Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 WAJIB BACA: Fahami Maksud Ketuanan Melayu

Friday, January 15, 2010



Fahami Maksud Ketuanan Melayu
Kredit: Asri Salleh dan Ahmad Suffian Mohd. Zahari


Konsep ketuanan Melayu dan kontrak sosial merupakan konsep yang telah lama menjadi sasaran sebilangan pemimpin dan parti politik di Malaysia untuk diperdebat. Polemik mengenai konsep ini memberi petunjuk, pertama kurangnya pemahaman sebilangan rakyat Malaysia tentang konsep berkenaan.

Kedua, kurangnya usaha untuk memberi kefahaman kepada seluruh rakyat tentang konsep tersebut. Ketiga, salah faham tentang konsep itu dan keempat salahnya usaha untuk menerangkan konsep tersebut.


Tiada kamus yang mendefinisikan terma 'Ketuanan Melayu.' Namun, berdasarkan pemahaman umum, terma tersebut jika diertikan secara harfiah atau literal merujuk kepada 'dominasi bangsa Melayu' (dalam bahasa Inggeris disebut sebagai Malay Supremacy atau Malay Dominance). Ia merupakan elemen paling penting dan paling asas dalam apa yang dipanggil 'kontrak sosial.'

Secara teknikal, konsep ketuanan Melayu merujuk kepada satu bentuk hubungan dan keadaan di mana bangsa Melayu itu seharusnya mendominasi segenap aspek kehidupan seperti sosial, politik dan ekonomi di tanah airnya berbanding bangsa lain yang turut menetap atau tinggal di tempat yang sama.

Hubungan ini tidak berbentuk feudalisme di mana melalui hak kelahiran, bangsa Melayu menjadi tuan manakala bangsa lain menjadi hamba atau orang suruhan.
Ringkasnya, ia merujuk kepada satu bentuk manifestasi hubungan simbiosis, walaupun tidak sama rata, tetapi tetap memberikan faedah dua hala.


Dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara, terma ketuanan Melayu - dalam perspektif hubungan pelbagai kaum bermaksud satu keadaan di mana bangsa Melayu merupakan pemegang kuasa dan penerima hak istimewa utama dalam pemerintahan, pentadbiran dan perjalanan Malaysia sebagai sebuah negara yang berbilang kaum.

Perbincangan konsep ketuanan Melayu dan kenegaraan Malaysia memerlukan pemahaman empat perkara asas berikut:

Timbal Balas (Quid Pro Quo)

Dari segi sejarahnya, Malaysia atau dulunya dikenali sebagai Tanah Melayu merupakan kawasan geografi yang majoriti penduduknya adalah kaum Melayu. Kehadiran pemastautin bangsa lain bermula pada era penjajahan British ke atas Tanah Melayu pada lewat kurun ke-19 dan awal kurun-20. Ketika ini British membawa masuk ramai tenaga buruh asing seperti rakyat China dan India untuk menampung kekurangan pekerja dalam industri perlombongan bijih timah dan perladangan getah.


Sebelum British meninggalkan Tanah Melayu, ramai daripada buruh ini diberi pilihan sama ada untuk terus menetap di Malaya atau kembali ke negara asal mereka. Ramai yang memilih untuk tinggal di sini. Tidak kurang juga yang memilih untuk kembali.

Apabila Tanah Melayu merdeka pada 31 Ogos 1957, buruh imigran ini diterima sebagai warganegara Malaysia melalui konsep jus soli dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu (Bahagian III-Kewarganegaraan; 3.1 Bab 1-Pemberian Kewarganegaraan; Artikel 14-22). Pemberian kewarganegaraan ini ditimbalkan dengan penerimaan balas beberapa syarat utama yang meliputi hal ehwal berkaitan perlindungan dan penjagaan status dan hak bangsa Melayu sebagai penduduk asal.

Aturan timbal balas atau quid pro quo penerimaan syarat-syarat ini dikenali sebagai 'kontrak sosial.' Kontrak inilah yang dijadikan asas kepada pembentukan Perlembagaan Malaysia dan penubuhannya sebagai sebuah negara. Kontrak ini turut dipanjangkan kepada penubuhan Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 yang membabitkan status dan hak kaum bumiputera Sabah dan Sarawak.

