Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

Merokok dan Ramadhan

Saturday, August 14, 2010



Hukum Merokok
Sumber: Koleksi Artikel


Kenapa merokok? Pelbagai alasan yang diberikan oleh perokok seperti dorongan
atau peniruan perbuatan sama oleh ayah atau abang, pengaruh rakan-rakan,
menangani stress, mengikut trend semasa, keseronokan, tertarik dengan iklan
rokok atau aksi dalam drama/filem yang mempaparkan aksi merokok dan pelbagai
lagi. Namun yang pasti jika ianya tidak bermula tentunya ketagihan tidak akan berlaku.

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama
Islam Malaysia Kali Ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 telah
membincangkan Hukum Merokok Dari Pandangan Islam. Muzakarah itu telah
memutuskan bahawa perbuatan merokok adalah haram dari pandangan Islam
kerana ianya terdapat kemudaratan.


Allah berfirman, “Dia menyuruh mereka dengan perkara-perkara yang baik dan
melarang mereka dari melakukan perkara-perkara yang keji, dan dihalalkan atas mereka apa-apa yang baik, dan diharamkan atas mereka apa-apa yang buruk (kotoran).” (al-A’raf: 157). Pengharaman rokok atas dasar banyaknya kemudaratan berbanding kebaikan. Jika diteliti pun, tiada kebaikan yang boleh diambil dengan perbuatan merokok. Bila dibaca di mana-mana forum di internet, sebilangan besar
perokok cuba menyangkal dakwaan fatwa bahawa merokok adalah haram. Mereka
berikan pelbagai alasan termasuk alasan yang bersifat kebudak-budakkan seperti kenapa tidak haramkan minum kopi padahal meminum kopi juga boleh memudaratkan kesihatan dan ketagihan.

Saya yakin, semua perokok tahu risiko negatif menghisap rokok, terutamanya untuk kesihatan diri. Malah pihak kerajaan juga telah mewajibkan syarikat pengeluar rokok supaya mempamerkan gambar-gambar yang ‘agak menakutkan’ kesan merokok. Persoalannya, kenapa masih ramai yang terus merokok? Setiap hari ada sahaja perokok baru yang muncul termasuk kanak-kanak dan remaja.

Merokok bukan sahaja memudaratkan diri si perokok, tetapi ianya juga mengancam kesihatan orang di persekitaran termasuk keluarganya. Kajian juga mendapati kesan asap rokok lebih mudarat kepada orang lain berhampiran yang menghidu asap rokok tersebut berbanding si perokok itu sendiri. Ini bukan sahaja cubaan membunuh dirinya sendiri, malah perokok juga mampu membunuh orang lain kerana perbuatan ‘kotor’ yang dilakukannya. Sabda Rasulullah s.a.w, “Tidak boleh (menimbulkan) bahaya dan tidak boleh pula membahayakan orang lain.” (Riwayat Ibnu Majah).

Perbuatan merokok berdasarkan 6 fasa perkembangan iaitu fasa pemerhatian, fasa induksi, fasa peneguhan (reiriforcement), fasa menikmati, fasa terbiasa (terlazim atau menjadi tabiat) dan fasa ketagihan. Seorang ayah yang melarang atau memarahi anaknya merokok sedang dia seorang perokok, fasa pemerhatian ini boleh mendorong anaknya merokok walaupun secara sembunyi tanpa pengetahuan ayahnya.


Secara kesimpulannya, fasa-fasa perkembangan ini boleh dikelaskan kepada tiga tahap iaitu fasa prakeinginan dengan melihat orang lain merokok, fasa membuat keputusan dengan berfikir, menilai, dan membuat keputusan untuk merokok dan fasa penerusan iaitu menjadikan perbuatan merokok sebagai tabiat rutin dan peningkatan pengambilan rokok.

Antara keburukan merokok dari segi kesihatan ialah ianya boleh merosakkan paru-paru, mengakibatkan sakit jantung, lelah, batuk, mulut berbau, gigi rosak, penyakit barah, mati pucuk, memendekkan usia dan lain-lain. Firman Allah, “Dan belanjakanlah (apa-apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah, dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam kebinasaan dan baikilah (dengan sebaiknya segala usaha) perbuatan kamu, kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang yang sentiasa memperbaiki amalannya.” (Al-Baqarah: 195).

Manakala amalan merokok juga mengundang kepada sikap pembaziran masa dan wang ringgit. Harta yang tidak dibelanjakan di tempat yang halal adalah termasuk dalam konteks membazir kerana tiada manfaat yang boleh diperolehi daripadanya. Firman Allah dalam Surah Al-Isyra ayat 27, “Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Malangnya masih ramai di kalangan ahli atau ilmuan agama sendiri (sepatutnya menjelaskan penghukuman halal dan haram kepada masyarakat) yang terlalu tegar dengan ketagihan merokok ini. Apakah usaha pihak kerajaan menaikkan cukai rokok atau menakut-nakutkan perokok dengan meletakkan gambar ngeri dan jijik di kotak-kotak rokok mampu mengatasi amalan merokok di kalangan rakyat,
terutama umat Islam?

Secara peribadinya saya rasa gagal kerana jalan terbaik yang patut dilakukan pihak berwajib ialah dengan cara mengharamkan terus penjualan rokok dan menutup terus kilang-kilang rokok dari beroperasi. Tapi adakah ianya mungkin jika kerajaan terus memikirkan keuntungan cukai yang diperolehinya hasil dari syarikat-syarikat rokok? Atau adakah mungkin pengharaman secara menyeluruh menjadi realiti jika para ustaz atau ahli-ahli agama sendiri masih menghembuskan asap rokok daripada bibir-bibir mereka?

Jadi, jika hukum merokok adalah haram, maka, apakah hukum merokok di bulan
Ramadhan? Apapun cubalah untuk berhenti merokok dan muhasabahlah diri di
bulan yang mulia ini. Ingatlah orang tersayang di sekeliling kita.



Related Posts by Categories



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top