Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Kronologi Kepentingan Subjek Sejarah Malaysia

Monday, October 25, 2010



AYER KEROH: Sejarah yang menjadi mata pelajaran teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) mulai 2014 akan menerapkan unsur kewarganegaraan, patriotisme dan perlembagaan bagi memastikan murid memahami serta menghayati sejarah negara secara mendalam. 

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pengenalan mata pelajaran Sejarah akan menggunakan konsep ‘pendidikan itu menyeronokkan’ membabitkan pendekatan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama.
Katanya, semua aspek yang akan digunakan itu amat sesuai bagi mengelakkan murid sekolah rendah bosan ketika menghadapi pelajaran serta dapat meningkatkan tahap pembelajaran di sekolah.

“Kementerian akan memastikan mata pelajaran Sejarah tidak diajar sehingga membosankan murid dan oleh sebab itulah pendekatan kerja sampingan seperti kuiz, lawatan ke tempat bersejarah, forum, perbahasan, lakonan dan drama diperkenalkan.

“Elemen sejarah yang diajar melalui subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah pada ketika ini kurang menerapkan ketiga-tiga unsur terbabit. Jadi, kita mahu menekankan perkara ini supaya mata pelajaran Sejarah dapat dihayati dan difahami oleh semua golongan masyarakat, terutama generasi muda,” katanya selepas menutup Persidangan Perwakilan Dwi Tahunan Kesatuan Guru-Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) Ke-22 di sini, semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains, Teknologi dan Sumber Manusia negeri, Datuk Yaakub Md Amin, dan Presiden KGMMB, Mohamed Sabri Mohd Arsad.

Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, mata pelajaran Sejarah perlu untuk meningkatkan semangat patriotisme di kalangan anak bangsa, selain memastikan mereka memahami asal usul supaya menghormati Perlembagaan Persekutuan apabila dewasa kelak.

“Keputusan yang dibuat oleh kerajaan ini adalah berasaskan kepada kehendak rakyat sendiri yang melihat aspek sejarah itu amat penting.

“Pembelajaran mata pelajaran itu dari awal pasti memberi impak positif yang memudahkan setiap rakyat menerima diri masing-masing atas paksi di bumi nyata. Pendidikan sejarah amat penting dalam masyarakat Malaysia yang berbilang kaum,” katanya.

Sementara itu menjelaskan lanjut berhubung pelaksanaan Sejarah bagai mata pelajaran teras dalam KSSR, Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata, selain Perlembagaan, murid juga akan didedahkan kepada peristiwa penting tanah air seperti kemerdekaan, mengenali tokoh tempatan dan latar belakang masyarakat di negara ini menerusi mata pelajaran itu.

“Bagaimanapun, kurikulum subjek ini di sekolah rendah akan lebih menjurus kepada sukatan asas serta mudah, dan bukan fakta berat seperti pada peringkat sekolah menengah.

“Kementerian akan membuat penyusunan supaya tidak berlaku pertindihan kurikulum antara mata pelajaran Sejarah dan Kajian Tempatan kelak. Namun, penentuan sama ada mata pelajaran teras ini dilaksanakan mulai Tahun Satu atau Tahun Empat masih dalam perbincangan,” katanya ketika dihubungi semalam.

Alimuddin berkata, langkah melaksanakan Sejarah sebagai mata pelajaran teras di sekolah rendah juga akan membantu persediaan murid selari keputusan Kementerian Pelajaran untuk menjadikannya subjek wajib lulus bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mulai 2013.

Dalam konteks ini, beliau berkata, persediaan akan dilakukan untuk membantu guru melaksanakan strategi pengajaran dan pembelajaran lebih menarik supaya pelajar mampu menghayati serta menguasai subjek teras itu dengan berkesan bagi menghadapi peperiksaan SPM.