Artikel 153

Secara ringkas artikel ini menyebut mengenai kuasa Yang di-Pertuan Agong, sebagai Ketua Negara Malaysia, untuk melindungi kedudukan dan hak istimewa orang Melayu dan penduduk asal Sabah dan Sarawak (secara kolektif dipanggil bumiputera) dalam hal ehwal seperti perkhidmatan awam, pendidikan, biasiswa, latihan, kemudahan dan perniagaan tanpa menjejaskan peluang dan hak kaum lain.

Artikel 153, di samping status Yang di-Pertuan Agong itu sendiri sebagai orang Melayu dan Raja Melayu adalah asas kepada kemutlakan ketuanan Melayu dalam Perlembagaan Malaysia. Pemaktuban Artikel 153 ini sama sekali tidak menjadikan kaum bukan Melayu warganegara kelas kedua. Salah faham mengenai Artikel ini, jika ada, sebenarnya adalah sesuatu yang sengaja diada-adakan demi mencapai cita-cita politik dan peribadi songsang.

Kehilangan Singapura

Singapura diterima masuk ke dalam Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963 sebelum ia kemudiannya disingkir pada 9 Ogos 1965. Kemasukan Singapura menyebabkan populasi kaum Cina meningkat sehingga 35.7 peratus berbanding kaum Melayu iaitu 38.4 peratus (In-Won Hwang, Personalized Politics; The Malaysian State Under Mahathir, ISEAS, Singapore, 2003, pg.54).

Dominasi kaum Cina dan pengenalan polisi bukan pro-Melayu di Singapura mendorong kepada meletusnya beberapa rusuhan kaum di pulau tersebut. Ketidakstabilan Singapura akhirnya mendorong kepada penyingkirannya daripada Persekutuan Malaysia.

Episod rusuhan kaum di Singapura dan kesanggupan Kerajaan Malaysia untuk kehilangan sebuah 'tanah Melayu' merupakan sesuatu yang amat sukar tetapi terpaksa dilakukan. Demi keharmonian dan keamanan Malaysia keseluruhannya, kepentingan penduduk asal dan pulau Singapura terpaksa 'diketepikan.'

Bagi kebanyakan orang Melayu, episod Singapura adalah lambang kegagalan ketuanan Melayu. Justeru, ini juga adalah antara faktor utama sehingga kini, mengapa orang Melayu begitu sensitif apabila konsep ketuanan Melayu dipersoalkan.

Agenda

Malaysian Malaysia


Democratic Action Party (DAP) antara lain, meneruskan agenda Malaysian Malaysia (selepas pengharaman PAP di Malaysia) secara terbuka ke seluruh negara. Kempen berkaitan agenda ini menjadi amat popular terutama menjelang pilihan raya tahun 1969. Keputusan pilihan raya 1969 yang tidak memihak kepada Kerajaan Perikatan (kehilangan Pulau Pinang, Perak dan Kelantan dan 2/3 majoriti di Parlimen) memburukkan lagi suasana. Ketidaktentuan keadaan politik semasa akhirnya menyebabkan terjadinya rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.

Rusuhan tersebut menyebabkan Kerajaan Malaysia memperkenalkan beberapa polisi affirmative yang merupakan sebahagian daripada usaha melindungi agenda atau konsep ketuanan Melayu. Antaranya ialah pindaan Perlembagaan yang mengharamkan sebarang perdebatan (termasuk dalam Parlimen) ke atas hak dan kedudukan istimewa bumiputera, penambahan skop dan kuasa Yang di-Pertuan Agong, pengukuhan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, pemaktuban kedudukan Islam sebagai agama rasmi Persekutuan dan pengenalan Rukun Negara sebagai ideologi kebangsaan.

Langkah sosio-ekonomi yang paling utama pasca tragedi 13 Mei yang dilancarkan ialah Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan, memansuhkan penyamaan identiti kaum dengan peranan ekonomi, merapatkan jurang ekonomi antara kaum dan meluaskan kek ekonomi.

