Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Bina kilang COCA COLA pembotolan baru RM16b di Nilai

Saturday, November 06, 2010


THE Coca-Cola Company, pengeluar minuman ringan bukan alkohol terbesar dunia, melihat Malaysia sebagai pasaran pertumbuhan paling penting bagi jenamanya di Asia selain China susulan potensi pertumbuhan mantap ekonominya. 
 
Pengerusi dan Ketua Eksekutifnya, Muhtar Kent, berkata kemampuan negara menyediakan persekitaran pelaburan yang kondusif selain kesediaan kemudahan teknologi serta kepakaran juga diiktiraf sebagai faktor penyumbang utama memudahkan syarikat itu memperluaskan rangkaian jenama Coca-Cola di rantau ini. 

“Seperti pasaran China, kami turut melihat Malaysia sebagai pasaran paling penting untuk pengembangan rangkaian jenama dan minuman Coca-Cola di rantau Asia susulan prospek pertumbuhan mapan ekonominya.

“Dengan memiliki jumlah golongan pertengahan yang semakin meningkat, perubahan gaya hidup penduduknya serta peningkatan keupayaan perbelanjaan rakyatnya, Malaysia menyediakan ruang pasaran yang luas untuk kami mengembangkan lagi rangkaian minuman berkarbonat dan jus,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu taklimat khas bersama media tempatan di Kuala Lumpur pada kelmarin, sempena lawatan sulungnya ke Malaysia sejak dilantik mengetuai syarikat berpangkalan di Atlanta, Amerika Syarikat (AS) itu pada 2008.

Dalam lawatannya itu, Kent turut mempengerusikan mesyuarat Majlis Lembaga Pengarah Perniagaan AS-ASEAN di Kuala Lumpur serta mengadakan perjumpaan khas bersama pengurusan Coca-Cola tempatan.
Beliau juga mengadakan lawatan ke kilang pembotolan baru Coca-Cola yang sedang dibangunkan di Taman Perindustrian Enstek, Nilai, Negeri Sembilan.

Kemudahan pembotolan Coca-Cola di Nilai itu dibangunkan menerusi komitmen pelaburan mencecah RM1 bilion syarikat itu dalam tempoh lima tahun di Malaysia.

Pelaburan yang diumumkan Mac lalu itu adalah antara sebilangan pelaburan mega baru The Coca-Cola Company di beberapa pasaran terpilih di peringkat global.

Berbanding kemudahan pembotolan lain, kemudahan di Nilai itu direka khusus mematuhi piawaian bangunan hijau dan satu-satunya kilang pembotolan paling moden kumpulan itu yang mematuhi peraturan ketat di bawah pensijilan Peneraju Reka Bentuk di Asia Tenggara.

Kent berkata, bagi merealisasikan komitmen syarikat itu dalam membantu meningkatkan tahap sosioekonomi rakyat Malaysia, The Coca-Cola Company akan menggunakan sepenuhnya sumber kepakaran dan bahan mentah tempatan di kemudahan pembotolan barunya itu.

Katanya, apabila kemudahan bernilai kira-kira RM300 juta itu mula beroperasi pada suku pertama tahun depan, ia turut berada dalam landasan kukuh membantu memodenkan lagi rangkaian industri pembungkusan dan minuman di Malaysia.

Kilang itu, katanya, mampu menyediakan antara 600 hingga 800 peluang pekerjaan kepada penduduk Malaysia, selain 8,000 lagi kepada pembekal tempatan.

Kent berkata, kilang terbabit boleh memanfaatkan sumber tempatan dan penggunaan sistem mematuhi garis panduan halal yang ketat berkaitan penyediaan makanan bagi memastikan kualiti serta kebersihan pengeluaran makanan terpelihara.

Di Malaysia, Coca-Cola memasarkan rangkaian minuman seperti Coca-Cola, Coca-Cola Light, Coca-Cola Vanilla, Sprite, selain jus seperti Minute Maid Pulpy Orange dan Minute Maid Pulpy Tropical, serta Schweppes, A&W dan air minuman Dasani.

Kemudahan kilang baru Coca-Cola di Nilai itu diputuskan susulan penamatan kontrak hak pembotolan dan pengedaran produk rangkaian minuman Coca-Cola di Malaysia yang sebelum ini diberikan kepada Fraser & Neave Holdings Bhd (F&N) sejak 1936. 
 

Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top