Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 TV ALHIJRAH - RANGKAIAN TELEVISYEN BARU MALAYSIA

Monday, November 01, 2010



Sedia program kerohanian, bawa penonton berpindah kepada satu gaya hidup baru

BANYAK persoalan dikemukakan, dibincangkan atau dibahaskan untuk mencari penyelesaian kepada pelbagai masalah melanda masyarakat, sesetengah ada kesimpulannya, tetapi selalunya tiada kesudahan dan malang sekali, tiada alternatif diberikan. 


Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, berkata TV Alhijrah yang bakal memulakan siaran ujian bermula tengah hari ini akan menjadi alternatif untuk memberi jawapan kepada permasalahan yang dihadapi. 

Katanya, jika media turut ditunding sebagai punca berlakunya gejala sosial maka biarlah media juga dilihat dapat menjadi sumber jawapan dan TV Alhijrah berhasrat menjadi rakan pilihan yang akan membawa penonton berpindah kepada satu gaya kehidupan baru.

“Prinsip Islam tetap di depan kerana visi TV Alhijrah untuk menjadi penyiar yang memainkan peranan mendidik, menghibur dan menyatupadukan ummah. TV Alhijrah mengajak penonton dan masyarakat melakukan perubahan ke arah kebaikan secara berterusan.

“Persoalan sebelum ini membabitkan program televisyen, pelbagai kritikan selama ini dan usaha mencari pilihan untuk menjawab semua persoalan, terjawab hari ini,” katanya ketika memperkenalkan TV Alhijrah baru-baru ini.

TV Alhijrah dikendalikan syarikat Al Hijrah Media Corporation adalah inisiatif kerajaan untuk mewujudkan stesen televisyen berlandaskan Islam yang menawarkan perspektif Islam melalui pelbagai program televisyen.

Stesen yang ditubuh serta dibiayai kerajaan dengan modal permulaan RM60 juta bakal memulakan siaran sebenarnya pada 1 Disember akan datang di Lembah Klang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.

Bagi siaran ujian TV Alhijrah pada hari ini, siaran bermula dari jam 3 petang hingga 12 tengah malam. Siaran hujung minggu, Jumaat, Sabtu dan Ahad, bermula 12 tengah hari hingga 12 tengah malam dan orang ramai boleh mendapatkan siaran melalui saluran UHF pada set televisyen.

Jamil berkata, sebagai stesen televisyen baru, cabaran TV Alhijrah ialah bagaimana hendak lari daripada kebiasaan supaya dapat menukar selera penonton dan mampu bersaing secara sihat dengan stesen televisyen lain.

“Kita tidak mahu apabila televisyen ini bersiaran, ia jadi jumud, beku dan gagal menunjukkan Islam sebagai cara hidup yang betul. Selepas setahun kita akan tengok hala tuju serta maklum balas penonton kerana kita ingin TV Alhijrah jadi rakan pilihan penonton,” katanya.

Katanya, TV Alhijrah menyasarkan penonton daripada kalangan muda, remaja serta kanak-kanak yang mewakili 63 peratus penonton negara dan bagi tujuan itu stesen berkenaan mengutamakan kandungan bermanfaat, pada masa sama menarik minat golongan sasar.

Beliau berkata, 60 peratus program TV Alhijrah adalah terbitan tempatan sementara selebihnya program luar dan 30 peratus daripada keseluruhan program diterbitkan sendiri stesen televisyen berkenaan.

TV Alhijrah yang tampil dengan imej segar, kreatif dan menarik, memberi fokus kepada program gaya hidup berinformasi untuk semua lapisan masyarakat membariskan rancangan terbaik terbitan tempatan serta dari seluruh dunia.

Pastinya kelahiran TV Alhijrah yang kini hanya membilang hari untuk menemui penonton diharap dapat memberi kelainan apabila memahami rungutan ramai yang jemu dengan bentuk hiburan dihidangkan masa kini termasuk kisah tidak menepati syariat agama.

Sudah tiba masanya seni hiburan Islam yang sudah wujud sejak dulu diterjemahkan melalui penerbitan program yang memberi inspirasi serta pengisian rohani, selain menjadi jawapan kepada salah faham mengenai Islam sebenar.

Begitu pun, pengurusan TV Alhijrah perlu berhati-hati dalam setiap strategi serta perancangannya kerana imej Islam yang dikaitkan boleh menjadi fitnah jika gagal memenuhi jangkaan atau harapan penonton. 

-----------------------------------------------------------------------------------------------

Alhamdulillah syukur kepada Allah SWT kerana sebuah televisyen berbentuk mesej Islam sepenuhnya akan ke udara tidak lama lagi hari ini.  Tahniah diucapkan kepada Alhijrah dan Episodbaru tetap akan menyokong rangkaian televisyen Islam yang julung kali terdapat di Malaysia iaitu Alhijrah dan semoga Allah SWT memberkati usaha mereka dan juga berkat doa kita semua.  Amin.

Kredit: Berita Harian




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top