Antara Kesamarataan dan Keadilan

Salah faham tentang ketuanan Melayu berpunca daripada pemahaman serong bahawa orang Melayu, melalui hak kelahirannya sebagai bangsa Melayu mesti dianggap dan dilayan sebagai tuan dan di mana orang bukan Melayu pula adalah sebagai hamba. Fahaman ini adalah kefahaman sesat.
Memahami konsep ketuanan Melayu sebenarnya adalah mudah.

Ia mendokong gagasan bahawa hak-hak dan status kaum Melayu sebagai penduduk asal Malaysia mesti sentiasa dilindungi melalui cara yang adil dan saksama; tanpa menghalang hak kaum bukan Melayu. Ia menjamin bahawa tanah-tanah orang Melayu tidak akan dirampas untuk diberikan kepada orang lain yang tidak bertanah semata-mata atas dasar dan hak sama rata sebagai warganegara Malaysia.

Ia juga menjamin bahawa kedudukan Raja-Raja Melayu, adat istiadat Melayu, Islam dan bahasa Melayu sebagai agama dan bahasa rasmi negara Malaysia tidak akan ditidakkan. Ia sekali gus mengesahkan bahawa kedudukan ekonomi dan politik orang Melayu tidak sesekali disisihkan.
Teras politiking sesetengah parti di negara ini mengunjurkan kesamarataan hak rakyat Malaysia. Namun kesamarataan tidak semestinya membawa kepada keadilan. Sesungguhnya, keadilan adalah lebih penting daripada kesamarataan.

Semua agama menganjurkan bahawa keadilan adalah tunjang kehidupan. Dalam Islam, keadilan ditakrifkan sebagai usaha meletakkan sesuatu pada tempatnya atau pada haknya. Sebab itu zakat hanya diberi kepada orang miskin. Justeru, biasiswa pendidikan hanya layak untuk pelajar miskin. Kerana itu cukai pendapatan hanya dibayar oleh rakyat yang berpendapatan tinggi.

Polisi pemberian biasiswa pendidikan kepada pelajar kurang mampu atau miskin mencerminkan polisi yang adil meskipun tidak sama rata. Di Malaysia, kaum Melayu dan bumiputera adalah kaum yang paling miskin. Lantas, adalah adil melihat orang Melayu sebagai penerima terbesar biasiswa tersebut.

Harus diingat bahawa dasar pemberian biasiswa ini sama sekali tidak menafikan hak kaum bukan Melayu yang juga miskin dan berhak. Contohnya biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) pada masa kini dinisbahkan pada 55:45 di mana kaum Melayu (yang majoritinya miskin) diperuntukkan 55 peratus biasiswa manakala bukan Melayu (yang majoritinya mampu) mendapat 45 peratus.

Kelangsungan Ketuanan Melayu


Polemik mengenai ketuanan Melayu sebenarnya mempunyai beberapa agenda tersusun. Antaranya pertama, penguasaan politik oleh gagasan yang menolak ketuanan Melayu. Kedua, penyingkiran parti politik yang memperjuangkan ketuanan Melayu dan ketiga, pindaan Perlembagaan untuk mewujudkan 'ketuanan Rakyat' atau Malaysian Malaysia.

Ada banyak sebab mengapa usaha menghapuskan ketuanan Melayu ini wajar ditentang. Antaranya, sistem politik Malaysia adalah berteraskan kepada sistem Parlimen Beraja (Constitutional Monarchy) di mana Raja atau Sultan merupakan tulang belakang penubuhan Malaysia. Agong sebagai Ketua Negara Malaysia dan Ketua Perlembagaan Malaysia yang terdiri daripada Sultan atau Raja Melayu. Justeru, Malaysia sebagai sebuah negara adalah diasaskan kepada konsep ketuanan Melayu - yang mana Raja atau Sultan Melayu adalah 'Ketua' atau 'Tuan' kepada orang Melayu dan rakyat Malaysia keseluruhannya.

Usaha menidakkan atau menggantikan ketuanan Melayu dengan sesuatu yang lain akan membabitkan pindaan Perlembagaan keseluruhannya, jika bukan pembentukan perlembagaan baru. Ia seperti menubuhkan sebuah negara baru.

