Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

Adab Terbaik Ketika Berbuka Puasa

Sunday, August 15, 2010

ADAB-ADAB KETIKA BERBUKA PUASA
Sumber: Koleksi Artikel


1. Berbuka apabila masuk waktu maghrib.

Diriwayatkan dari Umar bin al-khattab RA, telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila malam sudah tiba dari arah sini dan siang telah pergi dari arah sini, sedang matahari sudah terbenam, maka orang yang berpuasa boleh berbuka.(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

2. Mendahulukan makan dari solat Maghrib.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata: Telah bersabda Rasulullah SAW: Apabila
makan malam telah disediakan, maka mulailah makan sebelum solat Maghrib,
janganlah mendahulukan solat daripada makan malam itu (yang sudah terhidang).
(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

3. Mempercepatkan waktu berbuka.

Diriwayatkan dari Sahal bin Sa’ad: Sesungguhnya Nabi SAW telah bersabda:
Manusia (Umat Islam) masih dalam keadaan baik selama mentakjilkan
(menyegerakan) berbuka.(Hadis riwayat Bukhari & Muslim)

4. Berbuka dengan memakan beberapa ruthaab (kurma basah) sebelum solat.


Diriwayatkan dari Anas RA, ia berkata: Rasulullah SAW berbuka dengan makan
beberapa ruthaab sebelum solat, kalau tidak ada maka dengan kurma kering, kalau tidak ada maka dengan meneguk air beberapa teguk. (Hadis riwayat Abu Daud & al-Hakim)

5. Menyediakan makanan berbuka kepada orang yang berpuasa sekalipun dengan beberapa biji tamar atau segelas air.

Sabda baginda SAW: “Sesiapa yang menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa baginya ganjaran seumpama pahala orang yang berpuasa tanpa mengurangi sedikitpun pahalanya (orang yang berpuasa)”.(Hadis riwayat al-Baihaqi & Ibnu Khuzaimah)

6. Membaca doa berbuka puasa. Doanya adalah seperti berikut:

Allahumma laka somtu wa bika aamantu wa ‘alaa rizqika afthartu birahmatika ya arhamarrohimin.

Maksudnya: Ya Allah bagi Engkau aku berpuasa dan dengan Engkau beriman aku dengan rezeki Engkau aku berbuka dengan rahmat Engkau wahai yang Maha Pengasih dan Penyayang.

7. Tidak makan dengan sifat tamak dan gelojoh.

Seharusnya kita menghayati doa yang kita baca sebelum berbuka yang mana
kita dapat berbuka puasa dengan rahmat Allah dan apa yang dimakan adalah
rezeki dariNya. Kita perlu bersyukur dengan pemberiannya. Sebaik-baiknya
makanlah sekadar yang perlu agar ianya tidak memudaratkan diri dan
mengganggu kita menjalani ibadah pada sebelah malam.

8. Mengelakkan pembaziran dalam penyediaan juada berbuka
(adab berpuasa). Salah satu daripada hikmah difardhukan ibadah puasa adalah supaya kita dapat berjimat cermat. Tidak seharusnya kita berbelanja besar semata-mata untuk menyediakan juadah berbuka. Adalah lebih afdhal sekiranya sebahagian peruntukkan yang ada digunakan untuk bersedekah.



Related Posts by Categories



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top