Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

0 Ghazali Shafie Meninggal Akibat Sakit Tua, Kata Anak Saudara

Monday, January 25, 2010



Ghazali Shafie Meninggal Akibat Sakit Tua, Kata Anak Saudara
Sumber: Bernama


KUALA LUMPUR, 25 Jan (Bernama) -- Bekas Menteri Dalam Negeri Tun Ghazali Shafie meninggal dunia akibat sakit tua di kediamannya di Subang Jaya pada Ahad malam.

Ghazali, 88, meninggal di rumahnya di Wangsa Baiduri, Subang Jaya kira-kira 7.45 malam, kata anak saudaranya Adam Azman.

Jenazah Ghazali kini ditempatkan di rumah adik perempuannya Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama.

Menurut Adam, jenazah Allahyarham akan dimandi, dikafan dan disembahyangkan di Masjid Al-Mujahiddin Damansara Utama pada 8 pagi hari Isnin.

Jenazahnya akan disembahyangkan sekali lagi di Masjid Negara sebelum solat Zohor sebelum dikebumikan di Makam Pahlawan yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Antara kenamaan yang menziarahi jenazah Allahyrham di kediaman adiknya ialah Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob.

Ghazali yang dilahirkan di Kuala Lipis, Pahang meninggalkan dua orang anak lelaki iaitu Bachtiaer dan Sheriffudin.

Isteri beliau Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008.

Ghazali ialah ahli politik yang berkhidmat dari era Tunku Abdul Rahman hingga Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau turut digelar "King Ghaz" kerana tegas dalam menjalankan tugas-tugasnya.

Allahyarham mula berkecimpung dalam bidang politik dengan menyertai Persatuan Melayu Pahang pada 1946 yang pada mulanya melakukan kerja-kerja kebajikan sebelum diserap memasuki Umno.

Pada tahun 1958 beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Politik Umno sehingga 1978.

Beliau pernah beberapa kali menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan merupakan Naib Presiden Umno pada 1981.

Ghazali pernah dilantik sebagai Senator pada tahun 1970 hingga 1972.

Allahyarham bertanding dalam pilihan raya umum tahun 1974 di kawasan Parlimen Lipis di mana beliau menang tanpa bertanding.

Beliau memulakan kerjaya dengan kerajaan pada 1941 sebagai ahli Pasukan Sukarelawan Malaya.

Pada tahun 1961, beliau ditugaskan sebagai Pegawai Projek untuk penubuhan Malaysia dan menganggotai Suruhanjaya Cobbold pada tahun 1962 untuk penubuhan Malaysia.

Ghazali mula menjawat jawatan dalam Kabinet apabila dilantik menjadi Menteri Tugas-Tugas Khas pada 1970 dan pada tahun 1971 diberi tambahan tugas sebagai Menteri Penerangan di samping Menteri Tugas-Tugas Khas.

Pada tahun 1973, beliau dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan dan pada 1981 pula diberi tanggungjawab sebagai Menteri Luar sebelum meletak jawatan dari Kabinet pada tahun 1984.

Selepas keluar dari perkhidmatan kerajaan, Ghazali menyertai sektor swasta dan pernah memegang jawatan Pengerusi beberapa syarikat seperti Paremba, Landmarks Holding Bhd dan MUI Finance.

Dalam bidang sukan pula, Allahyarham merupakan Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) dari 1962 hingga 1988.

Pada 10 Jan 1982, beliau yang ketika itu selaku Menteri Luar Negeri terselamat apabila pesawat Cessna yang dipandunya dari Kuala Lumpur menuju Kuala Lipis terhempas di Kampung Janda Baik sehingga mengorbankan pengawal peribadi dan pembantu juruterbang.


Related Posts by Categories



0 comments

:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top