Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

Jangan Marah-Marah

Friday, July 16, 2010



Jangan Marah! Bersabar Lebih Baik

Koleksi Artikel


ANTARA PINTU MASUK KE SYURGA ADALAH DENGAN MENGAWAL KEMARAHAN


Apabila berlaku elemen marah, kadangkala boleh memutuskan silaturrahim. Oleh itu sebelum bercakap MESTI berfikir. Jangan marah seseorang di hadapan orang ramai kerana setiap orang mempunyai maruah tidak kira sesiapa sahaja. Kerana bila hati terluka atau terguris, timbullah masalah lain. Jadi, sekiranya anda hendak marah, fikirlah dahulu sebelum marah, kerana MARAH perbuatan SYAITAN!

Tidak marah bukan bererti kita rela dizalimi dan dianiayai. Bangun menentang kezaliman adalah terpuji seperti juga terpujinya sifat sabar dan pemaaf. Bila hak Allah dilanggar dan hak dharuri kita dicabuli secara melampaui batas, bangun menentang, malah jadi satu jihad. Tetapi mana ukuran jihad atau marah yang melulu? itulah tauhid, syariat dan akhlak. Di sanalah kita berhakimkan perasaan, fikiran dan tindakan.

Menyatakan yang kita marah tidak perlu secara marah-marah. Nabi itu juga boleh dikesan kemarahannya… tetapi masih terpelihara keperibadiannya. Orang yang tidak faham kalau kita menegur secara lembut, selalunya akan melenting bila dimarahi secara keras. Hati-hati!


Bagaimana rasa kita bila mulut yang pernah kita suap tiba-tiba menggigit kita? Atau bila seorang yang lemah lembut kononnya datang hendak membantu kita tetapi punya seribu satu rencana rahsia untuk menjatuhkan kita? Atau dia yang begitu memuji memuja bvila berhadapan mata tetapi menikam dengan belati umpatan dan celaan ketika di belakang kita? Atau kita berdepan dengan “pelakon” handalan yang pandai sekali bermuka-muka tetapi penuh dengan strategi dan dendam untuk menghancurkan keperibadian atau karier kita? Jawabnya… JANGAN MARAH!

Kemarahan kita kepada seseorang akan memudaratkan kita sendiri lebih daripada orang yang kita marahkan. Justeru, memaafkan adalah langkah yang paling baik – bukan sahaja untuk orang lain tetapi untuk diri kita sendiri. Ertinya, memaafkan orang lain samalah seperti memaafkan diri sendiri. Diri kita akan menjadi lebih tenang, ceria dan stabil apabila memaafkan ’musuh-musuh’ kita.



Menurut ajaran Islam kemarahan berasal daripada syaitan, dan syaitan berasal daripada api. Api itu panas dan membakar. Bahangnya akan menyebabkan pertimbangan hati, akal dan perasaan kita tidak seimbang – sepertimana molekul cecair atau gas apabila dipanaskan. Malah, ada kesan biologi yang negatif apabila kita marah – degupan jantung, aliran darah, retina mata dan rembesan hormon berubah daripada biasa. Muka menjadi merah, telinga menjadi panas, gigi serta bibir mengetap… Benarlah seperti yang dianjurkan oleh Imam Ghazali apabila seseorang itu marah ” pandang betapa hodoh wajahmu di muka cermin!”

Namun, siapakah yang tidak pernah marah? Marah itu sebahagian daripada sifat tabi’e manusia. Tanpa marah, manusia bukan manusia lagi. Justeru, marah itupun satu anugerah. Dengan adanya sifat marah, timbullah semangat mempertahankan diri, keluarga bahkan agama. Ringkasnya, marah itu ada yang terpuji, ada yang dikeji. Marah yang terpuji bila sesuai pada tempat, sebab dan keadaannya.


Bila agama dikeji, kita mesti marah. Ketika itu jika kita tidak marah, Allah akan marahkan kita. Sebaliknya, bila diri peribadi kita yang dikeji, dianjurkan supaya bersabar. Ini soal personal. Memaafkan, lebih utama. Sayangnya, hal yang sebaliknya selalu berlaku. Bila agama dikeji, kita selamba. Bila diri dikeji, marah kita seakan menggila.