“Keputusan itu (wajib lulus Sejarah dalam SPM) bukan semata-mata disebabkan timbulnya pelbagai isu (berkaitan) kebelakangan ini, tetapi kerana pengetahuan Sejarah amat penting untuk melahirkan warga bertanggungjawab, ada jati diri dan bersatu padu,” katanya. 
-----------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Teliti dulu subjek Sejarah syarat wajib lulus SPM
Oleh Syed Azwan Syed Ali
syedazwan@bharian.com.my
2010/10/25

NGO mahu kerajaan fokus kaedah pengajaran, pembelajaran

KUALA LUMPUR: Aktivis sosial, ahli akademik dan badan bukan kerajaan (NGO) mahu pengisian subjek Sejarah diteliti terlebih dulu sebelum ia dijadikan subjek wajib lulus dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bermula 2013. 

Ini bagi memastikan matlamat pembinaan negara bangsa melalui subjek itu dicapai dan pelajar bukan hanya menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan tetapi tidak memahami dan menghayati apa yang mereka pelajari di bilik darjah. 

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata langkah mewajibkan mata pelajaran Sejarah sebagai syarat mendapat SPM akan menjadikan pelajar lebih serius dan mengambil perhatian terhadap subjek itu.

“Saya berharap perancangannya perlu berhati-hati, telus dan berhemah, serta tidak akan undur ke belakang.

“Ia kerana sejarah adalah roh bagi pendidikan warga negara, tanpa mengetahui sejarah maka warga negara itu akan buta sejarah, dan jika buta sejarah takkan tahu asal usul, menyebabkan individu itu tak tentu arah serta kabur masa depan negara,” katanya semalam.

Beliau mengulas pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin bahawa mata pelajaran itu akan dijadikan subjek wajib lulus dan subjek teras dalam Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata ketika ini elemen sejarah diajar dalam subjek Kajian Tempatan di sekolah rendah sebelum diterapkan sebagai subjek teras di bawah KSSR bermula 2014.

Kenyataan Mohamad Ali disokong aktivis sosial, Dr Chandra Muzaffar yang mahu kerajaan memberi fokus kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran subjek Sejarah.

“Kaedah pembelajaran dunia bersifat ‘dari atas ke bawah’ kini dikritik dan ia seharusnya bersifat komunikasi dua hala melalui per-bincangan terbuka bilik darjah. Kaedah pembelajaran penting bagi memastikan pelajar memahami serta menerima apa yang diajar.

“Pada hemat saya, pengisian subjek itu perlulah lebih daripada sekadar menghafal tarikh untuk lulus peperiksaan dan lebih penting mereka memahami falsafah di sebalik subjek Sejarah yang bertujuan meningkatkan kefahaman di antara kaum di negara ini,” katanya.

Profesor Sosio-linguistik Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Teo Kok Seong, berkata penekanan dalam subjek Sejarah tepat pada masanya kerana sebilangan generasi muda kini semakin ‘buta sejarah’ dan ini dibuktikan melalui perdebatan beberapa isu seperti kontrak sosial tersirat dalam perlembagaan negara.

“Sebab itu kita nampak kontrak sosial dicabar terutama dalam media baru, nampak sangat mereka jahil mengenai sejarah,” katanya menegaskan sejarah Malaysia bukan bermula dengan kemerdekaan 1957, tetapi dengan Kesultanan Melaka sebelum itu yang gagal difahami, malah diputar-belit segelintir pihak.

Pensyarah Fakulti Pengajian Islam UKM, Prof Zakaria Stapa, berkata penekanan sejarah penting dalam membentuk jati diri rakyat berbilang kaum dengan menghayati latar belakang dan perkembangan Malaysia yang bermula dengan sebuah kesultanan di Nusantara Melayu.

“Sejarah akan merungkaikan kenapa perlembagaan negara digubal begitu, adanya kedudukan istimewa Melayu dan Bumiputera dan pada masa sama hak kaum-kaum lain juga terbela,” katanya. 

Kredit:  Berita Harian 





Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top