Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Bukan Senang Menjadi Muslimah/Muslim Sejati

Tuesday, October 26, 2010


Dari Abdullah bin Qais r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:” Tidak ada yang lebih sabar mendengar ejekan, selain daripada Allah S.W.T. Orang-orang kafir mengatakan-Nya berbilang (banyak atau bersekutu), atau mereka mengangkat anak bagi-Nya. Namun begitu Allah Taala tetap memberi mereka rezeki, memaafkan mereka dan memberikan apa yang mereka pinta.”  

Firman Allah s.w.t di dalam Al-Quranul Karim Yang bermaksud : "Wahai orang-orang yang beriman minta tolonglah kamu dengan sabar dan sembahyang,sesungguhnya Allah bersama-sama dengan orang yang sabar"(153.)

Sebagai manusia biasa kita tidak akan terlepas daripada perasaan gelisah, sedih, kecewa, marah, dan pelbagai lagi perkara-perkara mazmumah.  Ada yang lebih teruk adalah apabila wujud perasaan dengki, iri hati, sakit hati dan hina terhadap kelebihan, kelemahan atau kekurangan yang ada pada orang lain.

 
Maka adalah lebih baik kita sentiasa bersabar. Hidup di dunia ini hanyalah sementara. Tidak ada yang kekal hanya amalan dan bekalan untuk akhirat kelak. Walau setinggi manapun darjat, pangkat, harta, kuasa, kelebihan, kepakaran, kepandaian, ketinggian akademik dan apa sahaja yang boleh membezakan jurang seseorang, tidak akan diukur sebagai perkara utama semasa kita menghembuskan nafas yang terakhir.  Hanya Iman dan Taqwa menjadi ukuran utama.  Dan kita juga tidak tahu bila kita akan menghembuskan nafas terakhir. Kebiasaannya, manusia akan sedar apabila seseorang itu telah meninggal dunia dan tidak sempat untuk memohon maaf, maka wujudlah penyesalan sepanjang hidup. Na'uzubillah.

Jika ada di antara kita di hina, di sindir, tidak di hormati, di ejek, di pandang rendah, di asingkan, di pulaukan, di umpat, di kata, di permainkan, semua itu dicatat oleh Malaikat. Kita sebagai manusia biasa tidak tahu siapa yang melakukan perkara di atas dan perbuatan syak wasangka juga amat dilarang dalam Islam.  Hanya Allah sahaja tahu perkara yang tersembunyi itu. 

Tetapi sebagai manusia yang telah hidup beberapa tahun di atas muka bumi ini, pasti kita sedar siapa kawan kita dan sebaliknya.  Siapa ikhlas bersama kita dan sebaliknya. Ini kerana setiap manusia ciptaan Allah mempunyai persepsi masing-masing dan kita hanya hamba yang lemah yang mudah terpengaruh dengan hasutan syaitan.

Rakan dan teman yang baik pasti akan berkongsi kegembiraan atau kesedihan bersama tetapi apabila kita berkongsi kegembiraan, tapi kadangkala atau selalunya kita dilayani sebaliknya. Hanya Allah sahaja mengetahui berlaku perkara yang tersembunyi itu.  Itulah ujian Allah, kerana Allah tahu setiap ujianNya ada hikmahNya yang baik, jadi bersabarlah wahai rakan-rakanku. 

Apa yang penting, setiap perlakuan kita itu mestilah ikhlas tanpa pengucapan kita dapat rasakan keikhlasan tersebut. Kejujuran juga amat penting dalam sesebuah perhubungan dan begitu juga dalam melakukan sesuatu.  Kadangkala, ada di kalangan kita, ada rakan atau teman tidak senang melihat kita gembira. Mengapa? Adakah kerana kita pernah menyakiti mereka sehingga menyebabkan mereka menghadapi masalah yang besar? Siapalah kita? Kita akan jadi suami, isteri, ibu, bapa, datuk, nenek dan akan mempunyai keturunan dan adakah kita mahu perkara tidak baik berlaku dalam keluarga kita? 


Mohonlah kepada Allah kerana apa yang kita mahu kadangkala memang tidak dapat kita perolehi dan dengan izinNya juga kita akan dapat apa yang kita mahu, wallahua'lam.  Sokonglah rakan anda tidak kira bagaimana keikhlasan mereka terhadap kita, kita ingatlah kepada Allah, setiap perbuatan di dunia ini pasti akan di balas oleh Allah. Allah itu Maha Adil dan Allah akan menunaikan doa hamba yang teraniaya.

Ya Allah, lindungilah hambaMu ini agar dijauhkan daripada segala hasutan syaitan dan lebih baik aku diam daripada berkata perkara yang boleh menyakitkan atau menimbulkan permasalahan.  Biarlah hanya Engkau sahaja mengetahui perkara yang akan datang.  Sesungguhnya Engkau Maha Pengasih dan Penyayang. 

Dan kita hadapilah semua itu dengan sabar dan berdoa agar golongan yang melakukan perkara di atas diberi petunjuk Allah SWT sebelum meninggalkan dunia ini. Setiap manusia di dunia ini juga mempunyai pengajaran atau mendapat pembalasan Allah samada di dunia atau di akhirat dengan kita sedari atau tanpa kita sedari.

Riwayat Bukhari:

i) Sabar ialah mengawal diri daripada kegelisahan dan menerima segala dugaan, rintangan dan segala suruhan Allah dengan hati yang tenang iaitu tidak merasa jemu dan berputus asa dalam menghadapi kesulitan hidup. 

ii) Kita hendaklah bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa kerana semua makhluk adalah menjadi milik Allah. Malah kita dinasihatkan untuk berkata:” Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.” (Maksud al-Baqarah :156)

iii) Sabar perlu dilakukan sejak mula-mula menghadapi bala kesusahan kerana seseorang yang menghadapi kesusahan dengan penuh kesabaran akan dihapuskan dosanya dan dimasukkan ke dalam syurga.

iv) Sesungguhnya setiap mukmin yang beriman kepada Allah, imannya belum dapat diperakui sebelum diuji keimanannya itu dan berjaya pula menghadapi dugaan tersebut di mana tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar dalam menghadapi bala ketika di dunia.

v) Setiap ujian yang diturunkan oleh Allah mempunyai hikmahnya yang tersendiri. Oleh itu untuk menjadi hamba Allah yang dikasihi, hendaklah kita bersedia menghadapi setiap ujian yang menimpa dengan penuh kesabaran, sebaliknya bagi seseorang yang tidak redha menerima ujian Allah, maka ia akan menjadi hamba yang dibenci serta jauh daripada rahmat Allah.

Wallahua'lam.



Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top