Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Mesti Baca: Tentang Qiamullail

Saturday, September 04, 2010


Sekadar berkongsi bersama pembaca tentang Qiamullail:
Panduan-panduan atau perkara-perkara yg biasa dipratikkan oleh ulama' dalam mengerjakan ibadah qiamullail dan tatacara yang berkaitan dengan ibadah tersebut.

QIAMULLAIL


Qiamullail merupakan amal ibadat di tengah malam, dengan mengerjakan solat-solat sunat seperti solat sunat Taubat, Tahajjud, Witir dan lain2, serta amalan2 seperti membaca Al-Quran , berzikir , beristighfar, berdoa dan sebagainya . Ibadah qiamullail sangat digalakan didalam islam sebagaimana maksud ayat yang ke-79 surah Al-isra'

"Dan bangunlah pada sebahagian dari waktu malam serta kerjakanlah "sembahyang tahajjud" padanya, sebagai sembahyang tambahan bagimu; semoga Tuhanmu membangkit dan menempatkanmu pada hari akhirat di tempat yang terpuji".

Kelebihannya 

Allah SWT menyatakan di dalam Al-Quran Al-Karim bahawa orang-orang yang sentiasa bertaqwa dan mengerjakan "Qiamullail" dengan beramal ibadat dan memohon keampunan dari Allah itu adalah orang-orang yang muhsinin, iaitu orang-orang yang berbuat kebajikan yang berhak mendapat balasan yang baik, rahmat Allah dan Syurga. Firman Allah di dalam Al-Quran :

"Sesungguhnya orang-orang yang bertaqwa adalah ditempatkan di dalam beberapa taman Syurga, dengan matair-matair terpancar padanya. (Keadaan mereka di sana) sentiasa menerima nikmat dan rahmat yang diberikan kepadanya oleh Tuhan mereka. Sesungguhnya mereka di dunia dahulu adalah orang-orang yang berbuat kebaikan. Mereka sentiasa mengambil sedikit sahaja: masa dari waktu malam, untuk mereka tidur. Dan pada waktu akhir malam (sebelum fajar) pula, mereka selalu beristighfar kepada Allah (memohon ampun)" .(Adz-Dzaariyaat15-18)


Waktu Qiamullail 
Sembahyang malam itu harus dikerjakan, sama ada pada awal malam, di tengah-tengah malam atau di akhir malam. Ini berdasarkan riwayat Al-Hafiz : Bahawa tahajjud Rasulullah SAW itu tidak ada waktunya yang tetap, malah terpulang kepada apa yang mudah bagi baginda mengerjakannya jua.

Bagaimanapun , berdasarkan hadis-hadis yang lain, adalah lebih afdhal dilewatkan sembahyang tahajjud itu sehingga kepada salah satu pertiga yang akhir dari malam.

Diantara hadis-hadis itu ialah sabda Rasulullah SAW yang bermaksud : 

"Sehampir-hampir masa seseorang hamba Allah kepada Tuhannya ialah pada waktu tengah malam yang terakhir, maka kalau anda berminat menjadi seorang dari orang-orang yang menzikiri (mengingati) Allah pada saat yang tersebut , maka hendaklah anda lakukan. (At-Tirmizi)

Dan dari Abi Hurairah (RA) beliau berkata bahawasanya Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

"Allah Azzawajalla turun pada tiap-tiap malam ke langit dunia ketika tinggal satu pertiga malam yang terakhir , maka ia berfirman : " Sesiapa yang akan berdoa kepada aku akan aku perkenankan. Sesiapa yang meminta ampun kepada Aku akan Aku ampuninya". (Al-Bukhari)

Maksud hadis ini : Bahawasanya pintu rahmat Allah itu terbuka pada malam hari seluas-luasnya, khususnya pada akhir-akhir malam. Segala permohonan diterima pada ketika itu.


Bilangan rakaatnya

Sembahyang malam itu tidak ada baginya bilangan rakaat yang khusus, dan tidak pula ada had sempadan jumlahnya yang tertentu. Oleh itu, maka boleh berhasil maksud Qiamullai pada minimumnya, yakni pada jumlah yang paling tidaknya, dengan mengerjakan hanya satu rakaat witir selepas mengerjakan sembahyang Fardhu Isyak.

