Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

1 MENARIK: Cipta permainan C.S.I.

Sunday, January 24, 2010



CIPTA PERMAINAN C.S.I.
Sumber: BeritaHarian

MOHAMAD Fazdlee menunjukkan pelbagai jenis produk kanak-kanak berasaskan sains keluaran Ardent Educational Consultants.


Kanak-kanak didedahkan cara kerja petugas makmal forensik

PROGRAM televisyen penyiasatan popular saintifik, Crime Scene Investigation (CSI) New York, Miami dan Las Vegas memang cukup diminati di Malaysia, terutama golongan muda yang tertarik dengan skil kerja petugas makmal forensik dalam menjalankan siasatan kes jenayah.

Apa yang berlaku sebenarnya berkait rapat dengan semua benda yang boleh dijadikan bukti, cara hidup, tempat tinggal atau apa saja yang ada di tempat kejadian atau mangsa. Dalam erti kata lain, sains forensik ialah analisis saintifik berkaitan keadaan sekeliling.


Ini bermakna anak muda terutama pelajar sekolah tanpa pendidikan khas dalam bidang itu juga boleh melakukannya di rumah bermula pada peringkat asas kerana ia mampu membentuk minat mereka dalam bidang sains sekali gus membantu memberi gambaran jelas pembelajaran di sekolah.

Atas dasar menyahut cabaran kerajaan yang menggalakkan generasi muda terbabit dalam bidang inovasi, bekas jurutera muda sebuah syarikat swasta, Mohamad Fazdlee Mohamad Isa, 27, tampil dengan idea sendiri merealisasikan impian rakyat Malaysia.

Menggunakan pengetahuan ketika menuntut dalam bidang Kejuruteraan Kimia di University of Minnesota, Amerika Syarikat, Fazdlee sanggup meletakkan jawatan sebagai jurutera demi mencapai cita-cita menghasilkan produk sains berinovasi.


Kini, beliau boleh berbangga kerana usaha kerasnya sudah berjaya apabila menghasilkan produk Ardent Gooey Slime Edukit dan CSI Forensic Kit yang menjurus kepada permainan kanak-kanak berasaskan sains.

Produk CSI Forensic Kit sebenarnya lebih kepada permainan mengesan cap jari di sesuatu tempat dan membandingkannya dengan corak cap jari. Pelajar juga berpeluang mempraktikkan teknik merekod dan mendapatkan cap jari dengan betul.

Setiap set produk itu mengandungi beg, gunting, VU light, serbuk arang atau karbon, bekas cap jari, sarung tangan getah, carta cap jari, kad contoh cap jari, kad plastik latihan, pelekat terang dan buku panduan aktiviti.

“Pelajar boleh menggunakan kanta pembesar untuk mengesan cap jari pada permukaan dan menggunakan berus yang dicelup serbuk karbon untuk disapu secara perlahan ke atas kesan cap jari.

“Kesan jari akan kelihatan dan mereka perlu membuat salinan menggunakan sekeping pelekat yang ditampal pada kesan berkenaan. Pelekat itu mesti ditampal perlahan sebelum dilekatkan semula ke atas sekeping kad yang disediakan,” katanya.

Contoh cap jari itu boleh dibandingkan dengan jenis cap jari yang ada berdasarkan carta yang disediakan untuk menentukan coraknya yang dibahagikan kepada tiga kumpulan besar iaitu Arch, Loop dan Whorl.

Selain tiga corak utama itu, jenis cap jari juga boleh dibahagikan lagi kepada kumpulan kecil iaitu plain arch, tentd arch, radial ulnar loop, plain whorl, central pocket whorl, double loop whorl dan acditental whorl.

Aktiviti itu pastinya menarik perhatian dan minat pelajar bahkan mereka boleh berkongsi dengan rakan atau ahli keluarga kerana ia sebenarnya memudahkan pemahaman bagaimana proses mengesan cap jari dijalankan.

Fazdlee selaku Koordinator dan Pemaju Program Ardent Educational Consultants Sdn Bhd bercita-cita menjadi ikon dalam bidang pendidikan berasaskan sains turut menjadikan kejayaan pakar motivasi dan kekeluargaan, Datuk Dr Fadzilah Kamsah sebagai idolanya.

“Pembelajaran sains di sekolah tidak boleh dipisahkan dengan melakukan eksperimen kerana pelajar akan lebih faham sesuatu teori sains apabila melakukannya sendiri.

“Hipotesis dan kesimpulan daripada eksperimen itu memberi gambaran jelas kepada mereka apa yang dipelajari. Jadi, produk sains ini adalah kesinambungan kerja makmal tetapi boleh dilakukan di rumah tanpa perlu diawasi guru,” katanya.

Melalui produk itu, beliau yakin ia secara tidak langsung mempromosikan budaya pembelajaran secara holistik menggabungkan pengetahuan, fungsi dan aplikasi mengenai sesuatu cabang ilmu sains bahkan mampu meningkatkan kreativiti serta inovasi pelajar.

Produk Ardent Gooey Slime Edukit pula ia teknik menghasilkan slime iaitu sejenis polimer yang didefinisikan sebagai rantaian molekul panjang dan mempunyai unit sub molekul sama secara berulang.

Melalui produk ini, pelajar boleh menghasilkan sendiri slime berdasarkan campuran cecair Polyvinyl Alcohol (PVA) dan cecair Cross Linker yang diadun bersama dan hasilnya boleh dilentur mengikut pelbagai bentuk dikehendaki.

Ditanya adakah produk itu berbahaya, Fazdlee menegaskan ia selamat kerana menggunakan bahan sama yang digunakan dalam proses pembuatan sabun.

“Kami sediakan panduan mudah bagaimana menghasilkan slime cuma jangan sesekali memasukkan ke dalam mulut,” katanya.


Related Posts by Categories



1 comment

dizzydude said...

perrghh!!best giler..aku minat CSI.

January 24, 2010 at 10:30 PM
:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top