Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Nampak Kuat Agama Tapi Masuk Neraka

Friday, January 29, 2010



Nampak Kuat Agama Tapi Masuk Neraka
Sumber: Dr Mohd Asri Zainul Abidin


Untuk membuat penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil bukanlah
mudah. Dalam kehidupan ini ramai orang selalu membuat kesimpulan
daripada penampilan atau faktor luaran yang mereka lihat semata.
Penilaian yang seimbang atau kesimpulan yang adil berbeza dengan
sangkaan baik. Umpamanya, apabila kita melihat mereka yang kuat
bersolat, atau berpuasa maka sudah pasti kita wajar bersangka baik
terhadapnya.

Namun dalam masa yang sama kita tidak akan membuat kesimpulan bahawa dia
adalah pasti ahli syurga, atau pasti orang yang kuat berpegang dengan
agama, atau seorang yang soleh. Ini kerana solat dan puasa memanglah
amalan yang baik dalam Islam, tetapi Islam bukan sahaja berkaitan soal
solat dan puasa, sebaliknya Islam merangkumi pelbagai sudut kehidupan.

Jika dia kuat solat dan puasa, tetapi dalam masa yang sama kuat memaki
dan mencerca orang, atau menderhakai ibubapanya, atau tidak amanah, atau
menzalimi orang lain dan seumpamanya, maka dia bukannya orang yang soleh
dalam ertikata sebenar dalam Islam.

Tidakkah kita selalu membaca hadis:

"Tahukah kamu siapakah orang yang muflis?" Jawab mereka: "Orang
yang muflis dalam kalangan kami ialah sesiapa yang tiada dirham dan
tiada harta". Sabda baginda: "Orang yang muflis dalam umatku ialah
sesiapa yang datang pada Hari Kiamat nanti bersama solat, puasa, zakat,
juga dia pernah memaki seseorang, menuduh seseorang, memakan harta
seseorang, menumpah darah seseorang dan memukul seseorang. Lalu
diberikan kepada orang ini dan itu pahalanya. Jika pahala-pahalanya
habis sebelum sempat dilangsaikan kesalahannya, maka diambil
dosa-dosa mereka dicampakkan ke atasnya lantas dicampakkan dia
ke dalam neraka"
(Riwayat Muslim).

Pendusta Agama

Dalam hadis lain Nabi s.a.w menceritakan tentang akhir zaman ada para
pembaca al-Quran kerana hendak dapat untung. Ini dapat kita lihat dalam
negara kita mereka yang memakai 'pakaian agama' dan mengutip wang
daripada orangramai kononnya kerana hendak membuat penghantaran pahala
kepada si mati.

Mereka membuat untung yang besar saban tahun atas nama al-Quran dan
orang menganggap mereka melakukan kebaikan sedangkan Nabi s.a.w
menyindir perbuatan ini dengan sabdanya:

"Bacalah al-Quran dan mintalah daripada Allah (pahala), kerana selepas
kamu akan ada kaum yang membaca al-Quran dan meminta (upah)daripada
manusia"
(Riwayat Ahmad dan al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani).

Dalam sejarah ramai mereka yang menampil watak 'agama' tetapi sebenarnya
penjenayah agama. Antara yang terkenal ialah Abu 'Ismah Nuh bin Abi
Maryam yang mencipta hadis-hadis dusta kononnya kerana ingin mendapat
pahala dengan diadakan hadis-hadis fadilat itu dan ini khususnya tentang
surah-surah al-Quran.

Dia digelar Nuh al-Jami' bermaksud Nuh yang menghimpunkan. Ini kerana
dia menghimpunkan ilmu daripada berbagai tokoh-tokoh besar. Namun
al-Hafiz Ibn Hibban menyatakan: "dia menghimpunkan segalanya, kecuali
cakap benar". (lihat: al-Sayuti, Tadrib al-Rawi, 185, Beirut: Dar
al-Fikr).

Pada zahirnya, dia tokoh agamawan namun pada hakikatnya dia sebenarnya
pendusta agama. Bukan sedikit orang yang sepertinya dalam sejarah
pengumpulan hadis. Kata seorang tokoh pengkaji hadis, Dr. Hammam Sa`id:

"Telah zahir golongan ahli ibadat, zuhud dan nussak (penumpu
penuh ibadah). Kejahilan dan kebodohan mereka telah membawa mereka
mencipta hadis-hadis palsu dalam fadhilat-fadhilat amal, fadhilat
surah-surah al-Quran dan solat-solat sunat, untuk menggalakkan orang
ramai beramal. Seperti juga mereka mencipta hadis-hadis palsu dalam
menakut orang ramai terhadap maksiat. Mereka menyangka mereka telah
membela Islam. Golongan yang jahil ini tidak tahu bahawa pendustaan ke
atas RasululLah s.a.w boleh menurunkan mereka ke dalam
tingkatan-tingkatan yang paling bawah dalam neraka jahannam" (Hammam
`Abd al-Rahim Sa`id, Al-Tamhid fi `Ulum al-Hadith, m.s. 140, Jordan: Dar
al-Furqan).

