Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Tuanku Mizan dukacita tingkah laku Ahli Parlimen

Monday, November 15, 2010


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, hari ini melahirkan rasa dukacita baginda terhadap Ahli Parlimen (MP) yang mempamerkan tingkah laku yang mampu menjejaskan imej mereka sebagai wakil rakyat.
 
Seri Paduka bertitah, sejak dua penggal berturut-turut baginda sudah mengingatkan Ahli Parlimen supaya menunjukkan sifat dan perilaku terpuji di dalam Dewan Rakyat. 
 
"Beta dukacita masih terdapat Ahli-Ahli Yang Berhormat mempamerkan tingkah laku dan tutur kata yang tidak mencerminkan keperibadian sebagai wakil rakyat. 

"Ketahuilah, Ahli-Ahli Yang Berhormat sentiasa diperhatikan oleh rakyat. Ahli-Ahli Yang Berhormat hendaklah berhujah dengan bernas dan tidak membangkitkan perkara remeh temeh yang boleh menjejaskan imej serta maruah sendiri serta kemuliaan Dewan ini," titah baginda ketika merasmikan pembukaan penggal ketiga persidangan Parlimen ke-12 di sini, hari ini.

Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah turut berangkat.

Tuanku Mizan turut mengingatkan bahawa perpaduan dan perbuatan saling menghormati antara kaum dan agama yang menjadi tunjang kekuatan negara mesti dipelihara.

Baginda bertitah, amalan berbaik sangka, saling menghormati dan bekerjasama antara rakyat pelbagai kaum dan agama akan melahirkan masyarakat Malaysia yang mesra, aman dan bertoleransi. 

Seri Paduka bertitah, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan di samping agama-agama lain yang bebas untuk diamalkan hendaklah dihormati.

"Beta menyeru semua pemimpin agama supaya memupuk rasa tanggungjawab untuk memelihara keharmonian beragama di kalangan penganut agama masing-masing," titah baginda.

Yang di-Pertuan Agong juga bertitah, walaupun kebebasan bersuara adalah antara ciri masyarakat yang demokratik dan matang, ia tidak boleh dijadikan alasan mana-mana pihak untuk memburuk-burukkan pihak lain sehingga mencetuskan api perbalahan dan sentimen perkauman.

"Beta amat dukacita kerana ada pihak-pihak di dalam dan luar negara mengambil kesempatan menangguk di air yang keruh sehingga menggadaikan ketenteraman awam dan maruah negara.

"Beta menyeru semua pihak supaya mengambil iktibar dari titik hitam dalam sejarah negara dan mengelak daripada mencetuskan isu-isu sensitif yang boleh menggugat ketenteraman awam dan keharmonian hidup rakyat," titah baginda.

Tuanku Mizan juga dukacita kerana masih terdapat banyak perbuatan fitnah, pembohongan dan putar belit fakta terutamanya dalam media baru.

Baginda meminta semua yang terbabit supaya sedar bahawa perbuatan tersebut tidak diterima oleh mana-mana agama.

"Beta menyeru pihak-pihak berkenaan menghentikan perbuatan tidak bertanggungjawab tersebut. Di samping itu, pihak berkuasa hendaklah mengambil tindakan tegas terhadap pihak-pihak yang terbabit," titah baginda.

Tuanku Mizan turut bertitah, bahawa kerajaan sentiasa memberi perhatian serius untuk membanteras jenayah termasuk jenayah jalanan seperti ragut dan samun yang menggusarkan rakyat.

Baginda bertitah, sasaran indeks jenayah keseluruhan akan dikurangkan sebanyak lima peratus serta jenayah jalanan sebanyak 20 peratus pada akhir tahun ini dan penempatan lebih ramai anggota keselamatan seperti Polis Diraja Malaysia di lokasi panas, telah mula menunjukkan impak positif.

Seri Paduka turut mengalu-alukan komitmen dan kesungguhan kerajaan untuk memerangi gejala rasuah dan berharap rakyat akan terus memberi sokongan selain melaporkan jenayah tersebut dengan penuh tanggungjawab.

"Sehubungan ini, Rang Undang-Undang Perlindungan Pemberi Maklumat sedang digubal bagi melindungi pengadu yang membuat pendedahan," titah baginda. - Bernama

Berita Harian




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top