Untuk paparan terbaik, sila layari menggunakan Mozilla Firefox, Google Chrome atau Safari

2 WAJIB BACA: Tentang Puasa Yang Anda Tidak Tahu

Tuesday, December 22, 2009



PUASA DAN PERSOALAN DI MINDA
Sumber: JAIS (Jabatan Agama Islam Selangor)


Hari ini Eb! nak berkongsi dengan pembaca di luar berkenaan beberapa persoalan
yang selalu timbul mengenai puasa. Memanglah puasa dah lepas tapi kita sebagai
umat Islam mestilah tahu tentang puasa supaya kita tidak ragu-ragu tentang
puasa yang lepas atau Ramadhan yang akan datang. Rugi tak baca!

Soalan 1

Bagaimana caranya jika saya ingin menggantikan puasa saya 7 tahun yang lepas. Saya pernah menggantikan puasa tetapi tidak penuh dan kini saya sudah lupa berapakah jumlah gantian puasa yang saya lakukan. Apa yang saya pasti , ia tidak pernah lebih dari 8 hari. Bagaimana saya ingin menggantikan puasa itu dan berapakah fidyah yang perlu saya bayar? Bolehkah jika saya ingin membayar fidyah itu dengan duit dan bukan beras. Saya harap ustaz dapat membantu kerana saya agak keliru. Saya bercadang ingin menggantikan semula semua puasa-puasa saya.

Jawapan

Fidyah yang perlu dibayar ialah sebanyak 224 cupak. ( 1 cupak = 600gm)

Fidyah hendaklah diberikan kepada fakir miskin (seorang atau beberapa orang)

Fidyah beras boleh diganti dengan nilaian wang bergantung kepada harga beras yang dimakan seharian oleh individu tersebut.

Jumlah gantian puasa ambil kiraan maksimum hari yang ditinggalkan. ( hari tidak berpuasa x tahun yang perlu diganti)

Sekiranya puasa yang diganti itu terlebih jumlahnya ia dikira sedekah.

Soalan 2

Saya ingin mengqada'kan puasa saya yang lepas iaitu sebanyak 50 hari untuk 5 tahun yang berturut-turut. Saya ingin tahu bagaimana untuk saya membayar fidyah bagi tahun yang berasingan. Katakan saya ingin memulakan puasa Qada' iaitu dengan membayar fidyah dan mengqada' puasa untuk tahun lepas sahaja iaitu tahun 2005, adakah ia akan dikira fidyah untuk tahun 2004 atau sebelumnya?

Bagaimana cara membayar fidyah? jika saya ingin membayar fidyah kepada fakir miskin, perlukah saya menyebutnya pada si fakir miskin bahawa saya memberinya wang kerana ingin membayar fidyah ataupun saya hanya memberikannya dengan niat untuk membayar fidyah?

Jawapan

Orang-orang yang meninggalkan puasa dengan sebab apa pun diberi kelapangan masa untuk mengqada’ puasanya itu, asalkan tidak lewat sehingga masuk bulan Ramadhan yang berikutnya. Seandainya masih belum mengqada’nya lagi dan masuk bulan bulan Ramadhan yang berikut. Ia dikenakan fidyah iaitu sehari secupak beras serta qada’nya sekali. Seperti contoh :

Seorang itu telah meninggalkan puasa 5 hari pada tahun pertama dan tidak mengqada’ sehingga masuk bulan Ramadhan tahun kedua maka ini dikenakan :

1. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun pertama iaitu masuk tahun kedua -> Beras 5 cupak (1 cupak sehari)
2. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun kedua iaitu masuk tahun ketiga -> Beras 10 cupak (2 cupak sehari)
3. Tinggal 5 hari -> Qada’ 5 hari ini bagi tahun ketiga iaitu masuk tahun keempat -> Beras 15 cupak (3 cupak sehari)

Begitulah seterusnya jika masih juga belum mengqada’ puasanya. Maka jumlahkanlah berapa tahun yang belum dijelaskan puasa yang ditinggalkan itu dan berapa pula yang patut dikenakan fidyahnya.