Usaha ke arah ini tidak mudah. Banyak masalah dan 'bencana politik' dapat dielakkan dengan cara memahami dan seterusnya mengakui bahawa ketuanan Melayu (terutama sekali sejak tahun 1969) telah menjadi tonggak pemerintahan Malaysia yang berjaya menyusun atur dengan baik fabrik sosial, politik dan ekonomi negara ini.

Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang sangat mustahak. Malaysia mesti tidak menghadapi satu lagi tragedi '13 Mei.' Caranya mudah, rakyat Malaysia mesti faham konsep ketuanan Melayu.

Masih sukarkah memahami apa itu ketuanan Melayu?

Pembangkang Salah Tafsir Istilah Ketuanan


Pembangkang diminta tidak memutar belit istilah konsep ketuanan Melayu ketika berbahas seolah menggambarkan konsep berkenaan bererti orang Cina menjadi hamba kepada orang Melayu.

Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis (BN- Rompin) berkata, ini penting untuk memastikan tidak ada mana-mana kelompok rakyat terutama generasi muda terpengaruh dengan gambaran yang salah terhadap istilah tersebut.
Katanya, jika ini berlaku, ia amat berbahaya kepada keharmonian kaum kerana tafsiran seperti itu boleh menyemarakkan perasaan kebencian golongan muda Cina terhadap orang Melayu.

''Sebab itu apabila semalam Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) menggambarkan seolah ketuanan Melayu bererti Cina menjadi hamba Melayu, saya protes, saya tidak bersetuju kerana tafsiran itu tidak benar sama sekali.

''Namun apabila Kit Siang menjelaskan bahawa beliau tidak berkata seperti itu (Cina hamba kepada Melayu), maka saya terima secara terbuka," katanya kepada Utusan Malaysia di lobi Parlimen di sini hari ini.

Jamaluddin semalam pada sesi perbahasan membantah tafsiran istilah ketuanan Melayu oleh Kit Siang yang didakwa seolah menggambarkan konsep tersebut bererti Cina menjadi hamba kepada Melayu.

Kit Siang hari ini membangkitkan hansard yang menunjukkan beliau tidak berkata demikian sebaliknya hanya ada disebut 'sebab itu adalah ketuanan apabila perkataan ketuanan Melayu, ada tuan ada hamba.'
Sementara itu, Jamaluddin yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO berkata, cuma selepas ini diharapkan Kit Siang dan mana-mana anggota pembangkang lebih berhati-hati ketika berbahas dalam isu ketuanan Melayu bagi mengelakkan sebarang salah faham.

Katanya, sedangkan hakikatnya orang Melayu sentiasa menjaga hati yang lain dan oleh itu bersama-samalah semua pihak di negara ini melakukan perkara yang sama demi keharmonian negara.

"Orang Melayu sentiasa menganggap kaum Tiong Hua sebagai sebahagian keluarga dan ini dibuktikan ketika negara mencapai kemerdekaan, orang Tiong Hua diberi hak kerakyatan," jelasnya.

Jamaluddin menambah, beliau turut bimbang sekiranya tafsiran ketuanan Melayu yang diandaikan sebagai Cina hamba kepada Melayu, dijadikan modal berkempen untuk pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.
''Saya takut isu ini digunakan supaya orang Cina marah kepada Melayu. Sebab itu saya protes semalam kerana takut mereka gunakan isu ini untuk agenda pilihan raya kecil," ujarnya.

Punca Ketuanan Melayu Diperlekeh

SEJAK selesai Pilihan Raya Umum Ke-12 dan seperti mana yang kita ketahui akan keputusannya di mana lima negeri dikuasai pembangkang, kian dilihat setiap hari bagaimana kaum bukan Melayu semakin berani mempertikaikan akan Ketuanan Melayu.

Tidak kira kaum bukan Melayu dari parti pembangkang, begitu juga dengan rakan-rakan UMNO dalam Barisan Nasional (BN). Ibarat menikam kawan dari belakang, inilah yang berlaku dalam senario politik negara.

