Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

Sepuluh Sikap Manusia Yang Mesti DiJauhi

Monday, June 21, 2010



Sepuluh Sikap Manusia Yang Mesti DiJauhi (bagi yang bergelar manusia sahaja)
Oleh: Zira@EB



Adakala hidup ini gembira, kadangkala duka. Itulah lumrah hidup sebagai manusia
atau khalifah di muka bumi ini. Seperti orang selalu berkata, sekarang kita
di atas, mungkin akan datang kita di bawah. Contohnya, sekarang kita mendapat
jawatan yang tinggi atau kehidupan yang selesa, tetapi mungkin akan datang kita akan berada dalam kesusahan dan orang tidak menerima kita. Tapi, bagaimana kita boleh berada di atas atau di bawah? Jawapannya, semuanya bergantung kepada sikap kita sendiri.

Kita tidak perlu menyalahkan orang lain mengapa kita selalu berada di bawah
atau kita juga tidak boleh memandang hina atau memandang rendah terhadap
orang lain apabila kita berada di atas. Sebagai contoh, apabila seseorang itu berada di tempat yang selesa pada hari ini, mereka tidak senang hati untuk
membantu orang yang tidak rapat dengannya walaupun orang tersebut baik.
Mereka ini gemar melihat orang yang digelar baik itu memohon, merayu untuk mendapatkan hajat mereka. Selalunya yang mendapat ruang adalah golongan
yang rapat dengan orang yang dalam keadaan selesa tadi. Mengapa keadaan ini
selalu terjadi?


Salahkah orang yang berniat baik itu? Bila bersikap baik, orang lain salah tafsir dengan niat kita. Ada sesetengah tidak dapat menerima kebaikan orang itu. Mengapa ini terjadi? Adakah komunikasi mereka ini tidak bagus? Komunikasi tidak bagus, adakah bermaksud orang itu tidak bergaul dengan orang lain? Sejauh mana pula orang itu tidak bergaul dengan orang lain? Patutkah orang lain melabelkan orang tertentu itu tidak mempunyai komunikasi yang baik walaupun dia mempunyai latar belakang yang baik? Patutkah kita melabelkan seseorang atau sesuatu itu dengan perkara yang kita dengar daripada orang lain dan kita hanya mengikut atau mengiyakan sahaja apa yang kita dengar atau apa yang kita rasa? Setiap orang perlu diberi peluang.

Adakah orang yang sedang dalam keadaan selesa itu hanya memilih kawan atau bulu sahaja? Adakah orang yang sedang dalam keadaan selesa itu ingin tunggu orang lain datang membodek atau sewaktu dengannya? Adakah orang yang berada dalam keadaan selesa itu puas hati melihat orang yang pernah mempunyai masalah dengannya sebelum ini susah? Adakah anda tahu jawapannya? Adakah kita tahu jawapannya? Jawapan yang pasti, mereka akan berkata, "aku punya suka apa aku nak buat!"

Tetapi, sekiranya kita manusia, seorang Islam, mesti selalu muhasabah diri mengapa semua ini terjadi? Ini kerana setiap apa yang kita lalui di dunia ini merupakan ujian daripadaNYA.

SYEIKH Abdul Kadir Abdul Mutalib dalam buku tasauf Penawar Bagi Hati
menjelaskan mengenai sepuluh celaan Allah kepada manusia akibat dari
kelakuan dan tabiat manusia sendiri ketika menempuh kehidupan seharian.

Sepuluh celaan itu berdasarkan sepuluh sikap yang lazim dilakukan manusia iaitu:


1. Gelojoh ketika makan

Dalam erti kata lain, seseorang yang kuat dan tidak bersopan ketika makan.
Sikap ini juga meliputi maksud makan terlalu kenyang, menyediakan makanan dalam jumlah yang berlebihan, yang akhirnya membawa kepada pembaziran.

Sebagai contoh: Bila kawan hendak membeli makanan, tetapi kita sudah kenyang, tetapi kerana NAFSU, kita ikutkan sahaja. Kemudian, kita melantak
selagi kita kenyang dan makan tanpa berhenti dan makanan membazir begitu sahaja.