Ketika memberi kepada fakir miskin dengan kadar yang telah ditetapkan bagi tujuan membayar fidyah memadai dengan niat sahaja. Tetapi jika membayar fidyah melalui jawatankuasa masjid atau mereka yang menjalankan tugas berkaitan dengan hal ehwal Islam adalah lebih baik dinyatakan tujuan saudari itu.

Sebagai seorang Islam yang mengakui menjunjung perintah Allah janganlah lalai untuk mengqada’ puasa yang ditinggalkan itu. Lagi cepat kita qada’ lagi besar faedahnya yang kita dapati dan ringan penanggungan kita terhadap Allah S.W.T.

Soalan 3

Saya ingin bertanya mengenai puasa. Saya mempunyai haid yang dalam sebulan normalnya 7 hari kemudian dia akan berhenti dan saya akan terus mandi dan sembahyang selang dalam seminggu lebih kemudiannya dia akan datang kembali dengan keadaan yang cuma lendir yang berwarna coklat.

Adakah dalam bulan Ramadhan ini puasa saya sah atau tidak jika antara waktu yang sudah berhenti dengan yang datang lendir berwarna coklat itu saya teruskan berpuasa. Adakah antara masa berhenti itu dengan waktu datang lendir saya kena mengqadakkan puasa.

Jawapan

Tempoh kedatangan darah haid ialah paling cepat sehari semalam, kebiasaan selama 7 hari dan paling maxima 15 hari.

Darah haid datang dalam pelbagai bentuk, ada merah kehitam-hitaman, merah pekat, coklat kehitaman, kuning pekat, ada juga ciri lain di mana ia keluar dalam kedaan berketul dan ketika ia banyak keluar, akan terasa sedikit hangat. Bau darah ini biasanya agak hanyir berbanding dengan darah biasa. Sekiranya tidak dapat mengenal pasti ciri-cirinya rujuklah kepada pakar/doktor.

Apa yang saya maklum dari persoalan saudari ialah saudari biasa datang haid 7 hari, selepas itu ( 8 hari @ lebihi lagi) dalam kedaan suci. Dalam perkiraan saya; lendir berwarna coklat hanya keluar pada hari keenam belas dan seterusnya ( jika perkiraan adalah dari tarikh hari pertama darah haid saudari datang ). maka jelaslah di sini darah itu bukan darah haid, saudari wajib solat dan berpuasa. Antara waktu berhenti haid dan datang lendir coklat tidak perlu Qada puasa kerana saudari sedang dalam suci. Pastikan perkiraan maxima bilangan hari kedatangan darah tersebut untuk mengenal pasti samada ia darah haid @ darah Istihadah ( darah penyakit).

Jika lendiran berterusan, dapatkan nasihat pakar bagi menyelesaikan masalah sebelum lebih banyak mudharatnya.

Soalan 4

Saya ingin bertanya apakah hukumnya samada batal atau tidak puasa sekiranya saya memakai kanta sentuh (contact lens) di bulan puasa kerana saya akan menitikkan ubat mata (lens drop) apabila mata saya kering?

Jawapan

Sah puasanya kerana mata bukanlah rongga yang terbuka. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

Soalan 5

Adakah sah puasa saya sekiranya saya memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?

Jawapan

Sah puasa memberus gigi selepas azan subuh berkumandang. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

Untuk pertanyaan lebih lanjut, silalah lawati http://soaljawab.jais.gov.my.

Wallahua'lam


Related Posts by Categories



2 komen

zella said...

info yg bagus...
wlupn kita rs kita tau benda2 mcm ni kan??
thanks for the info!

December 23, 2009 at 10:38 AM
eb! said...

aah zella...
kite kdg2 tak sure kan, tp lbh baik kite kongsi ttg benda baik kan...
thanx eh komen...;))

December 23, 2009 at 4:47 PM
:)) ;)) ;;) :D ;) :p :(( :) :( :X =(( :-o :-/ :-* :| 8-} :)] ~x( :-t b-( :-L x( =))

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
 
back to top