Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

Obama dikecam sokong masjid Ground Zero

Monday, August 16, 2010

Obama dikecam sokong masjid Ground Zero
Sumber: Berita Harian


WASHINGTON: Kumpulan anggota keluarga mangsa serangan 9/11 semalam mengecam tindakan Presiden Barack Obama mempertahankan hak masyarakat Islam di negara itu membina kompleks masjid berhampiran ‘Ground Zero’ – lokasi serangan pengganas ke atas New York pada 11 September 2001 itu.

Kumpulan Safe & Strong America yang mewakili beberapa anggota keluarga mangsa, berkata mereka ‘terperanjat’ dengan kenyataan Obama mempertahankan pembinaan masjid itu.

Menurut kumpulan itu Obama “sudah lupa bahawa tapak berkenaan adalah tempat di mana hati rakyat Amerika terluka sembilan tahun lalu.

“Kini presiden kita mahu mangsa dan keluarga 9/11 menanggung beban tambahan iaitu berdiam diri atau jika bersuara dikecam sebagai membelakangkan toleransi agama.”

Kumpulan itu menganggap pembinaan masjid berkenaan adalah tindakan provokatif.
Bagaimanapun Mei lalu, sebuah lagi kumpulan yang mewakili mangsa 9/11 September Eleventh Families for Peaceful Tomorrows berkata ia menyokong kuat pembinaan masjid berkenaan.

Tinjauan pendapat yang dilaksanakan CNN/Opinion Research awal bulan ini mendapati 68 peratus daripada responden membantah pembinaan masjid dan pusat Islam itu, manakala 29 peratus menyokongnya.

Ahli Kongres, Peter King dari New York berkata masyarakat Islam menyalahgunakan
hak mereka dan dengan tanpa sebab mahu “menyakitkan hati orang lain.”

Pada majlis berbuka puasa di Rumah Putih Jumaat lalu, Obama berkata: “Umat Islam mempunyai hak yang sama seperti orang lain untuk mengamalkan agama mereka di negara ini."

“Hak itu termasuk kebebasan untuk membina masjid dan pusat masyarakat di tapak persendirian.”


Suruhanjaya Bandar Raya New York meluluskan pembinaan masjid dan pusat Islam itu 3 Ogos lalu.

Datuk Bandar New York, Michael Bloomberg mengalu-alukan tindakan Obama mempertahankan hak beragama itu.

Katanya cadangan masjid itu adalah “ujian penting kepada konsep pemisahan agama dan kerajaan di negara ini,” katanya.

Isu berkenaan mencetuskan debat penuh emosi di negara itu dengan sebuah gereja di Florida merancang mengadakan majlis “membakar Al-Quran” pada 11 September yang juga jatuh pada 1 Syawal tahun ini. – AFP



Related Posts by Categories



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top