Malah dalam Perlembagaan Persekutuan terdapat banyak perkara berkaitan dengan Islam dan kedudukan istimewanya. Sudah pasti Ketua Kerajaan bukan Islam tidak dapat melaksanakan hak keistimewaan orang Melayu/Islam ini mengikut acuan perundangan.


Jawatan TPM walaupun tiada disebut dalam Perlembagaan Persekutuan bukanlah jawatan yang tidak penting. Pemegang jawatan ini adalah orang nombor dua dalam pentadbiran kerajaan. Oleh itu, jika sesuatu terjadi kepada Ketua Kerajaan sudah pasti TPM akan mewarisi jawatan terbabit. Oleh yang demikian, jawatan ini amat penting di dalam dan di luar negara.


Disebabkan itu, saya berpandangan seorang bukan Melayu boleh dilantik menjadi PM atau timbalannya dengan syarat orang bukan Melayu itu adalah seorang mukmin yang tegas melaksanakan ubudiahnya kepada Allah SWT.


Namun saya tidak bersetuju sekiranya jawatan itu dilantik dikalangan orang bukan Islam kerana ia akan menyanggah sumpah yang dilafazkan YDPA. Orang Islam yang gagal menjayakan sumpah YDPA tidak layak menjadi PM walaupun beliau seorang yang berilmu dan berpengaruh.


Ruangan ini bukan bertujuan mencari salah sesiapa. Tetapi sekadar berkongsi ilmu dalam aspek perundangan sebenar, tidak dimainkan oleh emosi ataupun ketaksuban kepada seseorang pemimpin.


Saya juga tidak berhasrat menyentuh kuasa Raja-Raja Melayu. Ingin saya tegaskan sekali lagi bahawa menjadi kelaziman PM dan TPM Malaysia adalah orang Melayu, namun tradisi ini boleh diubah dengan melantik orang bukan Melayu yang beragama Islam sebagai PM dan TPM.


Penulis ialah Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) dan boleh dihubungi melalui zainul.rijal@abubakar.my
 
Berita Harian



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top