Ini kerana tindakan mereka telah menipu atas nama Nabi s.a.w dan merubah
wajah asal agama. Jika dilihat atau dinilai pada zahir ibadah dan
pakaian mereka, tentu kita menyangka mereka golongan yang soleh, tetapi
di sisi agama mereka adalah para pendusta yang termasuk dalam sabda Nabi
s.a.w:

"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah
seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain).
Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat
duduknya dalam neraka"
. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Khawarij

Dalam sejarah pertelingkahan umat Islam kelompok yang paling kuat dan
awal menggunakan isu agama untuk mengkafirkan orang Islam yang lain
ialah Puak Khawarij.

Kelompok ini Nabi s.a.w sifatkan seperti berikut:

"..Seseorang kamu akan merasa lekeh solatnya dibandingkan solat
mereka, merasa lekeh puasanya dibandingkan puasa mereka. Mereka
membaca al-Quran, namun al-Quran itu tidak melebih halkum mereka.
Mereka tersasar keluar dari agama seperti anak panah tersasar dari
sasarannya.."
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Inilah Khawarij yang kelihatan hebat dalam ibadah dan pidato agama
mereka dengan menggunakan nas-nas al-Quran. Mereka mengkafirkan orang
Islam yang melakukan maksiat, juga mengkafirkan orang Islam yang tidak
mengikut kumpulan mereka.

Puak Khawarij ini mengangkat slogan: "Tidak ada hukum melainkan hukum
Allah"
. Slogan yang kelihatannya berteraskan al-Quran, tetapi dengan
tujuan yang buruk. Kata Saidina Saidina 'Ali bin Abi Talib kepada
mereka: "Satu slogan yang benar, tetapi dengan tujuan yang batil".
(Al-Khatib al-Baghdadi, Tarikh Baghdad, 304/10, Beirut: Dar al-Kutub
al-'Ilmiyyah).

Dengan slogan al-Quran "Sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah
maka mereka itu orang-orang yang kafir"
(Surah al-Maidah, ayat 44), maka
mereka melancarkan kempen mengkafirkan dan memerangi orang Islam. Atas
andaian yang tipis maka dengan mudah seseorang dijatuhkan hukuman murtad
dan kafir.

Hasilnya, pertumpahan yang dahsyat berlaku pada zaman pemerintahan
Saidiyyida 'Ali bin 'Abi Talib. Selepas zaman 'Ali pun, pemikiran
Khawarij meresap ke dalam berbagai kumpulan dan organisasi. Hasilnya,
kita mendengar isu kafir mengkafir muncul di pelbagai zaman dan tempat
di seluruh pelusuk dunia Islam.

Pada zahirnya puak ini berwajah agama, namun pada hakikatnya Nabi s.a.w
menyebut tentang mereka:

"Mereka itu berucap dengan ucapan sebaik-baik makhluk. Mereka
tersasar keluar dari Islam seperti anak panah tersasar dari sasarannya.
Iman mereka tidak melebihi halkum mereka. Di mana sahaja kamu temui
mereka maka bunuhlah mereka kerana sesungguhnya membunuh mereka itu ada
pahala pada Hari Kiamat" (Riwayat al-Bukhari).

Demikian getirnya kelompok ini. Sekalipun dengan ungkapan dan nas agama
di mulut mereka, namun Nabi s.a.w memerintahkan agar pemerintah Islam
membunuh mereka kerana mereka mengkafirkan bahkan sesetengah kelompok
mereka seperti al-Azraqiyah membunuh orang Islam, anak kecil dan wanita
yang tidak mengikut kumpulan atau jamaah mereka. Na'uzubIllahimin zaliq.
Dengan ini menyedarkan kita semua, di samping kita bersangka baik kepada
golongan yang menzahirkan ciri-ciri agama, kita sayangkan mereka dan
menghormati mereka, namun kita juga mestilah berhati-hati dengan
tindakan setiap individu dan kumpulan.

Janganlah penampilan zahir menyebabkan kita membuta mata atau
memandulkan akal dari membuat penilaian yang matang dan seimbang. Apa
yang baik kita kata baik, apa yang salah tetap dinilai salah tanpa
mengira dari mana dan siapa kesalahan itu datang. Namun jika golongan
tertentu menzahirkan ciri-ciri agama dan memegang prinsip agama dalam
seluruh perjalanan mereka, maka merekalah golongan yang kita cinta dan
kita bela dengan sepenuhnya.

Wallahua'lam...

Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top