Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Pengagihan Pendapatan ASN 3 6.00 Sen Seunit

Thursday, November 25, 2010


KUALA LUMPUR –Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) hari ini mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.00 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN 3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2010.

Ini merupakan peningkatan sebanyak 0.5 sen seunit berbanding pengagihan pendapatan sebanyak 5.50 sen seunit tahun lalu.

Pengagihan pendapatan ini membabitkan jumlah peruntukan pembayaran sebanyak RM7.3 juta yang akan memanfaatkan seramai 10,952 pemegang unit yang melanggan 121.02 juta unit ASN 3.

Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji bin Abdul Hamid dalam ucapannya berkata, ASN3 menunjukkan prestasi yang lebih baik pada tahun ini selaras dengan peningkatan memberangsangkan ekonomi negara dan pasaran saham tempatan. Indeks FBM KLCI telah meningkat sebanyak 19.4% daripada 1,259.11 mata yang dicatatkan pada 30 November, 2009 berbanding dengan 1,503.20 mata yang dicatatkan pada 22 November 2010.

Sehingga 22 November 2010, ASN 3 meraih pendapatan kasar sebanyak RM8.52 juta. Pendapatan daripada dividen menyumbang sebanyak RM3.02 juta atau 35.5 peratus manakala keuntungan daripada penjualan pelaburan adalah sebanyak RM3.65 juta atau 42.8 peratus. Lain-lain pendapatan menyumbang sebanyak RM1.85 juta atau 21.7 peratus dari pendapatan kasar tersebut. 

Pengiraan pengagihan pendapatan adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2010, iaitu hari terakhir tahun kewangan ASN 3. Pembayaran pengagihan pendapatan akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automotik berdasarkan nilai aset bersih pada 30 November 2010. 

Sementara itu, bagi pemegang unit yang melanggan unit-unit ASN 3 melalui Skim Pelaburan Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), pembayaran pengagihan pendapatan akan dikreditkan ke dalam akaun pelaburan KWSP berkenaan.

Semua urus niaga bagi ASN 3 di pejabat-pejabat dan ejen-ejen ASNB telah ditangguhkan mulai 23 November 2010 sehingga 30 November 2010 bagi tujuan pengiraan pengagihan pendapatan.
Para pemegang unit boleh mengemaskini buku pelaburan ASN 3 masing-masing di Ibu Pejabat, pejabat-pejabat atau ejen-ejen ASNB di seluruh negara mulai 1 Disember 2010.

ASN 3 adalah sebuah ’dana imbang’ dengan harga berubah-ubah disasarkan kepada warganegara Malaysia berumur 18 tahun dan ke atas. Objektif tabung ini adalah untuk menjana pertumbuhan dalam jangka sederhana dan jangka panjang dengan melabur dalam portfolio pelaburan yang seimbang serta menerusi pelaburan semula pengagihan pendapatan, sekiranya ada. ASN 3 juga tersenarai dalam Skim Pelaburan Ahli KWSP.




Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top