Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Universiti Antarabangsa Manipal dibina di KL

Thursday, October 28, 2010


Badan pendidikan India sedia labur RM650 juta

MANIPAL Education (ME) dari India akan melabur sehingga RM650 juta bagi menubuhkan Universiti Antarabangsa Manipal (MIU) di Kuala Lumpur, yang akan menawarkan pelbagai disiplin pengajian bertaraf dunia. 
 
Pengarah Urusan dan Ketua Eksekutifnya, Anand Sudarshan, berkata MIU yang akan memulakan pengambilan kumpulan pertama pelajarnya pada Mac atau Ogos tahun depan, bertujuan memenuhi keperluan pelajar Malaysia dan antarabangsa dari negara ASEAN, Asia Utara, Asia Barat dan Asia Tengah. 

Beliau berkata, buat permulaan MIU akan beroperasi di kampus sementara di Akademi Penerbangan Malaysia (MAS) di Kelana Jaya, Selangor sebelum beroperasi di kampus kekalnya dalam tempoh tiga tahun akan datang.

“Kami sudah mengenal pasti tiga tapak bagi kampus kekal dengan keluasan 40 hektar itu, antaranya di Sepang dan satu lagi berdekatan dengan Taman Teknologi Selangor,” katanya pada sidang media di Putrajaya, semalam.

Hadir sama, Pengerusi ME, Mohandas Pai dan Setiausaha Bahagian Penyelarasan Dasar & Antarabangsa Kementerian Pengajian Tinggi, Datuk Rohani Abdullah.

Komitmen pelaburan MIU itu diumumkan sempena lawatan rasmi Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh ke Malaysia.

ME adalah ahli Kumpulan Manipal Education & Medical Group (MEMG), iaitu badan pendidikan utama dunia dan pembekal perkhidmatan akademik, latihan dan pendidikan di India.

Selama lebih 60 tahun, ME dianggap satu daripada badan pendidikan tinggi terbaik di India dan antara badan pendidikan tinggi swasta terbesar di dunia.

MIU yang akan berteraskan pendidikan kejuruteraan dan pengurusan akan menyediakan program peringkat Ijazah (Sarjana Muda) dan lepasan Ijazah dalam pelbagai disiplin termasuk beberapa bidang kejuruteraan, kajian pengurusan, perniagaan dan perdagangan, undang-undang, animasi dan reka bentuk serta hospitaliti dan pelancongan.

Program yang ditawarkan akan direka dan dibangunkan melalui kerjasama rapat dengan pelbagai industri untuk membolehkan lulusan MIU mudah mendapatkan pekerjaan.

ME sejak 10 tahun lalu telah menubuhkan dan menguruskan Melaka-Manipal Medical College (MMMC) di Melaka dan pelaburan terbaru itu membuktikan lagi komitmennya di Malaysia.

Anand berkata, MIU dijangka mampu menempatkan antara 15,000 hingga 20,000 pelajar dalam tempoh tujuh hingga lapan tahun.

“Kami menjangkakan 50 peratus daripada pelajar MIU bakal terdiri daripada pelajar dari luar Malaysia,” katanya. 
 



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top