Lagi satu, kalau ia pun lapar, apa salahnya kita sabar, kerana Sabar itu Separuh Iman.


2. Banyak bercakap

Allah mencela manusia yang suka bercakap perkara yang sia-sia, fitnah-memfitnah, umpat keji dan kata mengata kerana semua jenis percakapan itu menjurus kepada permusuhan dan perbalahan sesama manusia.

Sebagai contoh: Perkara di atas seperti fitnah, umpat keji dan mengata boleh berlaku di mana dan dengan sesiapa saja tanpa mengira umur. Semuanya
berpunca antaranya kerana tidak dapat memaafkan orang lain atau masih
berdendam sedangkan pihak di sebelah sana tidak mengetahui apa-apa dan
menjadi mangsa umpatan. Na'uzubillah. Selalunya keadaan ini berlaku kerana
orang lain tidak senang melihat kesenangan orang lain, berdasarkan kisah
kehidupan seharian. Tambahan pula, bercakap perkara yang tidak berfaedah,
atau bercakap kosong sehingga membawa gosip atau umpatan juga tidak baik
kerana akan menimbulkan keburukan dalam hubungan seseorang.

3. Suka marah-marah

Kemarahan boleh membuat seseorang itu bertindak di luar batas kemanusiaan.
Perbuatan marah akan diikuti dengan maki hamun, mengherdik dan perkelahian
yang boleh mengakibatkan kecederaan atau pembunuhan.

Sebagai contoh: Kita berasa marah melihat orang lebih daripada kita. Kita cepat naik angin kerana perkara kecil serta menempik kuat-kuat dan paling memalukan memukul atau memberi kata-kata kasar, masyaallah! Ketika anda sedang marah, katakanlah pada diri “marah bukan sifatku”. Katakan berulang kali sambil cuba menenangkan hati. Bila diucapkan sebanyak mungkin, ia akan diserap oleh fikiran lalu masuk ke minda, insyaallah!


4. Hasad dengki

Seseorang yang bersifat dengki sanggup melakukan apa saja dalam bentuk
kejahatan atau jenayah. Perbuatan menipu dan sanggup memusnah hidup orang lain adalah antara sifat keji yang lahir dari perasaan hasad dengki. Rasulullah bersabda: 'Dengki itu memakan segala kebaikan' (riwayat Muslim).

Sebagai contoh: Mengapa orang suka dengki? Tidak suka tengok orang lain gembira, senang dan berjaya? Selagi kita tidak senang, orang lain tidak akan senang, mengapa perlu ada perasaan begitu? Kita tidak tahu bila kita akan meninggalkan dunia ini, dan kita tidak tahu bagaimana kita ingin meminta maaf secara ikhlas dengan orang yang pernah kita buat silap. Cubalah ikhlas berkawan dengan seseorang sebelum memburukkan atau mengata seseorang itu. Bertaubatlah, istighfarlah secara ikhlas bukan sekadar istighfar tanpa menginsafi semua kelemahan kita.


5. Kedekut

Rezeki yang Allah kurniakan lebih suka disimpan hingga bertimbun banyaknya.
Sifat kedekut menghijab (menutup) seseorang dari membelanjakan sebahagian dari hartanya ke jalan kebaikan termasuk menderma, membuat kebajikan ke jalan Allah dan membantu orang yang memerlukan.

Sebagai contoh: Kedekut harta? Kedekut Ilmu? Jauhilah perbuatan kedekut kerana Allah tidak kedekut dengan semua hambanya kerana semua di dunia ini milik Allah bukan milik kita. Kita redha dan bersyukurlah dengan semua rezeki dan nikmat kurniaanNya.

6. Bermegah-megah

Ia termasuk sikap suka status atau jawatan, gelaran dan menerima sanjungan.

