Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Siasat bil ubat

Tuesday, November 23, 2010

Datuk Seri Liow Tiong Lai

KUALA LUMPUR: Sebilangan hospital swasta dikesan memberi ubat serta produk kesihatan tambahan yang kadang-kala tidak diperlukan pesakit dan harga yang dikenakan pula terlalu tinggi.
 

Ini adalah antara perkara yang diteliti Kementerian Kesihatan dalam kajian semula terhadap kos perubatan di hospital swasta yang dikatakan melampau dan tidak munasabah. 

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata kementerian akan memastikan ubat yang diberi kepada pesakit lebih tepat dan mempunyai kaitan terus dengan penyakit yang dihidapi. 

Kita akan lihat dari segi ubat-ubatan yang diguna dan diberikan kepada pesakit. Ada kalanya harga yang dikenakan terlalu tinggi dan kadang-kadang mereka diberi ubat yang tidak perlu, katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Perubatan iHEAL di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pendedahan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) mengenai kegagalan ramai individu menjelaskan hutang kad kredit dan pinjaman bank yang digunakan untuk membiayai kos perubatan hospital swasta yang terlalu tinggi.

Berita Harian kelmarin memetik Ketua Eksekutif AKPK, Mohamed Akwal Sultan, sebagai berkata sehingga Oktober lalu 26 peratus kegagalan pembayaran balik pinjaman bank atau kad kredit yang dirujuk kepada agensi itu membabitkan perbelanjaan perubatan yang tinggi.

Liow berkata, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Ismail Merican, sudah diarah mengadakan segera perbincangan menyeluruh dengan semua pemilik hospital swasta negara ini berhubung kos perubatan yang dikatakan terlalu tinggi.

Beliau berkata, kerajaan memandang serius perkara itu dan kajian semula yang dilakukan turut membabitkan yuran doktor serta perubatan hospital swasta bagi memastikan ia lebih efisien dan munasabah.

Kita jangkakan kajian mengenai yuran doktor itu akan disiapkan menjelang akhir tahun ini, manakala kajian ke atas yuran perubatan hospital swasta sedang dilaksanakan, katanya.

Liow berkata, peningkatan kos perubatan berlaku pada kadar 12 peratus setiap tahun dan kebanyakannya disumbangkan oleh faktor penjagaan pesakit di dalam wad.

Oleh kerana itu kerajaan menggalakkan rakyat mengambil serius langkah penjagaan kesihatan dengan memberi tumpuan kepada aspek pencegahan. Lebih banyak pengetahuan kesihatan yang kita peroleh, lebih banyak penyakit yang boleh dicegah sekali gus mengurangkan kos perubatan, katanya.

Liow juga berkata, dalam Rancangan Malaysia Ke-10 sejumlah peruntukan disediakan untuk membina enam pusat penjagaan harian khusus untuk menjaga pesakit di waktu siang dalam beberapa bidang perubatan.

Pusat ini boleh membantu mengurangkan kos perubatan di hospital kerana biaya yang perlu dikeluarkan untuk tujuan ini sangat tinggi. Dengan adanya pusat ini, ia banyak membantu meringankan beban pesakit dan keluarga mereka, katanya.

Beliau berkata, sehingga kini kementerian menerima 51 permohonan untuk membuka pusat seumpama itu di seluruh negara, manakala 31 pusat sudah memulakan operasi membabitkan kepakaran dalam bidang optalmologi, perbidanan dan sakit puan, endoskopi, pembedahan plastik, radioterapi dan onkologi, radiologi, perubatan sukan dan pergigian.

Semua pusat ini tertakluk di bawah Peraturan Perkhidmatan dan Kemudahan Kesihatan Swasta 2006 dan pesakit perlu segera dihantar ke hospital jika berlaku kes kecemasan yang memerlukan pengawasan rapi doktor, katanya.

Berita Harian




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top