Penulis tertanya-tanya apabila UMNO diasak bertubi-tubi oleh pihak pembangkang, di manakah rakan-rakan utama UMNO dalam BN? Sepatutnya rakan-rakan utama BN inilah yang akan berdiri teguh di belakang UMNO untuk menangkis segala serangan dari pihak pembangkang.

Ini tidak, bukan sokongan seperti yang diharap-harapkan malah UMNO sendiri menerima tekanan dari dalam BN. Seolah-olah UMNO dibelasah dari luar dan dalam. Malah ada rakan-rakan utama UMNO mula bertindak dengan berani mengugut untuk meninggalkan BN jika tuntutan mereka tidak dipenuhi.

Di manakah semangat setiakawan dan persefahaman yang telah sekian lama dipupuk sejak merdeka lagi di antara parti komponen BN? Apa lagi yang kaum bukan Melayu mahukan daripada orang Melayu? Tidak cukupkah apa yang mereka telah peroleh dan kecapi setelah keturunan datuk moyang mereka diterima sebagai warganegara tanah air tercinta ini.

Tidak cukupkah lagi dengan penguasaan ekonomi yang mereka dominasi sehingga mampu mengurangkan tahap kemiskinan kaum-kaum mereka jika hendak dibandingkan dengan orang Melayu?

Ingatlah kaum bukan Melayu, orang Melayu juga berhak menikmati hidup yang sempurna di tanah air mereka sendiri.

Orang Melayu tidak mahu hidup merempat di tanah air mereka. Orang Melayu tidak meminta banyak kepada bukan Melayu, cuma diharap mereka menghormati hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Adakah orang Melayu meminta kaum bukan Melayu supaya mengabaikan atau memansuhkan bahasa, adat resam dan sekolah-sekolah bukan Melayu? Malah kebanyakan sekolah mereka telah turut dibantu oleh kerajaan.

Jangan cepat lupa sejarah pembentukan Malaysia. Untuk apa kita merayakan hari ulang tahun kemerdekaan pada saban tahun jika semua rakyat Malaysia tidak mahu menghayatilah sejarah pembentukan Tanah Melayu.

Inilah gunanya hari kemerdekaan disambut supaya rakyat dapat menghayati apa ertinya kemerdekaan dan bagaimana untuk terus mempertahankannya.
Pejuang-pejuang Melayu terdahulu sanggup bermandikan darah mempertahan bumi tercinta ini dari terus dijajah untuk menjadikan Malaysia seperti yang ada pada masa ini.

Adakah kaum bukan Melayu pernah berterima kasih pada orang Melayu di atas pengorbanan pejuang-pejuang Melayu terdahulu dalam mempertahankan kedaulatan negara?

Adakah kaum bukan Melayu tahu akan kehadiran Pahlawan Mat Kilau, Datuk Bahaman, Datuk Maharajalela dan lain-lain pejuang Melayu. Adakah kita pernah mendengar Kapitan Yap Ah Loy atau ceti-ceti sanggup mengangkat senjata berjuang bersama-sama dengan orang Melayu melawan penjajah? Tidak pernah!

Mengapa pejuang-pejuang Melayu sanggup bermandikan darah berjuang melawan penjajah? Kerana apa, kerana niat mereka cuma satu. Tanah air ini adalah tanah Melayu. Bermakna Melayu adalah tuan kepada tanah air bumi tercinta ini. Siapakah akan mempertahankannya kalau bukan orang Melayu itu sendiri.

Sama juga dengan Singapura. Siapakah tuan tanah kepada negara Singapura sekarang walaupun ia sebenarnya pernah menjadi sebahagian daripada Tanah Melayu. Bolehkah orang Melayu Singapura mengatakan mereka adalah tuan kepada tanah Singapura. Tentu tidak boleh kerana sudah bertukar “tuan”.

Ingatlah yang orang Melayu sudah banyak berkorban untuk bukan Melayu. Orang Melayu tidak meminta banyak daripada bukan Melayu, cuma diharap bukan Melayu menghormati hak-hak istimewa orang Melayu dan Raja-raja Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Negara.


Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top