Bagaimana kita boleh menteladani Sayidina Ali r.a. yang masih mampu membezakan ’jenis’ marahnya di saat kritikal? Ketika dia diludah oleh musuhnya sewaktu hendak memancung kepala musuh tersebut, Sayyidina Ali tiba-tiba berhenti justeru merasakan marahnya bukan lagi atas semangat jihad fisabilillah tetapi oleh kebencian melulu yang lebih bersifat personal.


Termasyhur kata-kata ahli rohani, jika diri dikeji… telitilah, muhasabahlah, apakah kejian itu sesuatu yang benar dan tepat? Jika benar dan tepat, kejian itu mesti dilihat sebagai ’teguran’ daripada Allah melalui lidah manusia. Koreksi dan perbaikilah diri segera. Namun sekiranya kejian itu tidak benar, apa hendak dirisaukan? Bukan manusia yang menentukan mudarat dan dosa. Biarkan ia berlalu, jangan takut kepada orang yang mencerca!

Namun itu tidak bermakna kita jumud hingga merelakan diri untuk sewenang-wenaangnya diperkotak-katikkan. Kesabaran perlu diiringi kebijaksanaan. Tabah bukan mendedahkan diri untuk difitnah. Tanganilah, hadapilah, kejian yang salah dengan cara yang betul. Hadapi emosi sipengeji yang panas berapi dengan kepala sedingin salji.


Jadikanlah kemarahan itu sebagai ’pekerja’ dan diri kita sebagai ’majikan’nya. Biarlah marah yang bekerja untuk kita, bukan kita yang bekerja untuknya. Jadi, mula-mula, tuluskanlah marahmu hanya kerana Allah semata. Kemudian luruskanlah marah itu pada jalan yang dibenarkan-Nya sahaja. Kemudian uruskanlah marahmu mengikut kadar dan batasnya…

Jadikanlah marah umpama api di dapur hatimu. Panasnya, biar berpadanan. Jangan terlalu kecil, hingga tindakan mu kelihatan ’mentah’. Jangan pula keterlaluan hingga peribadimu hangus terbakar!

Nak suruh orang bersabar sangat senang tapi nak suruh diri sendiri bersabar bukan perkara yang mudah. Senang atau susah untuk bersabar bergantung kepada seseorang, persekitaran dan masa. Sebenarnya kita dituntut supaya bersabar kerana banyak hikmahnya.

Pertama, dapat mengelakkan daripada penyakit.
Jika kita tidak sabar tentu hati dan fikiran serta perjalanan darah dalam diri kita akan terganggu. Contohnya katakan jika kita terlampau marah kepada seseorang kerana ia telah menjatuhkan air muka kita di depan orang ramai maka kita pun tidak sabar dengan terus bertindak balas atau menyerangnya di depan orang ramai juga. Pada masa itu denyutan jantung kita semakin laju dan tekanan darah akan bertambah. Akibatnya jika kita terus bersikap demikian sudah pasti lama-kelamaan kita mungkin diserang sakit jantung atau darah tinggi.

Kedua, dapat mengekalkan hubungan silaturahim.
Bila orang melihat sikap kita yang sentiasa bersabar menyebabkan mereka merasa senang dengan kita dan mereka ingin mengekalkan hubungan yang baik dengan kita.

Ketiga, Tuhan akan sentiasa bersama dengan orang yang sabar.
Sabar itu adalah separuh daripada iman.

Keempat, amalan bersabar boleh menyebabkan fikiran kita menjadi lapang dan tenan
g. Mungkin semasa kesusahan tidak berlaku kesenangan tetapi selepas itu barulah kita merasakannya.

Kelima, kajian telah mendapati ketika kita marah berjuta-juta sel dalam darah kita akan mati sedangkan sel-sel tersebut adalah penting untuk kita. Bagi mengelakkan kematian sel yang banyak ia perlu disekat dengan cara menghentikan kemarahan iaitu bersabar.


Walaupun pepatah ada mengatakan bahawa seberat-berat mata memandang berat lagi bahu memikul namun mengamalkan kesabaran sedikit sebanyak dapat meringankan bebanan atau kesusahan yang sedang kita alami.


Related Posts by Categories



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top