Diriwayatkan daripada Ibnu Abbas RA katanya : Rasulullah SAW telah menyuruh kami mengerjakan sembahyang malam dan baginda menggalakkannya sehingga ia bersabda

"Hendaklah kamu mengerjakan sembahyang malam itu walaupun satu rakaat". (Al-Tibrani)

Tahajjud, Sunat Muakkadah

Tahajjud ialah nama bagi sembahyang-sembahyang sunat tambahan (nawafil) yang dikerjakan selepas bangkit daripada tidur di tengah Malam. Segala sembahyang yang dikerjakan sebagai kumpulan witir itu adalah tahajjud.

Mengerjakan tahajjud di tengah malam hukumnya adalah sunat muakkadah, yakni sunat yang sangat-sangat digalakkan supaya dikerjakan. Dikatakan yang terutama sekali diantara sembahyang-sembahyang itu, selain daripada sembahyang Fardhu, ialah sembahyang di tengah malam.

Ini dinyatakan didalam sebuah hadis yg diriwayatkan oleh Iman Muslim rh : Seorang sahabat bertanya kepada Rasulullah SAW : Sembahyang apakah yang terafdhal selain dari sembahyang fardhu? Jawab baginda : "Sembahyang Malam". 

Berniat Ketika Hendak Tidur

Orang yang berazam hendak bangkit di tengah malam kerana hendak Qiamullail, maka disunatkan ketika hendak tidurnya ia berniat : Bahawa ia hendak bangkit malam nanti kerana hendak mengerjakan ibdat Qiamullail.

Tujuannya berbaut demikian ialah semoga ia mendapat pahala bagi apa yang telah diniatkannya itu sekiranya ia tidak bangkit kerana benar-benar tidak terjaga dari tidurnya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud :

"Barangsiapa tiba di hamparan tempat tidur serta ia berniat hendak bangkit mengerjakan sembahyang malam tetapi dia dikalahkan oleh matanya- Yakni terus tertidur-sehingga waktu subuh, maka dituliskan baginya (pahala) apa yang ia niatkan, dan tidurnya itu pula merupakan sedekah kepadanya daripada Tuhannya". (An-Nasai dan Ibnu Majah)

Seorang suami yang bangkit mengerjakan Qiamullail di tengah malam adalah disunatkan baginya mengejutkan isterinya supaya bangkit beribadat sama. Jika isterinya itu enggan, malah terus tidur, maka bolehlah suami mencari jalan menurut budi bicara yang baik supaya isterinya itu bangkit, hingga walaupun dengan merenjis air ke muka isterinya itu. Dan demikianlah juga sebaliknya-yakni isteri boleh melakukan perkara yang sama terhadap suaminya.

Rasulullah SAW telah bersabda :

"Allah merahmati seorang suami yang bangkit dari sebahagian malam lalu ia sembahyang dan mengejutkan isterinya. Kalau isterinya itu enggan, ia merenjiskan air ke mukanya. Juga Allah merahmati seorang isteri yang bangkit pada sebahagian malamnya lalu ia sembahyang dan mengejutkan suaminya. Jikalau suaminya enggan maka ia merenjiskan air ke mukanya". (Hadis Abu Daud)

Diingatkan mengerjakan amal ibadat malam hari atau Qiamullail itu tidaklah merupakan satu kemestian atau kewajiban, dengan keterlaluan sangat, sampai menjadi keberatan kepada diri atau mengganggu kesihatan atau menjejaskan tenaga bekerja mencari nafkah yang halal pada siang hari, kerana yang demikian itu bukanlah cara yang diingini. Malah buatlah sekadar minat dan termampu jua, tetapi biarlah berkekalan tanpa meninggalkannya kecuali dalam kecemasan atau jika ada apa-apa halangan yang tak dapat dielakkan.


Mereka bertanya Rasulullah SAW : Apakah satu amalan yang lebih disukai Allah Taala ? Baginda menjawab : "Yang berkekalan walaupun sedikit". (Bukhari dan Muslim).
Selamat berqiamullail, insyaallah =)







Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top