Sebagai contoh: Hayatilah ayat ini .. "Sekarang aku ketua di sini, maka semua perkara mesti mengikut ckp aku, siapa tak ikut, aku akan sisihkan mereka!" Aku tak perlu ikut cakap engkau, engkau pekerja bawahan aku, aku ketua, suka hati aku apa keputusan aku"


Fikirlah apa anda rasa apabila anda mengenali orang sebegini..semoga dia mendapat petunjuk Allah!

7. Cintakan dunia

Terlalu menghambakan diri kepada perkara duniawi hingga melupakan tuntutan ukhrawi. Rasulullah bersabda: "Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari." (riwayat Bukhari dan Muslim).

Sebagai contoh: "Aaaah aku sedar aku muda lagi, aku jahat, aku tak perlu solat, nanti umo aku da tua sikit, atau aku da dapat petunjuk dia, aku solatlah! Nanti aku bertaubatlah! sekarang aku nak enjoy puas-puas!!"

Bayangkan sekiranya apabila umur 30 baru bertaubat, berapa banyak titik hitam
dalam hati manusia tersebut? Dia tahukan bila dia akan meninggalkan dunia ini, subhanallah! Doakanlah agar Allah memberi petunjuk kepada hamba ini! Sesungguhnya Allah Maha Pengasih dan Pengampun!


8. Ego atau sombong

Sifat membuat seseorang merasakan dirinya mempunyai kelebihan dalam banyak
perkara dari orang lain hingga mereka lupa bahawa hanya Allah saja yang bersifat maha besar.

Sebagai contoh: "Aku tahu lah buat kerja ni, engkau orang tak perlu sibuklah kerja aku!" "Aku yang derma semua ni, untuk siapa? Untuk kesenangan mereka jugak!" "Akulah yang menyebabkan mereka berjaya, kalau takde aku, dorang takkan berjaya, cerminlah diri mereka tu" "Ini ke cikgu/ustaz/ustazah/pensyarah/ketua jabatan/kerani macam ni?"


Masyaallah, kita doakan agar hamba Allah seperti ini akan bertaubat dan insaf supaya tidak berleluasa dalam masyarakat kita. Apabila orang menghina atau sindir kita, jawablah alhamdulillah ..

9. Ujub dan suka bangga diri

Perbuatan ini ada unsur megah dan sombong dengan kelebihan dan kepandaian
yang dikurniakan Allah. Rasa bersyukur tidak ada lagi dalam diri kerana telah diselaputi perasaan ego.

Sebagai contoh: Janganlah kita meninggi diri dengan semua yang kita ada, jangan lupa ada lebih tinggi daripada kita, iaitu Pencipta Kita. Tidak kiralah sesiapa sahaja, kita doakan mereka mendapat petunjuk Allah, amin.

10. Gemarkan pujian, bodek atau riak


Manusia jenis ini suka meminta dipuji dalam setiap perkara yang dilakukan.
Sikap baiknya, jasa dan baktinya mahu dikenang sampai bila-bila. Ini jelas membayangkan bahawa sikap baiknya selama ini, tidak diiringi dengan kejujuran dan keikhlasan.

Sebagai contoh: "Ala bos, bos baikkan kan.." "Ala..awak kan baik, pandai, cantik, hensem, jom lah kita blablabla..."



Sesetengah manusia telah diciptakan Allah tidak pandai untuk memuji orang lain berlebihan, tidak pandai membodek, tidak pandai bergosip, tapi latar belakang hamba Allah ini baik...Mengapa orang lain suka memandang serong kepada orang seperti ini walaupun orang ini tidak pernah menimbulkan masalah kepada orang lain...

Sepuluh sikap yang dicela Allah ini, jika diamalkan, akan termasuk dalam kategori melakukan dosa besar.

Sekiranya dengan alasan yang biasa kita dengar, "tiada siapa yang sempurna melainkan Allah" Ia memang tepat dan benar, tapi kita mesti melawan hasutan syaitan supaya dijauhi ke semua sikap buruk di atas dan kita akan membawa bekalan baik di akhirat kelak, insyaallah .. Semoga Allah memberi rahmat dan petunjuk kepada gologan di atas (termasuklah diri ini..) Amin..


Related Posts by Categories



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top